Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, August 17, 2012

Sekolah 1 Aliran



Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksana jika semua kaum sepakat: PM


KUALA LUMPUR: Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan mengubah dasar itu berdasarkan kepada kehendak masyarakat demi kepentingan mereka.



"Kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan, kita (kerajaan) akan ubah, selagi masyarakat tidak bersedia kita akan kekalkan seperti sedia ada. Tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial.

"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.


Isu sekolah satu aliran dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh beberapa Ahli Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah sedemikian seperti dicadangkan tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu.

Khoo mencadangkan sistem pendidikan negara disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar jika dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada dikekalkan. Kita memberi warga Malaysia daripada kumpulan etnik hak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu, jadi perubahan kepada sistem pendidikan satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran, malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih. Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment