Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, July 16, 2011

Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM)

Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) (Malaysian Qualifications Framework, MQF) merupakan sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengenalan

Kerangka Kelayakan Malaysia adalah deklarasi Malaysia tentang kelayakan-kelayakan tempatan dan kualiti yang dimiliki oleh kelayakan-kelayakan tersebut.

KKM merupakan instrumen yang membangun dan mengklasifikasikan kelayakan berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui di peringkat kebangsaan dan ditanda aras dengan amalan antarabangsa dan menjelaskan tahap pembelajaran, hasil pembelajaran dan sistem kredit yang berasaskan beban pembelajaran pelajar. Kriteria ini diterima dan diguna pakai bagi semua kelayakan yang dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi. Justeru KKM mengintegrasi dan menghubungkan semua kelayakan negara.

KKM juga menyediakan laluan-laluan pendidikan yang menghubungkaitkan kelayakan-kelayakan secara sistematik. Ini membolehkan individu memajukan diri dalam pendidikan tinggi melalui pemindahan kredit dan pengiktirafan pengalaman-pembelajaran terkumpul (accreditation of prior experiental learning) yang diperoleh daripada pembelajaran formal, tidak formal dan informal tanpa mengira masa dan tempat, dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.

Lapan tahap kelayakan KKM

Terdapat lapan tahap kelayakan di dalam MQF yang mewakili tiga sektor pendidikan tinggi negara dan disokong oleh laluan pendidikan sepanjang hayat. Sektor tersebut adalah

  1. Sektor Kemahiran;
  2. Sektor Vokasional dan Teknikal;
  3. Sektor Pengajian Tinggi.

Tahap 1 hingga 3 adalah Sijil Kemahiran dianugerahkan dalam Sektor Kemahiran. Sijil Pengajian Tinggi dan Vokasional dan Teknikal berada di Tahap 3. Manakala Diploma dan Diploma Lanjutan berada di Tahap 4 dan 5. Ijazah Sarjana Muda berada pada Tahap 6 diikuti dengan Ijazah Sarjana (Tahap 7) dan Ijazah Kedoktoran (Tahap 8).

Setiap tahap adalah dibezakan oleh hasil pembelajaran dan jam kredit berasaskan kepada beban belajar pelajar.Laluan pendidikan sepanjang hayat merentasi kelapan-lapan tahap kelayakan ini berasaskan kepada pengakreditan pengalaman-pembelajaran terkumpul.

No comments:

Post a Comment