Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, March 30, 2012

Azizah binti Md. Taib



Puan Hajah Azizah binti Md. Taib dilahirkan pada 2 Disember 1932 di Alor Setar, Kedah. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Perempuan Kulim (1941), Kampung Bharu Girl's School (1947 - 1952) dan Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar (1952 - 1954). Selepas peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1954, beliau bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Sultan Badlishah, sebelum dipilih untuk mengikuti Latihan Perguruan di Malaysian Teacher's Training College Brinsford Lodge, England pada tahun 1955 hingga 1957. Sekembalinya ke Malaya, beliau ditugaskan di Sekolah Convent Pulau Tikus, Pulau Pinang pada 1958. Mulai 1959 Puan Hajah Azizah telah mula menabur bakti sebagai pendidik di Perlis.

Dalam tempoh 30 tahun berkhidmat sebagai pendidik di Perlis, Puan Hajah telah memperlihatkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi sebagai guru sehingga diberi kepercayaan menjawat jawatan penting di sekolah dan juga di Jabatan Pelajaran Negeri Perlis. Beliau pernah menjadi Penyelia Sains Rumah Tangga Negeri Perlis pada tahun 1965 hingga 1983, Pensyarah Sambilan untuk mengajar guru-guru Pusat Latihan Daerah (RTC) pada tahun 1966 hingga 1968, Guru Besar di Sekoloah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar, pada tahun 1979 - 1983. Sebelum itu, pada tahun 1971 hingga 1978, Puan Hajah Azizah pernah menjawat jawatan Pengetua Sekolah Menengah Putra, Kangar. Tugas terakhir sebelum bersara ialah sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Perlis diJabatan Pelajaran Perlis bermula tahun 1984 hingga 1987.

Beliau pernah memimpin Pasukan Pandu Puteri Sekolah Menengah Derma pada 1960 hingga 1969, menjadi Pesuruhjaya Pandu Puteri Negeri Perlis selama 16 tahun dan Setiausaha Majlis Belia Negeri Perlis selama 10 tahun. Beliau merupakan wanita pertama di Perlis yang dilantik oleh DYMM Tuanku Raja Perlis menjadi Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis pada tahun 1977. Di samping itu, beliau juga menjadi Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak hingga sekarang. Setelah bersara, beliau menceburi bidang perniagaan insurans dan menerajui Syarikat Hajjah Azizah Agency MCIS Zurich Insurans Berhad. Puan Hajah Azizah telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan penghargaan serta pingat kebesaran. Beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1969, Pingat Jubli Perak (1971), Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1975, Ahli Mahkota Perlis (1987) dan Darjah Seri Sirajudin Perlis (SSP) pada 2005. Beliau juga turut menerima anugerah dan penghargaan lain iaitu Tokoh Wanita Negeri Perlis (1984), Tokoh Belia Negeri Perlis (1988), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis (1999) dan Tokoh Guru Negeri Perlis (2005).