Pages

Pages

Pages - Menu

Thursday, July 19, 2012

Program Lindungi Alam Sekitar


MUAR 28 Mac - Usaha melahirkan kesedaran terhadap keperluan dan kepentingan alam sekitar khususnya hutan perlu diperluaskan bukan sahaja di sekolah tetapi di semua peringkat.
Peserta program Hari Perhutanan Sedunia Ke-41 Peringkat Daerah Johor Utara, Intan Najiha, 16, berkata, ini kerana negara ini mempunyai kawasan hutan yang luas dan masih ramai tidak sedar fungsinya.

"Hutan amat penting bagi ekosistem kita selain melindungi alam sekitar dan membekalkan udara segar kepada kehidupan bukan sahaja untuk manusia tetapi semua hidupan.

"Kita perlu tahu sekiranya hutan dimusnahkan sesuka hati akan berlaku banjir besar dan bumi pula akan semakin panas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr. Ismail dekat sini semalam.

Sempena program itu, sebanyak 150 pokok daripada enam spesies ditanam di belakang sekolah berkenaan yang disertai oleh 80 murid dan lebih 20 kakitangan Jabatan Hutan Daerah Johor Utara.
Seorang lagi pelajar, Farhana Ngarif, 16, pula menyifatkan aktiviti itu penting dan relevan kerana masyarakat masih kurang peka dengan isu perubahan iklim dan pemanasan global hari ini.
Ujarnya yang berasal dari Taman Bakri Jaya, kurang pengetahuan dan sikap tidak ambil peduli menyebabkan isu penjagaan hutan dianggap tidak penting.

Edriena Ali, 15, dari Parit Zain berkata, setiap individu harus memainkan peranan masing-masing untuk menghijaukan bumi iaitu dengan cara menanam pokok di rumah.
"Cara ini secara tidak langsung akan melahirkan rasa cinta terhadap alam sekitar dan akan memberi manfaat terhadap persekitaran apatah lagi di kawasan bandar," katanya.

Nur Shahira Shakila Mustaffa, 16, dari Parit Raja Sari berkata, hutan tidak boleh dimusnahkan atas nama pembangunan kerana ia merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai.
Menurutnya, merosakkan hutan adalah sama dengan mengkhianati amanah Tuhan dan sebarang pembangunan harus dilakukan secara berhemah.

No comments:

Post a Comment