Pages

Pages

Pages - Menu

Thursday, April 19, 2012

Majlis Professor Negara (MPN)




Dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kegiatan ekonomi khasnya dengan pendekatan model ekonomi baru Negara serta proses mengukuhkan struktur sosial negara, sumbangan dari kumpulan pemikir untuk membantu dan menyumbang buah fikiran dalam melestarikan program-program serta  projek- projek yang dirancang serta dilaksanakan adalah amat diperlukan. Antara sumber utama daripada kategori inteligensia yang berpotensi untuk digemblengkan dan seterusnya boleh memainkan peranan berkenaan secara lebih berkesan adalah kalangan para profesor di Institusi Pengajian Tinggi.Dari jumlah seramai lebih kurang 22,500 orang pegawai akademik di 20 Institusi Pengajian Tinggi Negara (IPTA) sekarang, sebanyak 1,426 atau 6.3% adalah berjawatan Profesor (VK7, VK6, VK5).

Golongan para professor ini adalah mereka yang mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing. Secara kasar kumpulan profesor negara boleh dibahagikan kepada 5 bidang kepakaran utama iaitu Sains dan Teknologi, Perubatan dan Sains Kesihatan, Kejuruteraan dan Pembuatan, Ekonomi dan Pengurusan dan Sains Sosial. Manakala  tahap kepakaran setiap Profesor itu adalah diiktiraf oleh sistem yang memerlukan sesorang pensyarah melalui proses kenaikan pangkat yang memerlukan mereka untuk membuktikan pencapaian yang terkemuka mutunya dalam bidang masing-masing yang lazimnya akan dinilai oleh beberapa orang panel dari dalam dan luar negara.

Setakat ini belum terdapat suatu program terancang yang boleh menggembleng kepakaran kumpulan profesor dalam negara secara kolektif dan berfokus kepada bidang tertentu untuk dimanfaatkan secara strategik khasnya kearah pembangunan bangsa dan negara. Sumbangan dari kalangan profesor pada masa yang lepas walau pun wujud biasanya adalah atas kapasiti individu profesor itu sendiri atau dijemput sebagai pakar rujuk, perunding atau ahli penyelidik bagi projek tertentu.

Namun demikian adalah didapati bahawa sekiranya kumpulan profesor universiti ini dapat dikumpulkan mengikut kapakaran masing-masing serta diaturkan pula perbincangan secara berkala sesama meraka maka ianya akan memberi satu peluang  untuk mereka memberi sumbangan secara lebih berkesan lagi. Usaha secara kolektif di kalangan kumpulan pakar ini dilihat mampu untuk member sumbangan berimpak tinggi dari segi daya intelektual mahupun pengetahuan teknikal khasnya dalam era di mana ilmu pengetahuan dan kemahiran menjadi strategi yang amat penting. Bagi tujuan itu penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) , atau National Council of Professors (NCP) , adalah suatu langkah terbaik untuk dilaksanakan sekarang.

Struktur organisasi Majlis Profesor Negara  adalah terdiri daripada Penasihat, tiga (3) pemimpin peringkat tertinggi iaitu Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha dan 14 ketua kluster.

Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, kumpulan ini akan diurus oleh Sekretariat Tetap yang berpengkalan di Kementerian Pengajian Tinggi secara sepenuh masa. Tugas utama mereka ialah untuk membantu melicinkan perjalanan mesyuarat, koordinasi, perhubungan, pengurusan berkaitan dengan profesor dan lali-lain lagi.

MPN  diletakkan di bawah Pejabat Menteri dimana pelaporan akan dikemukakan terus ke YB Menteri Pengajian Tinggi selaku Penasihat MPN.Dari segi struktur  organisasi MPN,terbahagi kepada tiga:

  • Executive Council yang terdiri daripada Pengerusi MPN,Naib Pengerusi MPN, Setiausaha MPN, 14 ketua kluster dan Pengurus MPN.
  • Exco MPN pula terdiri daripada Pengerusi MPN,Naib Pengerusi MPN, Setiausaha MPN, 14 ketua kluster , 14 Naib pengerusi kluster, 14 setiausaha kluster dan Pengurus MPN.
  • Jawatankuasa kluster. Setiap kluster mempunyai jawatankuasa sendiri yang terdiri daripada naib pengerusi,setiausaha serta  ketua sub kluster.


