Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, March 30, 2012

Omar Mohd Hashim


Dato’ Haji Omar Mohd Hashim merupakan tokoh pendidikan, penulis dan ahli sejarah di Malaysia. Beliau dilahirkan di Dinding, Perak pada 1935 .Beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (1985-1990) dan Tokoh Guru Pulau Pinang (1991).  Beliau belajar di Sekolah Permatang Bertam, Pulau Pinang.Selain itu belajar pendidikan Arab / Islam di Daeratul Wataniah, Kepala Batas ; Penang Free School dan Universiti Malaya (Singapura) pada 1960.

Omar Mohd Hashim bekerja sebagai guru siswazah di beberapa sekolah menengah dan menjadi Pegawai Peperiksaan ; Pengarah Pendidikan Sabah dan Johor; Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP) dan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (EPRD) dan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (1985-1990).

Beliau antara tokoh yang bertanggungjawab menukar peperiksaan SPM/MCE daripada Cambridge pada tahun 1978. Semasa melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan beliau turut memantapkan persekolahan Menengah Melayu dan Bahasa Melayu menerusi sistem peperiksaan umum.  Selepas bersara, beliau dilantik menganggotai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (1990-1992); Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kemudiannya Pengerusi (SPR) dan bersara wajib terakhir pada 11 November 2000. Antara tugas beliau di SPR ialah operasi pembersihan daftar pemilih secara besar-besaran pada tahun 1991; kedua, kajian semula untuk mengemaskini secara menyeluruh semua akta dan peraturan-peraturan pilihanraya yang dipakai; dan ketiga, menetapkan cuma satu hari untuk pembuangan undi bagi seluruh negara.

Beliau aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan sejak 1989 mengantikkan TYT Tun Hamdan Syeikh Tahir. Tun Hamdan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.PSM berperanan sebagai pembangunan penulisan sejarah dalam kehidupan dan pembangunan negara. Antaranya ialah aktiviti penerbitan, penyelidikan, khidmat rundingan, pemuliharaan, juga menganjurkan seminar-seminar yang ditaja bersama universiti, arkib dan muzium, juga membabitkan ramai para guru, pensyarah serta peminat sejarah. Jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah dan monograf-monograf disebar luar dalam dan luar negeri dan menjadi bahan rujukan utama pengkaji sejarah Malaysia moden. Beliau bersama PSM berjaya mendirikan ibu pejabat PSM iaitu “Wisma Sejarah” yang siap pada tahun 2003 dengan belanja RM20 juta .

Minat beliau dalam penulisan dikesan melalui majalah-majalah mahasiswa seperti Bahasa (PBMUM), Suara Islam, dan Pelajar (SPMS).Terdapat 321 karangan, makalah, ucapan dari 1952 hingga 1998 . Beliau juga menulisan buku Pertentangan (1968), Pengisian Misi Pendidikan (1991) dan Pendidikan: Persoalan dan Harapan (1993).

Beliau pernah menjadi Ahli Panel ‘Anugerah Sastera Negara’ (1972-1977), dan Ahli Panel ‘Hadiah Sastera’ (1984- 1990), di samping menjadi salah seorang pengasas Persatuan Penulis Nasional (PENA).

Omar Mohd Hashim juga menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Aminuddin Baki (1965-); Ahli Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1985-1990); Ahli Majlis Universiti Malaya sehingga 1989; Ahli Majlis Pentadbir Kolej Tuanku Abdul Rahman (1985-1990); Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (1985-1991); Ahli Lembaga Pengurusan RECSAM (1985-1990); Ahli Lembaga Majlis Peperiksaan Malaysia (1984-1990), Ahli Lembaga Pentadbiran Royal Military College (1984-1990); Ahli Jemaah Universiti Malaya (1991-1997), Pengerusi Jawatankuasa Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (1993-2000), Ahli Lembaga Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) sejak 1994, Ahli Penasihat Arkib Negara Malaysia sejak 1990 dan pengerusinya pada 2003, Ahli Pemegang Amanah WWF (1990-1998).

Selain itu, beliau juga menjadi Timbalan Presiden Persatuan Pendidikan Penilaian Antarabangsa (IAEA) di Princeton, USA (1981-1991).  Anugerah yang diterima ialah PPM (1974), JSM (1978), DSPN (1988) dan JMN (1990), Tokoh Guru Pulau Pinang (1991) dan Fellow Terutama Institut Aminuddin baki (1999).