Pages

Pages

Pages - Menu

Thursday, November 10, 2011

PERKARA-PERKARA AM TATALAKU PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM

Taat Setia:

Semua pegawai perkhidmatan awam mesti menumpahkan segala taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, negara dan kerajaan.


Larangan:

Mereka tidak boleh membelakangkan kewajipan awamnya kerana kepentingan peribadinya. Dengan erti kata yang lebih tepat lagi, mereka tidak boleh berkelakuan dengan begitu rupa yang mungkin menyebabkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan kewajipan awamnya.

Sebagai pegawai perkhidmatan awam, mereka tidak dibenarkan membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan kewajipan awamnya hingga menjejaskan kegunaanya sebagai pegawai perkhidmatan awam.

Begitu juga, mereka adalah ditegah menggunakan kedudukan awamnya untuk faedah persendirian atau kepentingan peribadi.

Mereka tidak boleh berkelakuan dengan begitu cara yang boleh menjatuhkan martabat perkhidmatan awam dan hilang kepercayaan terhadap perkhidmatan awamnya.

Selain itu, mereka seharusnya tiada membawa apa-apa bentuk pengaruh dan tekanan untuk menyokong dan memajukan sesuatu tuntutan yang berhubung dengan perkhidmatan awam. Tuntutan yang dimaksudkan itu adalah tuntutan secara individu ataupun lain-lain bentuk tuntutan anggota-anggota lain perkhidmatan awam.

Mengingkari perintah dan berkelakuan dengan apa jua cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah.



Sikap:

Mereka perlu bersikap positif, bertanggungjawab, dedikasi, jujur dan cekap terhadap tugas.

Adalah mustahak baginya memberikan kerjasama dengan pegawai dan kakitangan yang lain dalam perkhidmatan awam.



Pekerjaan Luar:

Seseorang pegawai pentadbiran awam itu tidak dibenarkan membuat pekerjaan luar melainkan ia dikehendaki menjalankan tugasnya.

Mereka hanya boleh berbuat demikian dengan diberi kuasa dan diluluskan untuk berbuat demikian oleh ketua jabatan.



Hadiah:

Pegawai perkhidmatan awam tidak dibenarkan sama sekali untuk menerima sebarang bentuk hadiah.

Mereka juga tidak membenarkan isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara atau mana-mana pihak untuk menerima atau memberi bagi pihak mereka.

Dalam hubungan ini, mereka tidak boleh melakukan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung apa jua bentuk hadiah daripada atau kepada mana-mana orang sekalipun.



Keraian:

Seorang pegawai pentadbiran awam itu dilarang untuk memberi atau menerima apa jua bentuk dan jenis keraian kepada atau daripada mana-mana orang.

Mereka tidak boleh menerima keraian yang boleh mempengaruhinya untuk membuat sebarang faedah peribadi.



Memiliki Harta:

Semua pegawai perkhidmatan awam mesti melaporkan kepada pihak berkuasa tata-tertib yang berkenaan.

Laporan ini dilakukan dengan mengisi borang perisytiharan harta dan dikirimkan melalui ketua jabatan mereka.

Harta yang dimaksudkan ini merupakan harta alih ataupun tidak alih dan ini juga termasuk harta alih yang munasabah yang digunakan sebenarnya pada masa itu olehnya, isteri dan anak-anaknya.

Segala harta itu adalah kepunyaannya atau yang dipegang oleh seseorang pegawai pentadbiran awam bagi pihak isteri atau anak-anaknya.

Jika pegawai perkhidmatan itu tiada mempunyai sebarang harta, laporan juga perlu dibuat untuk tujuan rekod.



Menyelenggara Taraf Hidup Yang Melebihi Pendapatan:

Seseorang pegawai perkhidmatan awam itu tidak boleh menyelenggarakan taraf hidupnya melebihi daripada pendapatan rasminya yang sah.

Jika penyelenggaraan hidupnya melebihi emolumen rasminya, dia mungkin dipanggil untuk memberi penjelasan yang munasabah kepada pihak yang berkuasa lembaga tata tertib yang berkenaan di atas saraan itu.

Pegawai perkhidmatan awam tidak boleh meminjam daripada seseorang atau menjadi penjamin kepada seseorang peminjam atau dengan apa jua yang boleh menyebabkan dirinya terhutang wang kepada mana-mana orang kecuali yang diperbekalkan dalam Perintah Am Bab D, 1980.



Kesusahan Hutang:

Seorang pegawai perkhidmatan awam mungkin berada dalam keadaan kesusahan disebabkan oleh bebanan hutangnya yang begitu berat sekali.

Adalah disebabkan oleh kesulitan kewangan yang dihadapinya itu boleh membawa kepada terjejas perkhidmatannya.