Keahlian             
                  
Secara automatik semua profesor tempatan  adalah ahli bagi MPN. Semua profesor diberi kebebasan untuk memilih kluster  yang  diminati. Terdapat 14 kluster setiap profesor boleh memilih lebih dari satu kluster. Senarai kluster adalah seperti berikut :-
  • Pendidikan  dan Pembangunan Modal Insan
  • Ekonomi dan Pengurusan
  • Politik, Keselamatan dan Hal-ehwal Antarabangsa
  • Sejarah, Warisan dan Sosio-budaya
  • Sains dan Matematik
  • Kejuruteraan ,Teknologi dan Alam Bina
  • Sumber Asli dan Alam Sekitar
  • Perubatan  dan Sains Kesihatan
  • Industri dan Inovasi
  • Pertanian dan  Makanan
  • Farmasi dan Sains Gunaan
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi
  • Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan
  • Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam

Objektif

Secara umum, cadangan penubuhan Majlis Profesor Negara ini adalah bagi tujuan untuk mengumpul dan memudahkan pihak kerajaan menggembeling kepakaran akademik dan profesional para profesor, secara kolektif, bagi tujuan membantu program pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara.

Secara khususnya, Majlis Profesor negara ini akan berfungsi bagi memenuhi tujuan-tujuan khusus seperti berikut:

  • untuk menyumbang input kepakaran dari segi akademik dan profesional, dalam pelbagai bidang, untuk kegunaan advokasi awam (public advocacy) khususnya dalam memperkukuh asas penggubalan dasar negara serta pelaksanaan program yang dirancang.
  • untuk memberi sumbangan dalam bentuk khidmat nasihat dan pemikiran baru lagi terkini guna untuk meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai bidang di peringkat nasional dan antarabangsa.
  • untuk menjadi custodian, atau pemegang amanah, keunggulan dan integriti ilmiah serta profesional para profesor dalam negara.
  • untuk memberi peluang kepada kumpulan elit keilmuan ini memberi sumbangan kepakaran masing-masing sebagai balasan kepada segala kemudahan, bantuan serta nikmat keseejahteraan yang mereka nikmati selama ini.


Fungsi

Dalam usaha untuk mencapai objektif penubuhannya itu, Majlis Profesor Negara akan dari semasa ke semasa melaksanakan fungsi-fungsi berikut:

1.    Membantu Kegiatan Pembangunan Ilmiah

  • Menggalak dan merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan Negara melalui program yang dijalankan dari semasa kesemasa.
  • Mengadakan wacana dan juga seminar bagi bertukar pandangan dan pendapat masing-masing berdasarkan kepada bidang kepakaran di kalangan profesor diperingkat tempatan dan antarabangsa.
  • Memupuk budaya kesarjanaan dan keintelektualan dalam negara untuk meningkatkan kemajuan minda rakyat.
  • Menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan kesarjanaan dalam dunia akademik.
  • Membina jaringan akademik dengan badan-badan luar negara yang mempunyai objektif yang sama.


2.    Membantu Penggubalan Dasar

  • Menganalisa masalah-masalah tertentu negara untuk mengenalpasti risiko dan kaedah penyelesaian yang bersesuaian, untuk mensyorkan pelbagai alternatif penyelesaian kepada pihak kerajaan.
  • Sentiasa prihatin terhadap perkembangan dunia akademik yang berkait dengan keperluan negara untuk dibawa kepada perhatian kerajaan.
  • Bersifat proaktif untuk mengukuh dan meningkat kelestarian setiap penggubalan dan perlaksanaan dasar-dasar negara.


3.    Fungsi Advokasi Sosial

  • Menjadi jambatan penghubung antara kalangan akademia negara dengan pihak kerajaan, industri dan komuniti.
  • Menjadi saluran objektif penyuaraan kepentingan akar umbi kepada pihak yang berwajib dan pucuk pimpinan negara berwahanakan penyelidikan.
  • Memupuk budaya ilmu dan menghormat ilmu di kalangan masyarakat umum untuk memartabatkan status kesarjanaan.


