Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, September 15, 2012

Peranan Pengetua Dalam Pengurusan Sekolah




Sekolah merupakan institusi sosial yang memainkan peranan amat penting dalam merubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempat kita menuju wawasan. Di sini jugalah tempat kita membina bangsa kita. Dengan yang demikian tidak hairanlah kalau isu pendidikan tetap dibincang oleh masyarakat, walau apa pun bentuk dan taraf seseuatu masyarkat itu. Negara tidak akan maju tanpa sistem pendidikan yang berkesan. Kalau sistem dan carta organisasi sahaja yang berkesan tetapi pengurusannya lembab, maka cita-cita negara, dan perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan oleh kerajaan hilang begitu sahaja dan cita-cita serta Falsafah Pendidikan Negara hanya tinggal terukir di pejabat atau di bilik pengetua dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata. Oleh yang demikian untuk menzahirkan wawasan pendidikan negara, perlulah segenap pihak yang memikul tugas dan tanggungjawab menerima tugas dengan penuh amanah dan ikhlas. Terutama sekali sebagai seorang guru besar atau pengetua yang bertanggung jawab secara langsung di sekolahnya.

Hari ini ramai juga orang memperkatakan tentang kewibawaan guru besar atau pengetua (kedua-dua dirujuk sebagai pengetua) di sekolah. Macam-macam pendapat dan pandangan yang diberikan oleh mereka. Seolah-olah pengetua sahaja yang memainkan peranan tanpa dikaitkan dengan persekitaran dan sosio-budaya masyarakat setempat. Walaupun banyak elemen yang berkaitan dengan perkembangan pendidikan seeorang pelajar, tetapi kalau masing-masing mengetahui dan menginsafi tetang tugas dan tanggungjawabnya, kita yakin, Falsafah Pendidikan Negara akan terlaksana dan kita akan dapat menuju ke satu era kecemerlangan ilmu dan pembangunan negara akan berlaku secara seimbang di antara, emosi, jasmani, rohani dan intelek. Untuk itu, di sini kita cuba bincangkan tentang tugas dan tanggungjawab seorang pengetua dalam mencapai tugas dan matlamat itu.

Peranan Pengetua
Pengetua adalah orang yang memainkan peranan yang amat penting di sekolah. Dia adalah seorang pentadbir, pengurus dan yang lebih besar di situ adalah seorang pemimpin. Dalam konteks ini, ketiga-tiga tugas itu saya menggunakan istilah pemimpin atau kepemimpinan sahaja kerana aspek pentadbiran dan pengurusan adalah berkait langsung dengan kepempimpinan. Ketiga-tiga konsep itu, kita perlu memahami dan menghayati dengan jelas. Sebagai seorang pentadbir, yang melibatkan diri dalam pentadbiran pendidikan. maka ia perlu kepada proses kerjasama di antara dua orang atau lebih yang berasaskan kepada rasional yang tertentu untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan sebelumnya seperti mana yang telah dijelaskan oleh SIONDANG(1981). Manakala SYUKUR (1988) menjelaskan pentadbiran secara amnya tertumpu kepada hal-hal yang sebahagian besar berhubung dengan pembahagian kerja dan penyelarasan perhubungan untuk melahirkan kecekapan dalam organisasi.

Kedua-dua konsep pentadbiran yang dikemukan oleh kedua-dua orang tadi adalah tidak lari dengan persepakatan. Tanpa melibatkan proses kerjasama maka pentadbiran dalam erti kata sebenarnya tidak berlaku di sekolah. Oleh itu, seorang pengetua yang berkesan hendaklah melaksana pentadbiran dengan melibatkan sekumpulan pekerja di bawahnya dengan cara yang disenangi . Mudah digauli dan menghargai pendapat dan pengalaman orang lain. Konsep "The boss is the boss" dalam zaman sekarang ini perlu dibuang terus dalam pemikiran pengetua. Zaman bercorak pentadbiran kolonial British telah berakhir. Hari ini bukan lagi zaman untuk menentukan tugas-tugas terlaksana tetapi zaman orang bercakap, berbincang dan mengkaji tentang kualiti, keberkesanan dan kecemerlangan.

Sebagai seorang pemimpin sekolah, seharusnya mempunyai semangat dan kesedaran yang tinggi tentang wawasan 2020. Wawasan 2020 bukanlah alat untuk membelenggu kita di dalam `status quo'. Wawasan ini mengajak kita untuk menjadi pelakon utama, menjadi primadona, menjadi seri panggung kepada drama perubahan (zahid, 1994).

Pemimpin adalah rahsia kehidupan gemilang umat dan sumber kebangkitannya. Sejarah umat adalah sejarah para pemimpin yang sedar, yang kuat jiwanya dan tinggi kemahuannya. Demikianlah kata-kata Al-marhum Hassan Al-Banna seorang mujahid Islam yang menjadi model dan keagungan pemimpin Islam pada zaman moden. Dari sini jelas kepada kita bahawa seorang pemimpin hendaklah mempunyai daya kesedaran yang tinggi dan mempunyai jiwa yang kuat dan mempunyai cita-cita yang tinggi.

