Pages

Pages

Pages - Menu

Wednesday, October 3, 2012

Buka peluang kerja wanita berpendidikan


Subang Jaya: Kerajaan memandang serius keciciran wanita berpendidikan tinggi daripada pasaran pekerjaan disebabkan suasana tempat kerja yang tidak kondusif untuk wanita berkeluarga. 

Menganggap keadaan itu merugikan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu. 

Pada masa sama, beliau berkata, perkongsian pintar antara kerajaan dan wanita dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) penting untuk merealisasikan agenda nasional negara ke arah memartabatkan wanita. 

Kita dapati 65 hingga 68 peratus wanita di negara ini melanjutkan pengajian ke universiti tetapi hanya 46 peratus meneruskan kerjaya walaupun ada pendidikan. 

Dalam hal ini, suasana kerja lebih selesa penting supaya wanita yang ada anak dan famili boleh memasuki pasaran kerja, jika tidak adalah merugikan selepas berbelanja besar dan menghantar mereka ke universiti, alih-alih mereka berhenti kerja. 

Kita nak dalam masa terdekat ada tambahan lebih 1,000 lagi TASKA. Setiap syarikat dan jabatan kerajaan mesti ada TASKA masing-masing, mungkin juga Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Ali Hamsa) boleh arahkan semua jabatan kerajaan mewujudkan TASKA supaya wanita berkeluarga dapat memasuki semula pasaran pekerjaan, katanya berucap pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 bertema Wanita Pencetus Ekonomi Baru di Pusat Persidangan Sunway Pyramid dekat sini, semalam. 

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Khee; Ketua Setiausaha Negara, Ali dan Ketua Setiausaha kementerian sama, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur. 
Perdana Menteri yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berikutan itu Bajet 2013 memberi insentif termasuk geran RM10,000 dan pengecualian cukai berganda kepada pihak yang mengusahakan TASKA. 

Beliau berkata, bajet itu juga bersifat mesra wanita dan menggariskan pelbagai insentif untuk manfaat golongan itu bagi mengimbangi peranan tri-fungsi golongan itu sebagai ibu, isteri dan pekerja. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini melatih 200 wanita untuk mengisi jawatan penting pada peringkat lembaga pengarah syarikat menerusi program usaha sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Akademi Pengarah Malaysia.

No comments:

Post a Comment