Carta Organisasi








Tageline
MAJLIS PROFESOR NEGARA
Pemikir Negara
" MPN ialah suatu kolektif sosial yang diwujudkan pertama kali dalam sejarah negara untuk menjadi payung kepada modal insan yang sangat berharga, berkelulusan tinggi dengan nilai tambahan yang luar biasa, iaitu, para profesor.
MPN bertanggung jawab menyumbang idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan untuk kebaikan negara dan rakyat berasaskan pengalaman dan ilmu pengetahuannya.
Maka setiap ahli MPN adalah ‘Pemikir Negara’ "




Kluster-kluster

1. Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam


Kluster governans, perundangan dan pengurusan awam (GPPa) mempunyai peranan pentingdalam memelihara pengurusan awam yang efisyen berteraskan prinsip governans yang baik dengan pergantungan kepada perundangan yang jelas dan komprehensif. Kluster ini seharusnya menjadi pemangkin kepada penambahbaikan sistem sedia ada. Melalui aktiviti penyelidikan dan wacana yang akan dianjurkan, kluster ini akan mengenalpasti dan mempromosi amalan governans dan pengurusan awam yang baik di samping memastikan perundangan yang wujud dapat menyokong sepenuhnya inisiatif untuk mencapai kesejahteraan negara bangsa. Di samping itu kluster akan mengkaji sistem penyampaian sedia ada berlandaskan prinsip-prinsip
GPPa khususnya dalam perlaksanaan inisiatif penting seperti Bidang Keberhasilan Negara (BKN) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Skop kerja kluster merangkumi antaranya: menganalisis situasi GPPa semasa; melakukan aktiviti penanda-arasan dan gap analysis; menjalankan penyelidikan dalam bidang-bidang GPPa; memberi pandangan melalui media tentang isu-isu GPPa terkini; menjadi pakar rujuk kepada kerajaan dalam membuat keputusan; menganalisis hasrat dan keperluan pekerja, rakyat dan industri sebagai input dalam penggubalan polisi dan perundangan mengenai governans dan pengurusan awam; penganjuran wacana, bengkel, seminar dan konvensyen di pelbagai peringkat; membuat penerbitan berkala dari hasil penyeldikan dan wacana dalam jurnal, buku dan buletin; menjadi kumpulan intelektual yang sentiasa kreatif dan inovatif sebagai pakar rujuk dalam bidang GPPa; berperanan sebagai jurucakap kepada golongan pakar dan professional untuk menyampaikan maklumbalas mengenai impak GPPa kepada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat amnya; bertindak sebagai penganalisis dan penilai yang akan memberi input secara terus kepada kerajaan mengenai polisi dan perancangan berkait dengan GPPa; dan mengenalpasti dan mempromosi amalan governans yang baik di sektor kerajaan dan swasta.

Kluster ini juga ingin memastikan bahawa inisiatif GPPa yang dilaksanakan tidak memberi impak negatif kepada mana-mana golongan masyarakat. Ia juga akan mengkaji peningkatan kecekapan dalam pengurusan awam dan juga keperluan mewujudkan inisiatif terancang untuk memastikan modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan dengan isu-isu GPPa. Di samping itu kluster akan mengenalpasti aspek-aspek GPPa yang boleh meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan dan etika kerja di sector awam dan swasta. Kluster ini seharusnya menjadi rujukan kerajaan dalam hal-ehwal deraf perundangan baru serta pindaan perundangan sedia ada. Seterusnya kluster seharusnya dapat membantu kementerian dan agensi kerajaan tertentu mebuat keputusan yang bernas berlandaskan fakta yang kukuh dalam bidang-bidang GPPa.



2. Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan

Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan mensasarkan usaha bagi mencapai konsep murabbi dalam melestari pembangunan komuniti  yang menjadi sasaran bagi negara kita. Walaupun Malaysia sudah bergerak maju sampai ke Model Ekonomi Baru, sosio-ekonomi rakyat masih berada dalam risiko kekal sebagai ekonomi ‘pendapatan sederhana’. Usaha gigih perlu dilakukan ke arah penambahbaikan signifikan bagi mengurangkan kadar jenayah dan rasuah, mempertingkatkan tahap pendidikan, infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan awam di bandar, dan meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah. Semua ini perlu dilaksanakan, sebelum Malaysia dapat menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Pihak kerajaan, sebagai penggerak utama dalam pembangunan Malaysia, perlu melalui proses transformasi bagi memastikan Malaysia dapat mencapai Wawasan 2020.

