Pages

Pages

Pages - Menu

Sunday, August 11, 2013

Amalan 5S

Pelbagai kaedah diambil pihak pengurusan sekolah bagi memastikan sistem operasi pentadbiran dan pembelajaran di kalangan warganya berjalan lancar dan mencapai tahap terbaik.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti Berasaskan MS ISO 9000 menjadi keutamaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran berkualiti di kalangan murid, guru dan kakitangan sekolah.

Menurut Guru Penolong Kanan Tadbir dan Akademik SK Seri Pristana, Mazlan Mohamad Mohsin (gambar), inisiatif tersebut diperkenalkan Guru Besar sekolah, Mohamad Nasir Mohd. Noor yang melihat perkembangan itu banyak dipraktikkan di beberapa sekolah terbaik.

"Program ISO ini banyak diguna pakai di sekolah berasrama dan sekolah kluster yang terbukti berkesan serta terbaik dalam meningkatkan pencapaian sekolah berkenaan.

"Namun, tujuannya diperkenalkan bukan sesekali mahu membebankan para guru tetapi hanya sebagai cadangan dengan meletakkan konsep di bawah ISO ini iaitu Sisih, Susun, Seragam, Sapu dan Sentiasa amal (5S) di setiap bilik darjah sebagai panduan kepada guru dan murid," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Konsep 5S ini, jelas beliau, sebagai penjana kecemerlangan dengan Sisih bermakna menyisih dan membuang barang yang tidak perlu; Susun bagi menyusun dan mencuci tempat kerja dengan rapi manakala Seragam untuk menyeragam atau memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa.
Di bawah konsep itu juga, Sapu merujuk kepada kerja-kerja menyapu dan mencuci tempat kerja dengan rapi.

Sentiasa Amal pula untuk berdisiplin dan melatih pekerja mematuhi peraturan dan bertabiat baik secara berterusan.
"Kita meletakkan poster 5S ini di setiap bilik darjah dan pejabat sekolah hanya sebagai panduan kepada guru dalam menambah baik kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka dan bukan semata-mata pengurusan sekolah mahu mendapat pensijilan ISO.

"Usaha ini secara tidak langsung memberi kita satu sistem kerja yang teratur dan sistematik kepada guru selain memudahkan operasi pentadbiran agar lebih terancang,'' tegasnya.

Sejak dipraktikkan Mac lalu, ujarnya, usaha ini telah menunjukkan hasil kerja yang positif misalnya berjaya mewujudkan sistem kerja operasi fail dan dokumen sekolah lebih teratur berbanding sebelumnya.

Pada masa yang sama, katanya, usaha itu membantu pengurusan sekolah dan guru memberi perkhidmatan secara bersistem apabila proses kerja didokumentasi dan boleh disemak, dirujuk dan dinilai semula keberkesanannya. 

"Apa yang penting, kerja 5S ini mengutamakan pencapaian objektif kualiti dan memupuk sikap yang mementingkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara berterusan terhadap sistem kerja sedia ada," katanya.

No comments:

Post a Comment