Pages

Pages

Pages - Menu

Thursday, November 10, 2011

Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS)

Kolej ini ditubuhkan pada tahun 1374H/1955M. Nama sebenarnya pada masa itu ialah Kolej Islam Malaya. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas kira-kira 14.3 ekar yang terletak di Jalan Kota Raja, iaitu kira-kira satu setengah kilometer dari bandar Kelang. Kolej ini pada asalnya ialah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Baginda amat berharap agar kolej ini dapat melahirkan para ulama' yang bertakwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaysia ini dengan ruh-ruh Islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.

Pada tahun 1386H/1966 M, Kursus Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya telah dipindahkan ke bangunan yang baru di Petaling Jaya (kini Pusat Pengajian Persediaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)dan seterusnya ke Bangi menjadi Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun begitu kursus persediaannya masih lagi dilaksanakan di Klang. Pada tahun 1967, Kolej ini diambil oleh Kementerian Pelajaran dan menjadikan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan yang bernama Kolej Islam Kelang. Akhirnya pada tahun 1972, ia telah diangkat menjadi Sekolah Berasrama Penuh lengkap dengan pelbagai kemudahan sehingga ke hari ini.

Kemudian pada 1989, Kolej Islam Kelang telah ditukar nama kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan pada masa itu. Sehingga kini, bangunan bekas istana sultan tersebut masih dikekalkan.

No comments:

Post a Comment