Justeru, Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan mensasarkan usaha bagi memberikan perbezaan positif dalam kehidupan seharian kepada setiap satu rakyat Malaysia – daripada wanita dan kanak-kanak berasa lebih selamat di jalanan, hinggalah kepada keluarga miskin yang tinggal di luar bandar yang dapat menikmati kualiti hidup lebih baik, akses kepada infrastruktur asas dan pendidikan yang lebih baik, rakyat dapat pergi bekerja dengan lebih mudah, dan perniagaan dapat menikmati kos yang lebih rendah. Kluster ini ingin memenuhi kewajipan terpenting mentransformasikan Malaysia bagi generasi warga Malaysia yang akan datang.

Secara lebih terperinci lagi, hala tuju kluster pembangunan sosial dan Kesejahteraan MPN  adalah seperti berikut     

1.    Memperbanyakkan penyelidikan impirikal secara kuantitatif dan kualitatif bagi mengenal pasti punca dan proses penghuraian masalah dalam pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
 
2.    Memperkasakan aktiviti perundingan antara sarjana universiti pengajian tinggi dengan mana-mana pihak kementerian yang relevan dengan pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
 
3.    Menjadi hub idea masyarakat dan pusat rujukan pakar dalam bidang pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat samada di dalam bandar dan luar bandar.

4.    Menjadi  THINK-TANK dan jawatan kuasa perancang serta jawatan kuasa pelaksana  bagi program-program kementerian dan swasta yang berteraskan pembangunan komuniti  lestari yang harmoni.



3. Kluster Ekonomi dan Pengurusan

Pertama: Meningkatkan penyelidikan berkepentingan dasar nasional dikalangan ahli kluster. Penyelidikan berorientasi dasar tidak semestinya terarah kepada topik berkepentingan dasar negara. Sebahagian dari aktiviti penyelidikan boleh dilaksanakan dengan komitmen ahli kluster supaya skopnya meliputi  topik yang berkepentingan  dasar ekonomi dan kewangan semasa.

Kedua: Meningkatkan sumbangan input ahli kluster dalam penggubalan dasar. Terdapat hasil penyelidikan ahli kluster yang membawa implikasi penting dan boleh dijadikan input dalam penggubalan dasar. MPN boleh membuka ruang yang lebih luas antara penggubal dasar berkaitan ekonomi dan kewangan dengan penyelidik supaya dasar yang lebih baik dapat digubal.

Ketiga: Membuka lebih ruang penyertaan ahli kluster dan sekaligus meningkatkan mutu perbincangan/dialog/perdebatan awam mengenai dasar semasa



4. Kluster Farmasi dan Sains Gunaan

Matlamat utama Kluster Farmasutikal dan Sains Gunaan adalah untuk mempromosi perkembangan ilmu dalam dunia akademia bagi bidang farmaseutikal dan sains gunaan, memperkasa kapasiti dan keupayaan intelek nasional, khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan yang menyokong pertumbuhan ekonomi Negara, di samping menggalakan kumpulan-kumpulan lain berbuat sedemikian. Di samping itu, kluster ini akan membangunkan kapasiti nasional untuk memberi khidmat penasihatan dan perundingan kepada kerajaan dan juga sektor industri.

ORGANISASI DAN STRUKTUR

Ketua Kluster: Prof. Emeritus Dato’ Dr.V Navaratnam; USM
Timbalan Ketua Kluster: Prof. Muhamad Jantan; USM
Setiausaha Kluster: Prof. Dr. Noorsaadah Abd. Rahman; UM
Ahli-ahli teras kluster:

        Prof. Emeritus Dato’. Dr Muhammad Yahaya; UKM
        Prof. Dato’. Dr. Mohamed Isa Abd. Majid; MOSTI/USM
        Prof. Dr. Norazmi Mohd Nor; USM
        Prof. Dr. Abu Bakar Abdul Majeed; UiTM
        Prof. Dr. Hajjah Samsinah Haji Hussain; UM
        Prof. Halimaton Hamdan; UTM
        Prof. Dr. Ibrahim Che Omar; UMK
        Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani UTP (dilantik)



Pelan Strategik bagi Kluster ini akan mempertimbangkan isu-isu semasa, aspirasi dan hal-hal penting Kerajaan seperti 1Malaysia, Model Ekonomi Baru, Program Transformasi Kerajaan dan NKRA.

Kluster ini akan menubuhkan sub-kluster – rangkaian operasi yang akan mewujudkan kepimpinan dalam bidang akademik masing-masing melalui penggalakan kesarjanaan dan penyelidikan inovatif, yang akan mempertingkatkan lagi daya saing Negara di persada antarabangsa. Antara sub-kluster yang bakal dimajukan adalah:

    Sains Farmaseutikal dan Nutraseutikal,
    Nanoteknologi, dengan tumpuan kepada bidang Nanobioteknologi, dan
    Kuasa lestari, dengan tumpuan kepada sumber tenaga alternatif.

