Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, October 26, 2012

1 Murid 1 Tabung


KUALA LIPIS - Budaya berjimat-cermat wajar diterapkan ke dalam jiwa kanak-kanak sejak dari bangku sekolah lagi.  Mereka perlu dididik dan diberikan kefahaman tentang faedah berjimat-cermat.  Bak kata pepatah Melayu, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.
Sehubungan itu, SK Tanjung Besar telah melancarkan satu program bagi menyemai sikap budaya menabung melibatkan seluruh warga sekolah tersebut.  Program yang dikenali 1Murid 1Tabungbertujuan untuk memberi kesedaran dan melatih murid-murid untuk sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja.  Program tersebut dilancarkan oleh Abd Manaf bin Mat, Guru Besar SK Tanjung Besar, baru-baru ini.

Murid-murid perlu dididik sejak kecil lagi tentang kepentingan mengamalkan budaya menabung.  Pada hari ini terdapat pelbagai kaedah untuk menggalakkan murid-murid menabung dan seharusnya murid-murid mengambil peluang yang disediakan untuk mereka. Bank-bank perdagangan juga menawarkan pelbagai bentuk tabung dan inisiatif bagi menarik minat untuk menabung.   Berbeza dengan zaman dahulu, tabung diperbuat dari buluh aur atau buluh lemang yang ditebuk lubang bagi memasukkan duit.

Kesedaran tentang faedah menabung perlu dititikberatkan.  Kita tidak mahu murid-murid hari ini mendapatkan wang belanja persekolahan dengan mudah dan menghabiskan dengan perkara-perkara yang membazir.  Kita mahu murid-murid dilatih dan diberikan kesedaran betapa susahnya ibubapa mereka membanting tulang untuk mendapatkan wang tersebut.  Justeru, mereka perlu dilatih agar berjimat dan berhemah dalam berbelanja,  katanya.

Menurut Mohd Fauzi Omar, GPK Hal Ehwal Murid, setiap murid diberikan satu tabung .  Tabung ini akan dibawa balik dan disimpan di rumah masing-masing.  Murid-murid diminta mengisi tabung tersebut dengan wang baki perbelanjaan sekolah setiap hari.  Ibubapa berperanan untuk memantau dan memastikan anak-anak mereka menyimpan baki wang saku setiap hari.

Ibubapa perlu membantu menjayakan program ini dengan memastikan anak-anak mereka sentiasa menyimpan lebihan duit belanja persekolahan.  Kita mahu murid-murid menjadikan sikap suka menabung sebagai satu budaya sehingga mereka dewasa kelak.  Kita mahu murid-murid bukan sekadar mendengar nasihat supaya menabung tetapi melaksanakannya dengan sebaik mungkin,  katanya.
Dalam majlis tersebut, Abd Manaf mengedarkan satu tabung kepada setiap murid, guru, dan kakitangan sekolah.

No comments:

Post a Comment