SENAMROBIK SERENTAK 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA
TUJUAN
Kertas ini bertujuan
untuk menerangkan konsep
berhubung Senamrobik Serentak 1Murid
1Sukan 1Malaysia Peringkat
Kebangsaan yang akan
dilaksanakan pada 10
Julai 2012 (Selasa).
LATAR BELAKANG
2. YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd
Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran
Malaysia telah menyempurnakan pelancaran
dasar 1Murid 1Sukan pada 02 Julai 2011. Dasar 1Murid 1Sukan ini diwujudkan supaya
kegiatan sukan di sekolah disemarak dan
diperkasakan. Sehubungan itu, pelbagai
program telah dan sedang dilaksanakan untuk
merealisasikan dasar tersebut
bermula di peringkat
sekolah hingga ke peringkat
kebangsaan.
3. Senamrobik
Serentak 1Murid 1Sukan
1Malaysia sebagai kesinambungan kepada
pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.
Senamrobik serentak ini dijangka akan mencatat sejarah dalam Malaysia
Book of Records (MBR)
sebagai “Largest Simultaneous
Participation of School Students In An Aerobic Session”. Secara keseluruhan
senamrobik akan disertai oleh sekurang-kurangnya
4.5 juta murid, guru dan warga KPM.
Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) juga digalakkan untuk bersama-sama menjayakan aktiviti senamrobik
ini.
4. Dua rekod pencapaian berkaitan senamrobik sebelum ini yang
telah tercatat di dalam Malaysia Book of Records (MBR)
iaitu:
4.1 “Largest Children Aerobic Session” yang berlangsung di Lumut Perak pada 27 Disember 2003 dan melibatkan penyertaan seramai 8,123 orang.
4.2 “Largest Participation In
An Aerobic Session anjuran Kementerian Belia
dan Sukan (KBS) pada 15 Jun 2003 yang melibatkan
penyertaan seramai 157,574 orang.
ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
5. Senamrobik
Serentak 1Murid 1Sukan
1Malaysia bertujuan untuk
menghidupkan kembali dan
mengaktifkan semula aktiviti senamrobik di sekolah selaras dengan:
5.1 Surat Pekeliling
Ikhtisas (SPI) Bil.
10/1988: Senaman Beramai-ramai
Untuk Meningkatkan Kecergasan
Dan Tahap Kesediaan
Murid dan Guru
Untuk Bersukan Disamping
Melibatkan Penyertaan Beramai-Ramai; dan
5.2 Laporan Jawatankuasa
Kabinet Mengkaji Pelaksanaan
Dasar Pelajaran 1979 juga memperakukan: “Sekolah-sekolah hendaklah mengadakan
senaman beramai-ramai yang melibatkan penyertaan semua murid”.
6. Mesyuarat Jawatankuasa
Pembangunan Sukan Sekolah
Siri 4 Bil.
1/2012 yang dipengerusi
oleh YAB Timbalan Perdana
Menteri merangkap Menteri
Pelajaran Malaysia pada 27 Februari 2012 telah bersetuju
Bahagian Sukan menganjurkan Senamrobik Serentak
1Murid 1Sukan 1Malaysia pada tahun ini.
Memandangkan pada bulan Julai setiap tahun, Bahagian Sukan menganjurkan Bulan Kecergasan
KPM, adalah sesuai tarikh ini dipilih bagi
Majlis Pelancaran Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat
kebangsaan.
7. Aktiviti senamrobik
merupakan senaman sesi
memanaskan badan yang
menarik sebelum melaksanakan
aktiviti bersukan. Melalui
senamrobik, tahap kesediaan
untuk melakukan aktivtiti
daripada intensiti rendah ke tahap intensiti tinggi akan lebih terancang
disamping membantu
meransang otot dan
tubuh badan secara
teratur. Aktiviti senamrobik
merupakan senaman yang
terancang yang boleh
dilakukan beramai-ramai untuk meningkatkan
kecergasan disamping memperoleh keseronokan dan ketenangan minda.
