Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, November 12, 2011

Standard Guru Malaysia (SGM)

Pengenalan

Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.


Latar Belakang

Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama di mana bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya. Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.

Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global. Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:

”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”

(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru. Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.


Rasional

Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:

Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan,

Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi,

KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan

Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.


Tujuan

Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:

Mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran,

Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.

Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.


Penggubalan

  1. Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
  2. Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik,
  3. Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan
  4. Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.


Penggunaan

  • Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:

Guru

  • Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
  • Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.

Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan

  • Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
  • Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.
  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau peserta kursus (guru dalam perkhidmatan).
  • Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian standard.

Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan

  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.
  • Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.
  • Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.

Guru Besar dan Pengetua Sekolah

  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
  • Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.

Agensi Latihan Perguruan

  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan perguruan.
  • Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
  • Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik.

No comments:

Post a Comment