Landasan kepada inisiatif yang bakal dijalankan oleh sub-kluster adalah pertimbangan bagi pembangunan ekonomi dan kewangan serta model kerjasama akademia-industri. Usaha ini memerlukan mereka mengenalpasti pemacu utama bidang masing-masing dan menjemput penyertaan aktif semua kumpulan dari dalam dan luar kluster, untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan status semasa, kapasiti, keupayaan dan cabaran. Hasil analisis sedemikian dapat membuahkan khidmat nasihat yang konkrit dalam memperkasakan NEM, meningkatkan pengkomersialan dan memperbanyakkan bilangan IKS pada peringkat nasional. Inisiatif ini dijangka berupaya mentransformasi/menambahbaik landskap inovasi, pendidikan dan penyelidikan Negara.


Sub-kluster Farmaseutikal dan Nutraseutikal
Peranan awal sub-kluster ini akan tertumpu kepada pengenalpastian dan penyelesaian isu-isu yang membolehkan Negara menghasilkan produk-produk farmaseutikal dan bioteknologi tempatan. Matlamatnya adalah untuk menjamin sekuriti kesihatan Negara tidak terjejas. Di samping itu, sub-kluster akan berusaha mewujudkan mekanisme yang akan menggalakkan penggunaan kepakaran tempatan bersama dengan industri tempatan untuk membangunkan dan memasarkan produk-produk sedemikian di dalam dan di luar Negara. Antara isu utama yang memerlukan perhatian adalah: (1) Mengenalpasti proses-proses yang diperlukan untuk meningkatkan kapasiti Bahan Farmaseutikal Aktif  (API) dalam Negara untuk mempertingkatkan kepelbagaian produk dalam industri tempatan, (2) Menyokong pembangunan vaksin dan memperkasa keupayaan perkilangan; (3) Mengenalpasti dan menstruktur keupayaan penemuan dadah, khususnya untuk mengeksploitasi sumber asli tempatan. Sub-kluster ini akan bekerja rapat dengan Kluster Perubatan (MPN) dan Kementerian Kesihatan.


Sub-kluster Nanoteknologi
Semasa ini, dianggarkan sekitar 250 para saintis sedang bekerja dalam bidang ini. Akan tetapi, usaha mereka tidak sehaluan dan bertompok-tompok, menyebabkan hanya 6 produk telah dikenalpasti untuk pengkomersialan, sehingga kini. Sub-kluster ini akan menumpukan usaha dengan Direktorat Nanoteknologi MOSTI dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) untuk mengkaji semula dan mengemaskini peta tuju yang sedia ada. Di samping itu, ia akan menyorot semula dan mengemaskini pewujudan piawaian dan peraturan berkaitan dengan keselamatan kesihatan  dan nanoetika.


Sub-kluster Tenaga Lestari
Isu-isu yang merangkumi tenaga lestari adalah banyak dan meluas. Fokus awal sub-kluster ini adalah bahan api bio. Ia akan mengkaji status teknologi semasa kajian dan pembangunan bahan api bio; mengenal pasti sumber asli yang berpotensi sebagai bahan api bio. Sub-kluster ini akan menyorot dan menggaris pelan tindakan untuk pengilangan dan penggunaan bahan api bio untuk menjadikannya suatu sumber tenaga alternative.


Langkah-langkah Tindakan
Sepanjang 5 bulan akan datang, Kluster ini bercadang untuk mengadakan 1 perjumpaan untuk memurnikan hala-tuju masa depan. Di samping itu, setiap satu daripada  ketiga-tiga sub-kluster akan mengadakan perjumpaan masing-masing untuk merangka Terma Rujukan dan juga menetapkan pelan tindakan masa depan masing-masing.

Ketiga-tiga sub-kluster ini akan mengadakan satu dialog yang melibatkan Akademia, Industri dan Komuniti dalam merencana isu-isu utama yang dihadapi oleh sub-kluster. Ini termasuklah tiga yang berikut: (1) Ekonomi: Cabaran dan Peluang Industri Bio-Farma tempatan; (2) Nano-bioteknologi: Potensi kepada Negara; dan (3) Biofuel: Halatuju Perkembangan Industri. Bagi setiap dialog yang diadakan, kertas posisi dijangka akan diterbitkan.


