Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, March 30, 2012

Ahmad Kotot


Ahmad Kotot (lahir 10 Jun 1894 di Kampung Licok, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang) merupakan penulis Melayu di Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua. Sebagai guru, wartawan dan penulis, beliau menggunakan nama samaran seperti nama pena A.N.P., Damba, ABKA Pahang, Alif Ba Ta, Ahmad Batu Talam, Anak Negeri Pahang, Intan Dikarang Di Negeri Pahang dan Malim Karimun. Selepas bersara, beliau menetap di Kampung Damak, Jerantut.

Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Tanjung Besar, Kuala Lipis (1909-1914) dan lulus darjah lima.Ahmad Kotot pernah menjadi guru sementara di Sekolah Melayu Tanjung Besar dan Sekolah Melayu Batu Yon, Kuala Lipis. Dari 1916-1918 menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Melayu Melaka. Beliau juga pernah menjadi guru besar beberapa buah sekolah dari 1919 hingga 1941. Prof Abu Bakar Hamid berpendapat bahawa nama Ahmad Kotot tidak dikenali mungkin kerana tidak berasal dari Maktab Perguruan Tanjung Malim. Pengetua maktab tersebut ialah OT. Dussek dan selalu sahaja berlaku 'perselisihan' dengan pengetuanya itu lantaran semangat kebangsaan dan latar belakangnya dari kampung pedalaman. Dia keluar dari maktab itu tanpa sebarang diploma. Sebagai guru, dia selalu dihantar ke sekolah terpencil seperti di Kuala Lipis, Raub dan Jerantut namun tetap mengikuti perkembangan persuratan.

Sejak menjadi guru pada 1919, beliau menghantar berita-berita daerahnya untuk majalah Lembaga Melayu yang diterbitkan di Singapura. Majalah ini menjadi bahan bacaan kanak-kanak di sekolah-sekolah Melayu.Beliau menjadi ahli Persatuan Sahabat Pena Malaya dan pernah mencadangkan agar 'Kamus Umum Melayu Raya' ditulis .Beliau juga banyak menulis dalam Majalah Guru.

Pada 1950-an, dia menjadi wartawan sambilan dengan akhbar Berita Harian.Selepas bersara, dia memulakan perniagaan kecil di Jerantut dan sering bercerita kepada kanak-kanak dan 'tukang borak' kepada sesiapa sahaja yang sudi mendengarnya. Beliau meninggal dunia pada 24 Januari 1993 pada usia 99 tahun.

Antara cerpennya ialah Bapa Tiri dan Anak Tiri, Hikayat Perang Mambang dengan Usul di Kota Gelangi Pahang dan Sejarah Tanjung Besar Kuala Lipis.
Yayasan Pahang pada tahun 1984 telah menganugerahkan kepadanya Anugerah Sastera. Pada tahun 1984 juga beliau dipilih menjadi Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan.

Dalam Muzium Pahang di Kuantan ada sudut sejarah beliau sebagai penulis novel Pahang. Dr Anwar Ridhwan dari DBP juga telah mengkaji tokoh ini dalam bukunya 'Ahmad Kotot: Penulis Novel Hikayat'.

Berdasarkan rekod perkhidmatannya, besar kemungkinan novel terkenalnya, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan, mula ditulis sama ada dalam akhir perkhidmatannya di Sekolah Melayu Batu Talam, Raub (1925) ataupun dalam tahun awal perkhidmatannya di Sekolah Melayu Kampung Baru, Kuantan (1926).Novel ini diterbitkan pada 1927 di Seremban oleh penerbit Al Matba'ah al Rauthah Al-Islam wa Syurakah dengan 1000 naskah dan diterbitkan semula oleh DBP pada 1975. Cetakan pertama novel ini terdiri dari dua penggal . Penggal pertama 100 halaman diterbitkan pada 1927. Penggal kedua setebal 169 halaman diterbitkan pada 1928. Novel-novel zaman itu diterbitkan bberapa penggal.

Novel ini adalah yang pertama dan satu-satunya novel yang berjaya diterbitkan. Seperti lazim zamannya, novel ini mempunyai tajuk kedua iaitu 'Yazid asyik berahi Akan Masyuknya Zamrud'.
Laporan dari Majalah Guru menyatakan novel bertajuk 'Hikayat Malim Kerimun' sedang dalam percetakan , tetapi menurut Ahmad Kotot novel itu tidak pernah diterbitkan. Pada 1931, buku 'Hikayat Perang Mambang Dengan Usul di Kota Gelanggi, Pahang' diterbitkan.Buku ini membentangkan cerita rakyat yang popular di kampungnya. Pada 1936, bukunya 'Sejarah Tanjung Besar Kuala Lipis Pahang' telah diterbitkan.

Novel ini ditulis dalam tulisan Jawi tetapi pada 1975 , DBP telah menerbitkan semula dalam tulisan Rumi. Kongres Persuratan Melayu seMalaya pada 1952 di Seremban memutuskan untuk menjadikan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya. Pendita Zaaba memainkan peranan penting ketika itu.

Sinopsis novel
Ahmad Kotot menerangkan tujuannya menulis novel ini ialah agar anak-anak muda suka membaca dan mendidik pembacanya.[4] Pengenalan novel beliau ini berbeza dengan teknik pengenalan dalam novel 'Hikayat Faridah Hanom' (1928) .Beliau memulakan novel dengan bab 'Peringatan pengarang yang ikhlas' .

Novel ini adalah sebuah novel ala Hikayat Faridah Hanom. Ia mengisahkan percintaan seorang anak teruna bernama Yazid dengan seorang janda muda dan cantik bernama Zamrud.Pertemuan bermula di sebuah majlis perkahwinan di kampungnya. Ramai pemuda tergila-gila kepada janda muda ini dan pelbagai halangan terpaksa ditempuh. Yazid terpaksa meyakinkan keluarganya agar menerima janda tersebut. Yazid mencari helah untuk bertemu dan menduga hati janda tersebut dengan membeli kain dari seorang makcik dan meminta Zamrud menjahitnya. Zamrud setuju , sebagai tanda perkenalan mereka seterusnya.

Novel ini menyelitkan syair pertemuan 'malam pertemuan pertama' sebagaimana 'Hikayat Faridah Hanom' karya Sayid Syeikh al-Hadi . Selain itu terdapat tiga 'surat' antara Yazid dengan ayahnya Haji Halim, surat kepada Malim Kerimun dan surat dari Haji Halim kepada anaknya itu.