Pages

Pages

Pages - Menu

Sunday, July 24, 2011

Abdul Rahman Talib

Abdul Rahman Talib (1916 - 18 Oktober 1968) ialah seorang Menteri Malaysia yang telah berkhidmat dalam empat kementerian selama lapan tahun sejak kemerdekaan antara tahun 1957 dan 1965. Bagaimanapun, adalah dalam bidang pendidikan bahawa beliau mencapai kemasyhuran ketika beliau menerbitkan laporan yang dikenali sebagai Laporan Abdul Rahman Talib untuk memperbaiki sistem pendidikan Tanah Melayu dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pada tahun 1962, Abdul Rahman dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya.

Kehidupan awal

Dilahirkan di Temerloh Pahang, Abdul Rahman mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya dan kemudian melanjutkan pengajian di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim, Perak. Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1940 sebagai seorang guru di Sekolah Abdullah, Kuantan dan lima tahun kemudian, pada tahun 1945, beliau dilantik menjadi Penolong Nazir Sekolah-sekolah Melayu Pahang. Pada tahun 1952, Abdul Rahman mengasaskan Jabatan Hal Ehwal Agama di Jabatan Pelajaran Pahang.

Politik

Abdul Rahman sangat aktif dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan selain daripada itu, juga merupakan Ahli Bersekutu Majlis Kebangsaan. Pada tahun 1956, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Alam Semula Jadi dan Kerajaan Tempatan dan kemudian, dilantik menjadi menteri penuh dalam berbagai-bagai kementerian:

  • 1957: Menteri Pengangkutan
  • 1959: Menteri Perdagangan dan Industri
  • 1960: Menteri Pelajaran
  • 1962: Menteri Kesihatan
  • 1964: kembali menjadi Menteri Pelajaran.

Laporan Abdul Rahman Talib

Semasa menjadi Menteri Pelajaran, Abdul Rahman mengemukakan satu laporan yang mengandungi usul dan saranan yang penting untuk memperbaiki sistem pendidikan di Persekutuan Tanah Melayu. Laporan itu dikenali sebagai Laporan Abdul Rahman Talib.

Melalui laporan itu beliau mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, dan pusat latihan guru. Cadangannya juga termasuk pemberian insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Abdul Rahman bersara pada tahun 1965 dan meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada tahun 1968.

No comments:

Post a Comment