5. Kluster Sains dan Matematik

Kemajuan sesuatu negara amat bergantung kepada budaya sains serta progres sains dan teknologinya.  Oleh kerana itu, adalah penting suatu dasar sains dan matematik dibentuk.  Bagi kes Malaysia, memang terwujud suatu Dasar Sains dan Teknologi Negara dan beberapa, tetapi bukan kesemua, strategi yang dikenal pasti telah diimplementasikan.  Sungguhpun demikian, apabila dibanding dengan negara-negara lain, prestasi Malaysia dalam dua aspek yang penting masih mengecewakan iaitu bilangan penyelidik sependuduk yang rendah serta bilangan penerbitan sains dan teknikal sepenyelidik yang rendah.  Untuk membantu menangani isu-isu tersebut, Kluster Sains dan Matematik telah mengenal pasti yang berikut untuk dilaksanakan.

(i)    Menghasilkan kaedah-kaedah inovatif untuk menyampaikan sains dan matematik kepada pelajar serta orang awam supaya mereka lebih sedar tentang sains dan matematik dan seterusnya menanam budaya sains dalam kalangan masyarakat.

(ii)    Menggerakkan kalangan saintis supaya mereka lebih menjanakan pengetahuan dan inovasi yang ‘berfrontier’ (iaitu doing good science).

Untuk mengelakkan pertindihan dengan Kluster-Kluster lain, Kluster Sains dan Matematik akan menumpu kepada bidang sains asas dan matematik.  Kluster juga akan bekerjasama dengan Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Akademi Sains Malaysia, badan-badan profesional yang lain serta organisasi-organisasi bukan kerajaan.


6. Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar

Model kelestarian untuk pembangunan negara merangkumi pendekatan mengintegrasi tiga aspek utama pembangunan iaitu: kesihatan alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan kekayaan Negara.

Di dalam merealisasikan model ini, isu-isu pembangunan dilihat daripada tiga perspektif iaitu: Perkhidmatan alam sekitar; Jatidiri Kebangsaan; dan Inovasi dan Dayasaing
Model kelestarian untuk pembangunan negara ini akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersifat integrasi, holistik dan rentas sektor bagi mencapai hasrat ”kelestarian masyarakat” dalam erti kata sebenar.

Skop kluster :
Mengekalkan hutan dan litupan hijau: Usaha ini perlu dilakukan bagi memastikan alam sekitar terus memberikan perkhidmatan berkesan kepada kesejahteraan masyarakat dan proses penjanaan kekayaan negara. Usaha ini akan menjamin pembekalan udara dan air yang bersih untuk kehidupan dan sumber asli sebagai asas dalam pembangunan negara secara lestari. Dalam konteks ini, isu-isu kepelbagaian biologi, pemuliharaan warisan sumber asli dan penggunaan sumber tidak boleh diperbaharui akan diutamakan.

Transformasi sumber tanah untuk memastikan jaminan dan keselamatan makanan: Degradasi dan pertukaran gunatanah tanah dari tanah pertanian berasaskan makanan ke keguanaan lain semakin berleluasa. Keadaan ini akan menjadi kritikal di masa akan datang khususnya apabila negara berhadapan dengan keadaan darurat dan bekalan makanan tempatan diperlukan. Dalam konteks ini, isu-isu kesesuaian guna tanah, pertanian mesra alam dan penilaian sumber akan diutamakan.

Pembangunan bandar, industri dan infrastruktur yang berasaskan kelestarian: Pada masa ini isu pencemaran, kesesakan dan bencana semakin kritikal di kawasan perbandaran. Perancangan bersepadu berasaskan pembaharuan bandar di kawasan sesak (bermasalah) diperlukan sementara perancangan pembangunan baru dirancang berasaskan kelestarian. Dalam konteks ini, isu-isu perubahan iklim, bencana dan pencemaran alam sekitar akan diutamakan.


7. Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Kluster ICT dibentuk dengan tujuan menyokong kerajaan dalam usaha negara untuk mencapai status negara maju sejajar dengan matlamat wawasan 2020, dengan menjadikan ICT sebagai pemandu utama pertumbuhan ekonomi negara dan global. Ini adalah selari dengan aspirasi Model Baru Ekonomi (MBE) yang berteraskan konsep berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, dan  Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) yang merupakan salah satu daripada empat tonggak transformasi negara.  