Oleh itu, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap dirinya. Dalam keadaan biasa perkara ini dilaporkan kepada pihak mahkamah atau pemegang-pemegang harta.



Meminjamkan Wang:

Pegawai pentadbiran awam juga ditegah meminjamkan wang dengan bunga kepada orang lain.

Mereka tidak boleh melakukannya sama ada dengan sebarang bentuk cagaran ataupun tidak.



Spekulasi:

Semua pegawai dilarang menspekulasi tentang turun naiknya harga komoditi sama ada tempatan ataupun luar negara.

Mereka juga dilarang membeli dan menjual sekuruti-sekuriti dengan harga yang tinggi sekali.



Refel Dan Loteri:

Semua pegawai juga tidak boleh mengadakan refel atau loteri yang menjadi harta persendiriannya.



Penerbitan Buku:

Pegawai perkhidmatan awam boleh menulis buku, makalah dan lain-lain bentuk karya dengan kebenaran.



Kenyataan Awam:

Pegawai tidak boleh membuat kenyataan awam yang boleh merosakkan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.

Mereka ditegah membuat kenyataan sama ada secara lisan, penerbitan ataupun dalam bentuk-bentuk lain.

Sebagai pegawai perkhidmatan awam, mereka tidak boleh mengedarkan apa-apa kenyataan sama ada yang dibuat olehnya ataupun orang lain.

Selain itu, mereka juga dilarang daripada membuat kenyataan umum mengenai perkara-perkara berhubung dengan kerja-kerja jabatan di mana dia bertugas ataupun pernah berkhidmat suatu masa dulu.



Penyunting:

Pegawai perkhidmatan awam juga dilarang bertindak sebagai penyunting sebarang akhbar dan majalah kecuali dengan kebenaran.

Mereka tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam pengurusan penerbitan akhbar dan majalah.

Di samping itu, mereka dicegah memberi sumbangan wang dengan mana-mana penerbitan, termasuk surat khabar ataupun majalah.

Bagaimanapun, mereka dibenarkan mengambil bahagian yang cergas termasuk kerja-kerja penyuntingan, memberi sumbangan tenaga, buah fikiran dan kewangan terhadap penerbitan jabatan dan kakitangan, penerbitan profesional dan segala penerbitan pertubuhan sukarela yang tidak bercorak politik.



Kegiatan Politik:

Bagi maksud mengambil bahagian dalam bidang politik, pegawai-pegawai adalah dibahagikan kepada dua kupulan:

Kumpulan A:

1. Kumpulan ini terdiri daripada pegawai dalam kumpulan jawatan yang berkelayakan ijazah universiti ataupun kelayakan ikhtisas sebagai kelayakan masuk kerja.

2. Mereka dilarang mengambil bahagian dalam kegiatan politik tanah air melainkan hanya menjadi ahli biasa.

Kumpulan B:

Ianya terdiri daripada semua pegawai kerajaan yang bukan dalam kumpulan A.

Dalam perkara ini, mereka boleh dilantik sebagai ahli jawatankuasa sesebuah parti politik.

Bagaimanapun mereka perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak kerajaan.



Perbicaraan Undang-Undang Dan Bantuan Guaman:

Pegawai yang memerlukan bantuan guaman yang bersabit dengan perkara yang berbangkit dari tugasnya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terlebih dahulu.

Begitu juga, pegawai yang berkehendakkan bantuan guaman melalui peguam bela dan peguam cara bersabit dengan perkara yang berbangkit dengan tugasnya perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.



Tidak Hadir Bertugas Tanpa Bercuti:

Ketidakhadiran bertugas tanpa bercuti dan dengan tidak mendapat kebenaran: bagi seseorang pegawai perkhidmatan itu boleh disabitkan dengan tindakan tatatertib.

Apabila sesorang pegawai itu tidak hadir bertugas bagi tempoh tidak lebih daripada tujuh hari dalam satu bulan, tindakan tatatertib boleh diambil terhadapnya.

Tindakan tatatertib bermaksud pegawai itu boleh dikenakan pembuangan kerja atau lain-lain hukuman.

Bagi tempoh ianya tidak hadir, dia tidak berhak mendapat apa-apa jua gaji ataupun saraan hidup.

Jika seseorang pegawai itu tidak menghadirkan diri untuk bertugas selama tujuh hari dalam satu bulan itu pihak lembaga tatatertib apabila menerima laporan daripada ketua jabatan, boleh mengambil tindakan buang kerja ataupun turun pangkat mengikut perbekalan Perintah Am 26.

Sementara menunggu keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib, pegawai itu tidak berhak mendapat apa-apa gaji dan saraan hidup selama tempoh dia tidak hadir bertugas.

No comments:

Post a Comment