Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, April 13, 2012

Mansuh caj khidmat pinjaman PTPTN

KUALA LUMPUR 11 April - Mansuhkan bayaran perkhidmatan satu peratus bagi Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah antara perkara yang termasuk dalam resolusi Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional anjuran Biro Institusi Pengajian Tinggi Pemuda UMNO bersama PTPTN, di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, persidangan itu melibatkan 160 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), badan bukan kerajaan (NGO) serta badan perwakilan pelajar dan wakil PTPTN termasuk Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf. 

Resolusi itu menggariskan empat aspek meliputi pinjaman, pembayaran, tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan komunikasi bagi menangani isu yang perlu diselesaikan segera iaitu pembayaran balik PTPTN. 

Khairy berkata, persidangan itu setuju supaya sistem bayaran balik PTPTN dirombak dengan menetapkan paras gaji minimum peminjam RM3,000 sebagai pendapatan selesa untuk peminjam memulakan bayaran balik pinjaman. 

"Penambahbaikan itu perlu berlandaskan kepada tahap pendapatan yang selesa bukannya enam bulan selepas tamat belajar kerana kadang-kadang pelajar mendapat pekerjaan dengan gaji yang sedikit," katanya semasa Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional. 

Beliau berkata, tindakan menyenarai hitam yang menyebabkan kebebasan peminjam seperti urusan ke luar negara atau membuat pinjaman perlu dimansuhkan dan digantikan dengan kaedah lain.

"Kita faham PTPTN terpaksa menyenarai hitam tetapi ini merupakan langkah drastik kerana banyak rungutan diterima dan kita akan tampil untuk membantu menjejaki peminjam yang belum menjelaskan pinjaman," katanya.

Selain itu, resolusi itu turut menyatakan bahawa pinjaman bagi peminjam dari Sabah dan Sarawak untuk belajar ke Semenanjung hendaklah meliputi harga tiket penerbangan sekurang-kurangnya dua kali setahun.
"Saya sudah maklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membincangkan perkara ini," katanya. 

Khairy berkata, resolusi itu turut mencadangkan kerajaan supaya menyalurkan dana RM100 yang diperuntukkan kepada murid-murid sekolah terus kepada PTPTN bagi tujuan pembukaan akaun SSPN. 

"Kita perlu mendidik anak-anak menabung dari kecil supaya ada tabungan untuk sambung belajar tetapi kita perlu mempromosikan lagi SSPN bagi meningkatkan kesedaran rakyat negara ini," katanya.

Resolusi itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata 17 peratus peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman adalah disebabkan sikap tidak ambil peduli serta sambil lewa mengenai perkara ini. 

"Kita sedia berbincang untuk mengetahui masalah mereka dan sedia menerima bayaran walaupun RM50 sebulan serta sedia menangguhkan sehingga dua tahun bagi mereka yang belum mencapai tahap gaji yang selesa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment