Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, July 16, 2011

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

ABTRAKS

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi salah satu Dasar Pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Sehingga 16 Februari 2009, menurut Menteri Pelajaran ketika itu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, status pelaksanaan dasar ini masih lagi di peringkat penelitian.

Rasional

kepada peralihan bahasa pengantar dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Pengenalan

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) telah termaktub sebagai keputusan Dasar Kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002. Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

Peranan BBT dalam PPSMI

Peranan BBT telah bermula sejak 2002 sebaik sahaja kabinet memutuskan dasar PPSMI dilaksanakan mulai tahun 2003. BBT berperanan dalam menguruskan penghasilan dan pembekalan Pakej Buku Teks dan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Beberapa perubahan telah dilakukan oleh BBT yang melibatkan komponen bagi Pakej Buku Teks Sains dan Matematik dengan tujuan membantu guru dan murid dalam menjayakan program PPSMI ini. Antaranya, Pakej Buku Teks Mathematics Year 1 merangkumi komponen Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti, CD-ROM untuk murid (MyCD), CD-ROM untuk guru dan Buku Panduan Guru.

Semua komponen ini diterbitkan dalam dua jilid (Part 1 dan Part 2) bertujuan mengatasi masalah beg berat. Pada tahun pertama (2003) pelaksanaan PPSMI, pakej buku teks tambahan telah dibekalkan kepada semua sekolah. Pembekalan pakej buku teks tambahan ini adalah secara one off dan di bawah pengurusan SPBT sekolah. Pakej buku teks tambahan ini boleh dipinjamkan kepada murid untuk rujukan mereka dan juga bagi tujuan guru melaksanakan P & P Matematik di dalam bilik darjah. BBT turut menguruskan penghasilan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Penghasilan buku glosari ini adalah sebahagian daripada Program Intervensi PPSMI yang dimulakan pada tahun 2005.

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk PPSMI

Buku teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) adalah secara berpakej. Penulisan pakej buku teks ini adalah berdasarkan keperluan dan hasrat yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sains dan Matematik masing-masing.

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik terdiri daripada beberapa komponen bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah.

Fungsi setiap komponen secara umumnya adalah seperti berikut:

i) Buku Teks (Textbook)

Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.

ii) Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book)

Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.

iii) Buku Panduan Guru (Teacher's Guide)

Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.

iv) MyCD (Pupil's CD-ROM)

MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.

v) CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM)

CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.

vi) Buku Amali Sains (Science Practical Book)

Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.

Buku Glosari

Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.

Senarai Pakej Buku Teks Yang Dibekalkan oleh BBT

Senarai judul Pakej Buku Teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah berserta komponennya adalah seperti pada lampiran di bawah :
• Sekolah rendah
• Sekolah menengah

KRONOLOGI PPSMI

1. 19 Julai 2002

- PPSMI termaktub sebagai keputusan dasar Kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir B. Mohamad.

2. 2003

- Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat sekolah Menengah.

3. 2007

- Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat Sekolah Menengah.
- Kelompok pelajar sekolah menengah pertama yang melalui PPSMI mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keputusan rasmi memperlihatkan peningkatan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik

4. 2008

- Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat Sekolah Rendah
- 518,616 pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan sains dan matematik dalam bahasa Malaysia,Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Seramai 159,234 orang murid (31% daripada keseluruhan pelajar) menjawab kertas sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kertas matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%).
- Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad mempertikaikan keputusan ini dan mendakwa sebanyak 31.1% murid-murid yang menguasai pembelajaran itu dari kalangan mereka yang tinggal di bandar.

5. April 2008

- Pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat, DSAI telah menyatakan tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan.

Sekitar akhir tahun 2008 dan awal 2009, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ditubuhkan dan dipimpin oleh Datuk Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. 31 Jan 2009

- GMP mengadakan tunjuk perasaan pertama mereka di ibu kota, pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

7. Bekas pengerusi MAS, Tan Sri Dato' Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata PPSMI tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Malaysia.

Kesimpulan

Keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Sumber:

Kementerian Pelajaran Malaysia
Mingguan Malaysia 22 Februari 2009 dan Akhbar-akhbar Tempatan

No comments:

Post a Comment