Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, March 30, 2012

Nor Daim



Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Nor Daim dinobat sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2011, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru 2011 sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40.

Penerima Tokoh Guru 2011 antaranya ialah bekas Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk Siva Subramaniam, 64, dan pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Ab. Rahim Selamat, 66.

Turut menerima penghormatan yang sama ialah bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kuantan, Hamedah Wok Awang, 63, dan bekas pengetua Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Datuk Rita T. Jaafar.

Mereka menerima pingat, piala, sijil dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran perayaan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Nor yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelajaran Sarawak ketika ditemui berkata, pengiktirafan tersebut mampu menjadi pendorong kepada seluruh warga pendidik untuk terus berbakti dalam melahirkan modal insan yang berkualiti di negara ini.

“Terima kasih kepada semua guru kerana mempunyai semangat untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Saya yakin pendidikan adalah mekanisme terpenting bagi kita bergerak ke depan menjadi sebuah negara yang maju,” katanya.