Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, April 13, 2012

Ijazah kembali 4 tahun

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tempoh pengajian peringkat ijazah bagi semua kursus di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dipendekkan tiga tahun akan dikembalikan kepada empat tahun.

Langkah untuk melahirkan siswazah yang dapat memenuhi kriteria pasaran kerja semasa itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula dengan kursus Teknologi Makanan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh yang mengumumkan perkara ini hari ini berkata, pihaknya akan memanggil Naib Canselor semua IPTA untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara tersebut tidak lama lagi.

``Malah, saya turut meminta Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan kajian yang terperinci mengenai tempoh masa pengajian di IPTA masa kini,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian biasiswa tajaan JAL 2005 kepada tiga orang siswazah tempatan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, jam kredit tidak berubah walaupun tempoh kursus dipanjangkan kerana matlamat utama kami adalah memastikan penuntut mempunyai masa yang cukup untuk membaca bahan bacaan lain,'' jelasnya.

Menurut Shafie, keputusan itu dibuat kerana pihaknya mendapati tempoh tiga tahun terlalu singkat sehingga majoriti siswazah gagal memenuhi kriteria pasaran kerja semasa.

Ia juga, katanya, sejajar dengan permintaan organisasi awam dan swasta agar tempoh masa latihan industri dipanjangkan daripada empat bulan kepada enam bulan.

``Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ada memaklumkan kepada saya baru-baru ini, majoriti siswazah IPTA tidak mempunyai pengetahuan umum kecuali bidang pengajian mereka.

``Saya menyedari perkara itu dan mendapati sukatan pengajian mereka tidak sejajar dengan tempoh masa yang diperuntukkan kepada siswazah terbabit,'' kata menteri itu.

Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden dan Pengurus Serantau Japan Airline International, Michitaka Kujime dan Pengarah Urusan JAL Foundation, Kazuya Hasebe.

Tiga orang siswazah yang terpilih bersama 33 orang siswazah dari lapan buah negara Asia dan dua negara Oceania itu adalah Mohamed Arif Mohamed Ali (Universiti Kebangsaan Malaysia), Ng. Boon Siong (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Yip Yew Keong (Universiti Malaya).

Utusan Online
5 Ogos 2005

No comments:

Post a Comment