PENGENALAN
Kaedah Iqra’ adalah suatu kaedah pengajaran membaca al-Quran yang disusun sebagai usaha untuk mempercepatkan penguasaan bacaan al-Quran dalam tempoh yang singkat. Kaedah ini disusun oleh al-Marhum Ustaz Hj Asad Humam (Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musholla Yogyakarta) berdasarkan pengalaman mengajar al-Quran sejak tahun 1950 dan melalui percubaan dan penyelidikan yang mendalam.
Pada mulanya kaedah Iqra’ ini digunakan dalam Majlis Tadarrus Remaja di Wilayah Yogyakarta dan sekitarnya yang diadakan di masjid-masjid dan musalla seminggu sekali. Lebih 600 Majlis Tadarrus Remaja berjaya ditubuhkan yang kemudiannya dikembangkan oleh aktivis Tadarrus Remaja ini dengan membimbing anak-anak pengajian di kelompok masing-masing. Terbukti ramai kanak-kanak yang berusia 6 tahun yang mengikuti program ini telah mampu membaca al-Qur’an (H.Muhammad Jazir ASP, 1994:17 )
Kaedah Iqra’ di Malaysia bermula pada tahun 1992 dan dikembangkan selepas tempoh percubaan pertama selama lebih kurang 6 bulan di beberapa buah sekolah di Malaysia. Kementerian Pendidikan telah menetapkan pengajaran tilawah al-Quran tahun satu sekolah-sekolah kebangsaan pada sesi persekolahan 1995 dengan menggunakan kaedah Iqra’. Murid tahun satu dikehendaki memiliki buku kaedah Iqra’ dan mengikuti kelas kemahiran al-Quran sepanjang enam bulan pertama persekolahan.
Pada tahun 2006, satu ujian telah dijalankan bagi menentukan kesesuaian di antara beberapa kaedah belajar membaca al-Quran yang ada pada masa kini.Hasil daripada ujian tersebut, Kementerian Pelajaran telah bersetuju supaya kaedah Iqra’ terus digunapakai di sekolah-sekolah. Kaedah Iqra’ dikenalpasti sebagai antara kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca al-Quran dengan baik.
CIRI-CIRI DAN SIFAT KAEDAH IQRA’
1-Bacaan Terus ( Tanpa analisa dan dieja)
Murid tidak diperkenalkan terlebih dahulu kepada nama-nama huruf Hijaiyah dan tanda–tanda bacaan. Mereka terus diperkenalkan bunyi satu-satu huruf dengan menggunakan bahan pengajaran.
2-Penggunaan Teks Tertentu.
Pengajaran dan pembelajaran menggunakan satu set buku yang mengandungi 6 naskhah.Murid menggunakan buku mengikut tahap masing-masing bermula daripada buku pertama.
3-Teknik Pengajaran Cara Belajar Murid Aktif (CBMA)
Yang belajar adalah murid, bukan gurunya, jadi setelah guru menerangkan pokok pengajaran dan murid sudah jelas serta mengulangi beberapa kali (Talaqqi Musyafahah), maka murid disuruh membaca sendiri bahan berikutnya.
4-Talaqqi Musyafahah.
Dalam mempelajari bacaan Al-Quran murid mesti berhadapan secara langsung dengan gurunya. Faktor ini sangat ditekankan supaya murid tahu betul bagaimana makhraj dan sifat-sifat huruf yang sebenarnya.
5-Tahap Berasaskan Pencapaian Individu.
Tahap pencapaian murid dalam kaedah Iqra’ adalah bergantung kepada kecekapan individu. Untuk penilaian dan pengesanan, rekod prestasi perlu disediakan seperti yang dicadangkan.
6-Tenaga Pembimbing/Pembantu.
Seorang guru membimbing lapan hingga sepuluh orang murid dalam satu masa. Jika keadaan memerlukan guru boleh mengambil murid tertentu untuk menjadi pembantu dan penyemak bagi murid lain di peringkat bawah.
No comments:
Post a Comment