KUALA LUMPUR 2 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan dua dasar baru yang
diperkenalkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam usaha
meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman menyifatkan dasar-dasar berkenaan
sebagai tidak relevan dan merupakan ‘langkah ke belakang’ berbanding
amalan sebelum ini.
Katanya, dasar tersebut langsung tidak mencerminkan daya saing dalam
kalangan pemohon yang berbeza kelayakan malah mendakwa ia adalah satu
pembaziran.
“Dasar seumpamanya pernah diamalkan dahulu, calon yang memiliki
Ijazah Sarjana Muda layak memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM). Bagaimanapun, ia lebih banyak mendatangkan masalah
berbanding menyelesaikannya, apa akan berlaku kepada calon yang memiliki
diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)?.
“Sekiranya calon memiliki ijazah tersebut menerima tawaran yang
setimpal dengan kelayakan, sudah tentu dia akan meninggalkan jawatan SPM
yang dimiliki. Kemudian, SPA perlu buat lagi temuduga untuk cari
pengganti, ia adalah pembaziran dan menyebabkan kekecohan.
“CUEPACS tidak bersetuju dan menolak dasar-dasar baru berkenaan. Ia
bukanlah penyelesaian yang realistik kepada masalah 35,000 pemilik
ijazah yang bekerja secara kontrak ketika ini," katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan SPA memperkenalkan dua dasar baru bertujuan
meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam berkuatkuasa
semalam.
Dasar yang diperkenalkan itu adalah membenarkan calon memiliki Ijazah
Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat SPM selain turut membenarkan
calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding
lima sahaja sebelum ini.
Ditanya sama ada CUEPACS akan berjumpa dan berbincang dengan SPA
berhubung pelaksanaan dasar-dasar berkenaan, Omar berkata, pihaknya
tidak akan berbuat demikian.
Sebaliknya, menurut beliau, pihaknya akan membincangkan perkara
berkenaan di dalam mesyuarat kongres dan akan membawanya kepada
perhatian Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara.
“Tiada sebab untuk kami berjumpa dengan SPA. Masa mereka bincang untuk melaksanakan dasar ini, kami langsung tidak dipanggil.
“Kami akan membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri.
Kalau tidak dapat, kami akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara,"
jelasnya.
No comments:
Post a Comment