Bagi menjayakan usaha ini, pelbagai cabaran dalaman dan global perlu ditangani. Jadi, Kluster ICT, juga berharap dapat memberi kepimpinan, khidmat nasihat dan bekerjasama dengan kerajaan berasaskan visi yang dikongsi bersama ini bagi mencapai kemajuan Negara: membantu kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan inovasi ICT melalui proses laluan trasformasi pantas untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan; membantu menyediakan modal insan berpengetahuan (knowledge workers) yang kreatif, inovatif dan berkemahiran abad ke 21 melalui penubuhan Special Task Force HRD ICT Negara;menggabungkan pembangunan ICT dalam pengubalan dasar negara bagi mempertingkatkan lagi daya saing negara, keunggulan teknologi dan kemapanan sosial; meningkatkan penyelidikan, inovasi dan hak cipta ICT di peringkat kebangsaan dan global dan menggunakanya untuk penjanaan kekayaan dan memperkukuhkan industri dan komuniti tempatan; menjadi suara utama sosial (advokasi sosial) dalam meningkatkan peluang digital dan mempromosikan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat melalui penggunaan pelbagai aplikasi ICT yang  inklusif  di kawasan kemiskinan bandar, luar bandar dan pendalaman bandar untuk merapatkan jurang digital yang wujud; membantu dalam membina sebuah masyarakat berpengetahuan yang keterangkuman bagi menyediakan e-peluang yang sama-rata dan saksama bagi semua, tidak kira kepelbagain kaum etnik ataupun agama, untuk  mencapai kemapanan masyarakat madani yang berpengetahuan.


8. Kluster Industri dan Inovasi

Hala tuju yang dirangka di bawah kluster industri dan inovasi, Majlis Profesor Negara (MPN) akan berperanan sebagai pemangkin kepada semua inisiatif seperti yang dinyatakan dalam agenda inovasi negara. Perkara ini akan direalisasikan melalui pembentukan polisi dan dasar yang ada hubungkait dengan inovasi khususnya dalam sektor berkaitan industri. Polisi dan dasar yang digubal dengan teliti dan komprehensif kelak diharap dapat memudahkan dan menyemarakkan jaringan antara institusi terlibat iaitu universiti dan pihak industri. Polisi dan dasar ini juga akan memastikan hubungan dua hala antara universiti dan industri dapat dilaksanakan dengan lebih efisen, berkesan dan sistematik.  Usaha ini sangat penting bagi membangunkan keupayaan inovasi negara dan seterusnya mencapai matalamat Ekonomi  Berpandukan Inovasi.

Hala tuju kluster inovasi merangkumi tiga skop atau isu utama. Skop pertama ialah untuk menghasilkan individu yang mempunyai ciri-ciri daya kreativiti dan inovasi; berupaya untuk membuat jalinan dengan pihak industri; dan mempunyai ciri-ciri keusahawanan dalam pelbagai bidang industri. Usaha dan matalamat ini akan dicapai melalui sistem pembelajaran bersepadu yang akan digubal melalui semakan semula sepenuhnya kokurikulum pendidikan yang sedia ada.

Skop kedua pula ialah untuk menjana satu ekosistem inovasi tanpa mengira had. Penjanaan ekosistem inovasi ini mencakupi semua aspek yang ada kaitan dengan inovasi dan industri bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai daya inovasi yang tinggi. Melalui pendekatan ini matalamat untuk mengerakkan dan mewujudkan Ekonomi Berpandukan Inovasi dapat dicapai seperti yang dirancang.

Menakala skop ketiga pula bertujuan  untuk meningkatkan dan menggalakkan keupayaan inovasi asli tempatan. Inovasi asli ini adalah berdasarkan ilham dan kreativiti daripada penyelidik tempatan yang akan menjadi sebagai satu sumber baru dan berpotenasi dalam menjana pendapatan utama negara. Hasil asli tempatan ini umpamanya dapat diperolehi daripada sumber asli sedia ada berdasarkan produk tropika (tropical products) yang akan dihasilkan oleh masyarakat tempatan. Penjanaan hasil asli tempatan secara komersil melalui daya kreativiti, kolaborasi, inovasi dan keusahawanan sekiranya dapat dikembangkan secara intensif dijangka dapat menyumbang kepada Ekonomi Berpandukan Inovasi.


No comments:

Post a Comment