SEBANYAK 30 buah sekolah menengah dan rendah mewakili Wilayah
Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor berjaya menempah
tempat ke peringkat separuh akhir Pertandingan Anugerah Kelab Setem
Cemerlang, OMG Kembara Setem 2012.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid
Abdol Rahman berkata, sebanyak 60 sekolah berjaya melepasi peringkat
saringan awal namun hanya 30 sekolah layak ke peringkat separuh akhir.
''Kita berharap dengan menyertai program ini, guru dan pelajar akan
lebih menghargai keistimewaan produk setem dan filateli sekali gus
menjadikannya sebagai salah satu pengalaman dalam pembelajaran mereka,"
katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan pemilihan 30 sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Siri jelajah OMG Kembara Setem Pos Malaysia di kawasan Zon
Tengah terdiri Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
bermula Mac sehingga September ini menyediakan pelbagai aktiviti yang
berkaitan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Selain itu, kata Khalid, penganjuran pertandingan itu bertepatan
dengan konsep Pos Malaysia iaitu mewujudkan kesedaran dan minat
mengumpul setem di kalangan pelajar dan menggalakkan penubuhan Kelab
Setem dan Filateli.
Sempena Pertandingan Anugerah Kelab Setem Cemerlang, OMG Kembara
Setem kali ini, turut diadakan program Motivasi Sekolahku Juara oleh
Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar bertujuan memberi perangsang dan
menarik minat para pelajar untuk terus mengumpul produk setem dan
filateli.
Pihak pengurusan sekolah rendah dan menengah yang berminat untuk
menubuhkan Kelab Setem dan Filateli di sekolah mereka diminta
menghubungi Unit Setem & Filateli Pos Malaysia di talian 03-2275
6656 atau melalui e-mel filateli@pos.com.my.
No comments:
Post a Comment