8. Aktiviti fizikal
seperti senamrobik merupakan salah satu cara senaman yang mampu meningkatkan
prestasi paru-paru dan
mengurangkan implikasi saluran
darah tersumbat disebabkan
kolesterol. Melalui aktiviti
senamrobik, murid-murid dan
guru-guru dapat meningkatkan
kecergasan fizikal seterusnya
mampu melakukan aktiviti
seharian tanpa merasa
letih. Keupayaan fizikal
yang optimum melalui
aktiviti senamrobik meningkatkan
kecergasan serta kesihatan dan minda yang cerdas terletak kepada tubuh
yang sihat.
9. Setiap individu
boleh meningkatkan kecergasan fizikalnya hingga ke tahap maksima. Aktiviti
senamrobik merupakan salah
satu aktiviti kecergasan
fizikal yang seimbang,
terdiri dari gabungan
senaman yang boleh
meningkatkan daya kadiovaskular
atau daya tahan aerobik, kekuatan otot, ketahanan
dan kelenturan. Selain
daripada itu, aktiviti
senamrobik juga meningkatkan
kecergasan pelakuan psikomotor
yang melibatkan kelajuan,
keseimbangan, koordinasi, kuasa dan ketangkasan.
10. Senamrobik adalah satu
aktiviti yang amat sesuai dilakukan oleh semua
lapisan masyarakat dan peringkat
umur. Aktiviti senamrobik amat penting
dijadikan amalan kerana senamrobik:
10.1 merupakan faktor utama dalam membantu
mengurangkan tekanan dan stress serta meningkatkan kekuatan fungsi otak;
10.2 dapat meningkatkan daya tahan otot jantung
dan mencegah daripada penyakit jantung
dan pembuluh darah;
10.3 dapat meningkatkan
keupayaan aerobik dan psikomotor; dan
10.4 dapat menurunkan kadar
lemak dalam badan serta mengekalkan berat badan
sihat.
Senamrobik 1Murid 1Sukan
1Malaysia
11. Senamrobik 1Murid
1Sukan 1Malaysia merupakan
landasan bagi sekolah
melaksanakan aktiviti senamrobik
di sekolah sebagai
aktiviti amalan sepanjang
tahun di semua sekolah seluruh Negara. Aktiviti senamrobik ini juga boleh dilakukan
dalam semua program di sekolah kerana
ianya dapat menceriakan program yang dianjurkan dan berupaya memeriahkan aktiviti sukan di sekolah. Seterusnya aktiviti senaman yang menarik ini
akan dapat mengekalkan lajakan
berterusan pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan.
12. Aktiviti senamrobik
dapat dipraktikkan di dalam kehidupan seharian murid-murid sejak dari kecil
sehingga dewasa dan seterusnya menjadikan amalan gaya hidup
sihat dan aktif
kepada semua masyarakat.
Akhir sekali adalah
diharapkan murid-murid dapat melibatkan diri
dalam aktiviti sukan secara
menyeluruh dan bersepadu
bagi menjayakan dasar 1Murid 1Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Matlamat
13. Matlamat mengadakan
aktiviti senamrobik ini
adalah untuk melahirkan
generasi murid yang
cergas dan sihat,
dan membudayakan senaman
sebagai amalan yang rutin
sepanjang kehidupan mereka. Menerusi
senamrobik, setiap murid akan tertarik
untuk melakukannya kerana senaman ini dilakukan dengan iringan muzik
beserta dengan gaya senaman yang dapat
menyihatkan tubuh badan. Di samping itu, aktiviti senamrobik
ini juga bertujuan
membina keyakinan diri
murid supaya yakin melibatkan
diri di dalam aktiviti cergas seperti senamrobik dan sukan.
Objektif
14.
