Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, August 11, 2012

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)


ILIM Sepintas Lalu



Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) merupakan institut yang bertanggungjawab menyediakan kursus, seminar dan latihan kepada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam dari agensi agama Islam seluruh Malaysia. Walaubagaimanapun, tawaran juga dibuka kepada pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan kerajaan yang berminat.

ILIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM yang ditubuhkan pada 1997 telah menjalani fasa 1 dan fasa 2 dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung di atas keluasan tanah 31 ekar di Bangi , Selangor. ILIM mempunyai seramai 116 pegawai dan kakitangan. ILIM telah beroperasi dengan kekuatan 7 pusat utama dan masing-masing menganjurkan kursus, seminar, muhadharah serta latihan menarik yang disertai oleh para peserta dari Malaysia dan dari luar Negara.

Selaras visi untuk menjadi peneraju latihan Islam bertaraf global, ILIM telah mengadakan pelbagai program antarabangsa dan di peringkat serantau seperti Kursus Profesionalisme Imam Negara Maldives dan Kursus Profesionalisme Imam Negara Serantau yang diadakan setiap tahun.

Sejajar dengan pertambahan pelawat dan peserta kursus, ILIM telah mengamalkan Amalan Persekitaran Berkualiti dan telah mendapat Anugerah Amalan Persekitaran Berkualiti oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia pada tahun 2009.
Mulai tahun 2010, ILIM menyediakan kursus di peringkat diploma dan sijil tinggi iaitu Diploma Pengurusan Islam dan Sijil Tinggi Sains Dakwah.

Selaras dengan permintaan dan keperluan semasa yang kian meningkat dari dalam dan luar negara, satu cawangan baru telah dibuka iaitu ILIM Wilayah Timur yang bertempat di Besut,Terengganu. ILIM Wilayah Timur mula beroperasi pada 16 Februari 2010 bagi menampung keperluan kursus untuk masyarakat di Pantai Timur, semenanjung Malaysia. Untuk keperluan yang lebih maksimum, satu lagi cawangan institut latihan Islam akan dibina untuk wilayah Utara yang bertempat di Kuala Kangsar, Perak.


Sejarah ILIM

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1997. Sebelum itu ia dikenali sebagai Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH), Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri (JPM). INDAH ditubuhkan pada April 1974. Penubuhan INDAH bagi memenuhi hasrat dan cita-cita umat Islam di Malaysia yang ingin melihat penubuhan sebuah institut latihan yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan di peringkat pusat. INDAH ditubuhkan hasil dari Persidangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Keenam pada 16 Disember 1971 yang dipengerusikan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Haji Hussein Perdana Menteri Malaysia yang ke-2.

Selaras dengan pembesaran fungsi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) maka pada 1 Januari 1997 INDAH telah bertukar dan diwujudkan tiga bahagian iaitu Dakwah, Latihan dan ILIM. ILIM mula beroperasi di Bandar Baru Bangi Selangor mulai Julai 1999 dengan penubuhan dua pusat pengajian iaitu :
  1. Pusat Pengajian Hal Ehwal Islam (PPHEI)
  2. Pusat Pengajian Undang-Undang dan Mahkamah Syariah (PPUMS)
        
Selaras dengan perkembangan struktur organisasi dan pertambahan perjawatan baru, Bahagian Latihan ILIM mempunyai tujuh pusat dan satu unit yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan iaitu:

  1. Pusat Bahasa (PB)
  2. Pusat Pengajian Sains Dakwah (PPSD)
  3. Pusat Pengurusan dan Undang-undang Islam (PPUI)
  4. Pusat al-Quran dan Ilmu Teras (PQIT)
  5. Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam (PEKI)
  6. Pusat Pembangunan Keluarga Islam (PKKI)
  7. Pusat Teknologi Maklumat (PTM)
  8. Unit Pembangunan Latihan & Penerbitan (UPLP)
           
Manakala Bahagian Khidmat Pengurusan dilengkapi dengan lima unit berikut bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan ILIM iaitu:
  1. Unit Pentadbiran & Sumber Manusia
  2. Unit Perpustakaan
  3. Unit Kewangan
  4. Unit Domestik
  5. Unit Pengurusan Aset
 
Kehebatan ILIM dalam merealisasikan visi, misi, fungsi dan objektif adalah hasil kepimpinan dan komitmen tinggi pengarah terdahulu dan sekarang. Sejak ditubuhkan, ILIM telah diterajui oleh lima orang  pengarah iaitu:
 
  1. Haji Abdullah Fahim Bin Abdul Rahman (3 Julai - 15 November 1998)
  2. Haji Md. Zaki Bin Ab. Manan (9 Februari 1999 - 28 Jun 2004)
  3. Datuk Haji Ahmad Mustafa Bin Haji Karim (3 Januari 2005 - 7 Disember 2007)
  4. Haji Paimuzi Bin Yahya (12 Disember 2007 - 15 Disember 2010)
  5. Che Ibrahim bin Che Man (16 Disember 2010 - 5 Disember 2011)
  6. Hajah Pauzaiyah binti Haron (14 Disember 2011 - sekarang)
Sumber ILIM

No comments:

Post a Comment