Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, April 13, 2012

Graduan vokasional

Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meletakkan indikator di setiap bahagian jabatan itu dalam usaha melahirkan graduan vokasional dan teknikal yang mantap.

Indikator kunci prestasi itu termaktub dalam Pelan Strategik 2005-2010 yang menjadi penanda aras bagi aktiviti yang dilaksanakan oleh jabatan tersebut.

Ketua Pengarahnya Imran Idris berkata, pelan berkenaan yang dibuat secara kolektif juga merupakan usaha memberi maklumat kepada orang ramai mengenai hala tuju jabatan berkenaan.

``Walaupun sebelum ini kita telah mempunyai pelan hala tuju tetapi ia tidak dilakukan secara bertulis dan kolektif,'' katanya.


Operasi

Pelan tersebut menggariskan kesepaduan dalam operasi dan memudahkan pelaksanaan dilakukan oleh semua pihak yang terlibat.

``Tidak ada sebarang polisi yang berubah melalui pelan tersebut namun kita menggiatkan usaha untuk melahirkan graduan yang kompetitif di pasaran kerja,'' katanya selepas membentangkan ucaptama pada Seminar Kebangsaan Pembangunan Latihan Pendidikan Vokasional dan Teknikal serta Teknologi Dalam Era Globalisasi di Sepang, baru-baru ini.

Pelan strategik mensasarkan objektif pertama iaitu melahirkan graduan berkualiti melalui pendidikan relevan dan dinamik dan program latihan yang selaras dengan pembangunan teknologi dan keperluan industri.

Indikator bagi objektif itu ialah melihat kepada rating yang diberi oleh majikan, purata nilai gred kumulatif (PNGK), graduan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, graduan yang kreatif dan inovatif serta jumlah pelajar yang berjaya memasuki alam pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.

Selain itu, gaji permulaan, jumlah program yang diiktiraf oleh institusi tempatan dan antarabangsa serta peratus program yang mendapat maklum balas positif dari pihak industri.

Sehubungan itu, beberapa strategi diatur iaitu mengukuhkan mekanisme perkembangan kurikulum, pengukuhan kemahiran generik utama, kemahiran pembelajaran dan program pembangunan personal.

Selain itu, strategi lain ialah meluaskan program praktikum pelajar, program kesedaran umum dan menggalakkan program penyelidikan gunaan.

Objektif lain termasuklah menghasilkan suasana pembelajaran dan sumber yang berkualiti, kakitangan yang kompeten dan berkelayakan.

Pelan itu juga memastikan sistem pengurusan yang efektif dan efisien dan menambah program pengantarabangsaan.

Utusan
30 Ogos 2005

No comments:

Post a Comment