Senamrobik 1Murid 1Sukan
1Malaysia dijadikan amalan
di sekolah-sekolah bagi mencapai
objektif berikut:
14.1 meningkatkan
kecergasan dan tahap kesediaan murid dan guru untuk bersukan;
14.2 melibatkan penyertaan
semua murid;
14.3 mengamal dan
mempraktikkan gaya hidup sihat dan cergas;
14.4 mengamalkan aktiviti
kecergasan fizikal dengan cara yang betul;
14.5 meningkatkan
kesepakatan dan menyemarakkan semangat esprit
de corp;
STRATEGI PELAKSANAAN
Peringkat Kebangsaan
15. Pelancaran Senamrobik
Serentak 1Murid 1Sukan
1Malaysia akan dilaksanakan di peringkat kebangsaan
pada 10 Julai
2012 (Selasa), jam
8.00 pagi dan
bertempat di Kompleks Sekolah Wawasan USJ15, Subang Jaya,
Selangor. Bahagian Sukan bercadang YAB
Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Pelajaran
Malaysia menyempurnakan majlis
pelancaran ini. Cadangan
aturcara Majlis Senamrobik
Serentak 1Murid 1Sukan
1Malaysia peringkat kebangsaan
adalah seperti di Lampiran I.
Peringkat Sekolah, Daerah
dan Negeri
16. Pada tarikh
dan masa yang
sama, Senamrobik Serentak
1Murid 1Sukan 1Malaysia
akan dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah dan negeri. Semua sekolah seluruh negara akan
melaksanakan senamrobik serentak
pada 10 Julai 2012 (Selasa), jam
8.00 pagi di sekolah masing-masing
pada waktu perhimpunan
rasmi sekolah. Pegawai-pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat
Pelajaran Daerah (PPD) akan bersama-sama
menyempurnakan pelancaran senamrobik
ini di sekolah-sekolah yang
berhampiran. Cadangan aturcara
Majlis Senamrobik Serentak
1Murid 1Sukan 1Malaysia
peringkat kebangsaan adalah
seperti di Lampiran II.
Lagu dan Rentak
Senamrobik
17. Bagi tujuan mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR), tempoh
masa minima yang
ditetapkan adalah 30
minit. Sehubungan dengan
itu, Bahagian ini
telah menyediakan cakera padat
senamrobik bagi tempoh 35 minit bermula dengan tahap intensiti rendah
kepada tahap intensiti
tinggi untuk digunakan
khusus pada Majlis
Pelancaran Senamrobik Serentak
1Murid 1Sukan 1Malaysia sebagai memenuhi syarat yang ditetapkan oleh
pihak Malaysia Book
of Records (MBR). Walaubagaimanapun, bagi
melaksanakan aktiviti senamrobik
di sekolah selepas
pelancaran ini, pihak
sekolah boleh menggunakan
mana-mana cakera padat atau lagu dan rentak lain yang bersesuaian untuk melaksanakan akitiviti senamrobik di sekolah.
PENUTUP
18. Senamrobik Serentak
1Murid 1Sukan 1Malaysia
Sempena Pelancaran Bulan Kecergasan Peringkat
Kebangsaan KPM 2012
diharapkan dapat mengembalikan
semula keaktifan aktiviti
senamrobik di sekolah.
Senamrobik ini juga
diharapkan sebagai satu platform
bagi warga pendidikan memulakan amalan atau budaya bersukan dengan cara
yang mudah dan menyeronokkan.
- Design T-Shirt
- Surat Siaran Pelaksanaan Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia 2012
- Video Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia
JUMLAH
PRA PENDAFTARAN PENGLIBATAN KESELURUHAN MURID YANG MENGAMBIL BAHAGIAN
DALAM SENAMROBIK SERENTAK 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA 2012.
Bil | Nama Negeri | Jumlah Pra Pendaftaran |
1 | PERLIS | 22764 |
2 | KEDAH | 70472 |
3 | PULAU PINANG | 7219 |
4 | PERAK | 95184 |
5 | WP KUALA LUMPUR | 8584 |
6 | WP PUTRAJAYA | - |
7 | SELANGOR | 12955 |
8 | NEGERI SEMBILAN | 9188 |
9 | MELAKA | 13495 |
10 | JOHOR | 62580 |
11 | PAHANG | 51531 |
12 | TERENGGANU | 69504 |
13 | KELANTAN | 84517 |
14 | SABAH | 92100 |
15 | SARAWAK | 48950 |
16 | WP LABUAN | 1619 |
Jumlah keseluruhan | 650662 |
No comments:
Post a Comment