Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, September 29, 2012

Murid SJKC lemah Bahasa Malaysia


Saudara Pengarang,

Setelah melihat secara kasar, saya rasa murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini masih ramai ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Bukan setakat itu, penggunaan bahasa Cina yang meluas menyebabkan mereka turut mengalami masalah untuk berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dengan baik.

Baru-baru ini saya ditugaskan untuk menjadi pengawas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sebuah SJKC di negeri ini dan amat memeranjatkan apabila sebilangan besar murid gagal memahami arahan dalam bahasa Melayu.

Kegagalan tersebut menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan murid Melayu yang kebetulan menduduki ujian tersebut untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Cina.

Keadaan lebih parah apabila soalan Ujian Aptitud Tahun Enam menggunakan bahasa Cina sepenuhnya sedangkan terdapat masalah pada soalan dan jawapan sehingga memaksa saya memanggil guru-guru untuk membantu murid.

Saya rasa senario ini satu masalah yang perlu dipandang serius oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran kerana murid-murid tersebut lahir dan membesar di Malaysia, namun gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Lebih memeranjatkan apabila soalan Bahasa Malaysia di SJKC jauh lebih mudah berbanding di sekolah kebangsaan (SK) dan ini memberi kelebihan kepada murid-murid aliran Cina.

Standard pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK dan SJKC sepatutnya diselaraskan perkara tersebut agar murid-murid Cina dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik.

Kelemahan dalam menguasai bahasa Melayu dilihat amat ketara kerana murid-murid menggunakan bahasa Cina di rumah dan di sekolah dengan sepenuhnya menyebabkan mereka gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa tersebut.

Pada pandangan saya, bahasa Melayu wajar dijadikan bahasa pengantar di semua sekolah termasuk SJKC dan SJK Tamil agar kita sama-sama dapat berkomunikasi dengan baik dan tidak lagi wujud jurang bahasa antara masyarakat Melayu, Cina dan India.

CIKGU PRIHATIN

No comments:

Post a Comment