Peranan dan fungsi pengurus yang memimpin adalah mencetuskan usaha-usaha peningkatan kekesanan proses pengajaran-pembelajaran dengan sentiasa melakukan inovasi dan sekaligus menghargai inovasi tenaga kerja (Sokarno,1994). Melalui kata-kata bekas Pegawai Khas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ini, dapat kita simpulkan bahawa seorang pengetua hendaklah mempunyai cita-cita dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkat proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih bekesan. Sekolah perlu kepada seorang pemimpin yang berjiwa besar, semangat dan cita-cita tinggi kerana kepemimpinan sekolah adalah begitu kompleks. Sebahagian besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia, tidak seperti firma atau kilang-kilang yang mengeluarkan produk yang berupa barangan (goods). Pengetua terpaksa berhadapan dengan guru-guru pimpinannya dan pelajar-pelajar sebagai sasarannya. Di sekelilingnya adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, melalui anak-anaknya. Jadi, sebagai seorang pengetua terpaksa berhadapan dengan tiga dimensi, guru dan kakitangan sokongan, murid dan masyarakat.

Teori kepemimpinan
Beberapa teori kepemimpinan telah muncul dan banyak dibahaskan oleh golongan bijak pandai dalam usaha uuntuk melahirkan kepemimpinan yang berkesan. Di antaranya ialah teori kepemimpinan karismatik. Kini, teori karismatik tidak lagi merupakan sebagai angkubah utama untuk kejayaan kepemimpinan pengetua. Teori ini adalah terkenal dan menjadi panduan pada peringkat awal pengkajian dahulu setelah melihat kepada perkembangan sejarah bahawa pemimpin-pemimpina yang terkenal adalah terdiri dari mereka yang mempunyai peribadi yang menarik dan disenangi. Walaupun teori ini bukanlah faktor penentu kejayaan dalam kepemimpinan hari ini tetapi ini adalah asas yang perlu ada kepada seorang pemimpin.

Satu lagi teori kepemimpinan yang selalu dibincangkan ialah teori perhubungan kemanusiaan. Dalam teori ini, pemimpin yang berjaya adalah terdiri dari pemimpin yang dapat memberi perhatian yang berat kepada tugasnya, dan mewujudkan kerjasama dengan orang-orang bawahannya. Di sini kita dapati sekiranya seorang pemimpin itu tidak menghargai pandangan dan usaha orang-orang di bawahnya maka tentunya kerjasama tidak akan berlaku dan dengan itu nescaya tidak akan dapat melahirkan satu bentuk kepemimpinan yang berkesan. Dalam konteks sekolah, guru-guru di bawah seliaannya mungkin mempunyai pandangan dan idea yang lebih bernas dari dia sebagai seorang pemimpin. Oleh itu pandangan dan sifat kepemimpinannya tidak sepatutnya bersifat autokratik. Sifat ini tidak akan melahirkan corak kepemimpinan yang berkesan tetapi di sebaliknya akan lahir guru-guru yang bersifat kayu mati (dead woods) kerana mereka akan bosan dengan kerenah seorang pengetua yang tidak mahu mendengar pandangan dan buah fikiran orang lain, kerana menganggap dia adalah lebih bijak dan pandai dari orang di bawah kawalannya.

Mcgregor pula telah memperkenalkan teorinya yang dipanggil teori X dan teori Y. Dalam teori ini secara ringkasnya dapat dirumuskan bahawa sekiranya seseorang pemimpin (pengetua) itu menganggap orang-orang bawahannya malas dan tidak bertanggungjawab, maka lama-kelamaan mereka akan menjadi sebagai orang malas dan tidak bertanggungjawab. Di sebalikya, jika pemimpin itu menganggap orang-orang di bawahnya itu rajin dan bertanggungjawab, maka mereka akan lahir sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Dalam teori ini konsep menghargai dan meletakkan martabat orang-orangnya adalah juga sebagai penentu kejayaan sesuatu kepemimpinan itu.


Setelah melihat kepada teori-teori tadi banyak diperbahaskan, maka timbul pula satu teori yang lebih menjuruskan kepada keadaan semasa. Teori ini dipanggil teori Kepemimpinan Mengikut Situasi (Situational Leadership Theories). Mengikut teori ini, keadaan yang berbeza memerlukan kepada corak kepemimpinan yang berbeza. Melalui teori ini dapatlah kita rumuskan bahawa pengetua hendaklah pandai dengan budaya dan suasana persekitaran. Setiap sekolah mempunyai iklim sosial yang berbeza. Banyak faktor yang perlu diambil kira. Bermula dari suasana dalam sekolah, persekitaran di luar sekolah, budaya masyarakat setempat dan sebagainya. Oleh itu pengetua hendaklah bijak menggunakan daya kepemimpinan yang ada padanya. Pengetua harus bijak supaya tidak timbul satu kejutan kepemimpinan yang boleh menimbulkan ketegangan kepemimpinan oleh guru-guru dan masyarakat sekitar.

