Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, August 4, 2012

Maktab Tentera Diraja (MTD) - Disiplin



KEUPAYAAN Maktab Tentera Diraja  (MTD) untuk membentuk generasi muda yang cemerlang di samping mempunyai semangat sewaja, jati diri dan ketahanan mental kelas pertama telah mendorong pasangan pensyarah dan guru menghantar tiga anak lelaki mereka ke institusi yang terletak  di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Pensyarah di Institut Perguruan Perempuan Melayu, Melaka,  Jafri Mohamed Saad, 47, dan  Guru Cemerlang Sekolah Menengah Ayer Keroh, Salmah Abu Bakar, 47, bertuah kerana MTD berjaya melahirkan pelajar yang  bukan sahaja pandai dalam akademik malah dapat membentuk disipilin serta sahsiah diri yang tinggi.

“Institusi ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana pelajarnya dilengkapi dengan ilmu ketenteraan dan menerima biasiswa khusus daripada Kementerian Pertahanan,” kata Jafri.
Beliau menambah, iklim sekolah yang lebih mencabar daripada sekolah berasrama penuh biasa menjadi faktor pendorong MTD menjadi pilihan mereka di samping inginkan anak yang berjiwa kental, berdisiplin, kemas, segak, bergaya dan bersemangat waja.

Anak keempat Jafri, Muhammad Syafiq, 18, berjaya mengulangi  sejarah abangnya, Muhammad Syahid, 20, dengan menjadi pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhammad Syafiq memperoleh 9A+ dalam SPM 2011 yang diumumkan baru-baru ini.  Adiknya,  Muhammad Salman, 16, masih menuntut di tingkatan empat di MTD.

Sementara itu Salmah memberitahu, dalam usaha memotivasikan anak-anaknya, beliau mendedahkan kepada kerjaya yang mereka minati, memberi nasihat bagaimana untuk berjaya dan memberi insentif bila mereka mencapai kejayaan.

“Untuk pelajaran yang lemah, saya membuat perjumpaan khas dengan guru cemerlang subjek itu sewaktu cuti sekolah,” terang Salmah mengenai tip kecemerlangan anaknya dalam bidang akademik.

Menurutnya, ibu bapa perlu  memberikan sokongan kepada anak-anak dengan sentiasa bersama mereka ketika mengulang kaji pelajaran khususnya sewaktu mereka berada di rumah.

“Pada masa yang sama, beri galakan  untuk sukan yang mereka minati seperti bola sepak, olahraga dan aktiviti luar supaya mereka tidak berasa bosan kerana terlalau menumpukan kepada pelajaran semata-mata,” jelasnya.

Bagi Muhammad Syafiq, menumpukan pelajaran dalam kelas ketika guru mengajar merupakan rahsia kecemerlangannya.

“Saya kurang menelaah selepas waktu sekolah kerana benar-benar memahami apa yang diajar guru dalam kelas dan hanya mengulang kaji di asrama bagi pengajaran yang kurang jelas sahaja, “ kata pelajar yang bercita-cita menjadi pakar bius ini.

Justeru, dia menyarankan agar pelajar tidak tidur dalam kelas ketika guru mengajar kerana ia boleh menjejaskan tahap penumpuan belajar dan pemahaman mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment