Pages

Pages

Pages - Menu

Thursday, November 10, 2011

KIA2M

Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu.

Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas.

Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh.

Fokus Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Strategi pengajaran dan pembelajaran Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) melibatkan beberapa langkah berikut:

  • Percalonan
  • Ujian penapisan
  • Perancangan
  • Pengajaran
  • Penilaian
  • Tindakan susulan

Carta alir Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M)

Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M)

Setelah melalui proses pencalonan dan ujian tapisan kemasukan, maka guru-guru yang telah dipilih untuk mengendalikan kelas ini perlulah merancang proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai berdasarkan modul pengajaran yang telah disediakan.

Berdasarkan modul berkenaan juga guru-guru boleh menyesuaikan aktiviti dan latihan yang dicadangkan mengikut tahap keupayaan murid masing-masing. Strategi berikut boleh digunakan mengikut kesesuaian.

a. Berpusatkan Guru

Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.

b. Berpusatkan Murid

Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.

c. Berpusatkan Bahan

Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan dijalankan.


Pendekatan

Dalam pelaksanaan Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M), pendekatan secara kelas, kumpulan dan juga individu perlu digunakan mengikut kesesuaian dari segi kebolehan murid, aktiviti yang dirancang dan juga kemahiran yang hendak diajar.

*Pendekatan secara kelas

Pendekatan secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti ini lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.

*Pendekatan secara berkumpulan

Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid

Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan modul pengajaran yang disediakan.

*Pendekatan secara individu

Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu membimbing untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada rakan sebaya juga boleh digunakan jika perlu.


Teknik

Pengendalian suatu perancangan untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk mencapai sesuatu objektif.

Tujuan menggunakan pelbagai teknik adalah untuk menarik minat, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk mencapai objektif pengajaran guru.

Antara teknik pengajaran bahasa yang dicadangkan ialah:

teknik bercerita

teknik latih tubi

teknik tunjuk cara

teknik bersoal jawab

teknik main peranan

teknik menyanyi

teknik lakonan

teknik kuiz


Bahasa Melayu Merentas Kurikulum

Fokus KIA2M adalah untuk membolehkan murid menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu secara intensif. Oleh itu konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas kurikulum mestilah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi penggabungjalinan.

Subjek-subjek Pendidikan Jasmani Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran dalam Bahasa Melayu.


Pendidikan Jasmani Kesihatan:

1. Pergerakan menggunakan abjad, suku kata dan perkataan.

2. Permainan dalaman - dam abjad, suku kata, perkataan.

3. Lambung dan sambut pundi kacang/ bola berabjad/ suku kata.


Pendidikan Muzik:

1. Nyanyi Lagu - lagu abjad, mengeja, kanak-kanak.

2. Pergerakan berirama

3. Bunyi-bunyian berirama


Pendidikan Seni:

1. Binaan - menggunakan "play dough', plastesin dsb. membentuk abjad.

2. Catan - melukis bentuk-bentuk abjad, suku kata.

3. Capan - mengecap bentuk.

4. Tampalan - menampal bentuk abjad dan kolaj.


Kesimpulan

Penguasaan kemahiran asas membaca dan menulis akan lebih berkesan jika murid mendapat peluang yang luas dan pelbagai untuk membolehkannya memahami sesuatu konsep.

Oleh itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab para guru untuk merancang pelbagai pendekatan, teknik, media pengajaran dan aktiviti agar murid dapat memahami apa yang disampaikan dengan lebih baik.

No comments:

Post a Comment