Pages

Pages

Pages - Menu

Wednesday, March 21, 2012

PEMBINA bantu pelajar tercicir

Projek PUNCAK sedia latihan kemahiran, pinjaman perniagaan 


MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan sijil kepada peserta projek PUNCAK di Shah Alam, baru-baru ini. 

LULUSAN sekolah yang gagal melanjutkan pendidikan atau tercicir dari sistem persekolahan kini bernasib baik kerana ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membela nasib mereka.
NGO itu Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) menjadi pembuka jalan kepada remaja berkenaan mendapat latihan kemahiran, penempatan di syarikat swasta atau menerima pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. 



Ketua Pegawai Eksekutif PEMBINA, Mohamad Yahya, berkata NGO berkenaan dianggotai oleh bekas pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin masyarakat yang prihatin dengan nasib remaja yang menganggur selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau tercicir sebelum menduduki SPM. 

Katanya, PEMBINA melaksanakan kerja amal berkenaan menerusi projek khas yang dinamakan PUNCAK, iaitu singkatan kepada ‘Perkasa Usaha untuk Cipta Kejayaan’. 

“Sasaran projek PUNCAK ialah remaja dan belia yang berusia 18 hingga 25 tahun yang belum mempunyai pekerjaan atau ingin menceburi bidang perniagaan. 

“Pertolongan oleh PEMBINA dilakukan dengan memasukkan peserta ke program latihan kemahiran, mendapatkan latihan dan pekerjaan di syarikat swasta, program keusahawanan mikro. 
“Projek PUNCAK juga menyediakan khidmat bimbingan, kaunseling dan pemantauan untuk peserta secara berterusan serta program pembangunan ketrampilan diri,” katanya di Shah Alam. 

Mohamad berkata, program perintis PUNCAK berjaya diadakan di Shah Alam bulan lalu membabitkan seramai 84 peserta. 

Katanya, seramai 47 peserta berjaya ditempatkan di Giat MARA atau kolej komuniti untuk mengikut latihan kemahiran selama enam hingga 12 bulan dan mereka menerima elaun sara diri sebanyak RM200 hingga RM250 sebulan. 

Beliau berkata, 32 peserta pula mengikuti program perantisan di DRB-Hicom Berhad selama enam bulan sebelum diserapkan ke jawatan tetap dengan gaji permulaan RM900 hingga RM1,100 sebulan. 

Mohamad berkata, seramai lima peserta menyertai program keusahawanan mikro di bawah pembiayaan TEKUN dengan pinjaman modal sehingga RM50,000. 

“Selepas kejayaan di Shah Alam, projek PUNCAK kedua akan dijalankan di Gombak pada Mei ini dengan penyertaan kira-kira 200 belia. 

“PEMBINA akan melaksanakan projek PUNCAK di tempat lain dari semasa ke semasa,” katanya yang PEMBINA adalah NGO yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 tetapi tidak bermotifkan keuntungan.