Sifat kepengetuaan
Walau apa teori pun tidak semudah seperti yang diperkatakan oleh teori itu. Penentu kepada kejayaan bukan hanya satu sahaja, tetapi kesemuanya adalah berasaskan kepada kebijaksanaan pengetua dan peka dengan keadaan sekelilingnya. Mencari punca sesuatu masaalah dan menyelesaikan berasaskan kepada punca-punca itu adalah penting.

Dalam hal ini maka tidak timbulah seorang pengetua yang ditafsirkan sebagai suka mencari kesalahan. Seorang pengetua bukan ditugaskan untuk mencari kesalahan, tetapi untuk mengubati masalah. Membimbing mereka ke arah atau hala tuju yang betul secara klinikal Maka untuk inilah memerlukan daya kepemimpinan yang tinggi.

Sebagai seorang pengetua, sudah semestinya mahu menjadi seorang pengetua yang berkesan. Seorang pengetua yang berkesan akan melahirkan guru, sekolah dan pelajar yang berkesan. Sifat pengetua yang menekankan kepada jenis kepemimpinan demokratik merupakan asas kepada keberkesanan seorang pengetua. Seorang pengetua yang mengutamakan corak kepimpinan yang demokratik akan disayangi dan mudah didampingi oleh guru. Dia mengambil kira dan turut berkongsi pengalaman serta idea dengan orang-orang di bawah kumpulannya. Sifat menghargai dan sentiasa membawa perbincangan dari idea-idea yang diketengahkan oleh kumpulannya adalah satu cara yang amat penting dalam menjalankan urusan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bukan sahaja dengan guru-guru tetapi seluruh kakitangan sokongan yang ada. Bagi orang-orang di bawah kawalannya, mereka akan merasa amat gembira kalau pemimpinnya menghargai idea mereka. Dengan ini akan lahirlah sikap mereka yang kuat dan rajin bekerja.

Sebagai seorang pengetua yang demokratik, dia juga hendaklah mampu mempertingkatkan daya kreatif dan enovatif kakitangan di bawahnya. Dia adalah sumber kepada mereka untuk terus membangunkan diri. Bagi pekerja-pekerja di bawahnya, seorang pengetua hendaklah sentiasa dapat memberi dan menanamkan minat guru-guru dan kakitangan yang lain supaya dapat menyumbangkan tenaga dan idea dari semasa ke semasa. Dalam konteks ini, pengetua itu seharusnya mempunyai semangat kerja berpasukan yang tinggi, sanggup menyertai sama dalam satu kumpulan kerja.

Sebagai seoarang pengetua yang mempunyai ciri-ciri demokratik, selain dari di atas tadi, dia juga hendaklah menunjukkan sebagai seorang yang mempunyai minat berkomunikasi secara terbuka, seorang yang peramah mesra. Sentiasa menunjukkan wajah yang disenangi oleh pengikutnya. Mempunyai komunikasi dua hala.Tidak ada perasaan ego dan tidak menekankan kepada sifat autokratik. Pengetua sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri professional, hendaklah menggunakan saluran demokratik itu secara terpimpin, kalau demokratik tanpa batasan akhirnya akan lahir satu bentuk kepemimpinan yang lain iaitu laissez-faire. Teori kepemimpinan Laissez-faire ini akan banyak memberi kuasa otonomi kepada pekerjannya. Pengikut atau pekerjanya mempunyai ruang yang amat bebas untuk membuat keputusan. Suasana sekolah akan menjadi pincang, urusan pengajaran dan pembelajaran tidak akan mencapai matlamat lagi.

Melalui bebarapa huraian ringkas di atas tadi menampakkan kepada kita bahawa, Pengetua adalah teras kepada pengurusan pendidikan di sekolah. Kalau pengetua sudah tidak ada kredibiliti dan karisme yang tinggi, sekolah sebagai tempat untuk menjana minda pelajar-pelajar akan berjalan dalam suasana yang pincang. Sekolah adalah 'duta wawasan' yang merupakan sebuah 'negara kecil' yang perlu segala-galanya. Pemimpin dan pengikut hendaklah sentiasa taat-mentaati dan harga-menghargai di antara mereka. Dengan wujudnya sifat kepemimpinan yang berkesan maka pengurusan dan pentadbiran di sekolah akan tercapai seperti yang diharapkan oleh setiap masyarakat dan kerajaan.

Sumber : MYZ

No comments:

Post a Comment