Pages

Pages

Pages - Menu

Tuesday, August 7, 2012

LIGA JUARA REMAJA BOLA JARING KPM 2012



PERATURAN PERTANDINGAN
LIGA JUARA REMAJA BOLA JARING KPM 2012

PERKARA 1 : TAKRIF / TAFSIRAN
1. TAFSIRAN
Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM akan mengguna pakai tafsiran-tafsiran berikut :
“KPM” bermakna Kementerian Pendidikan Malaysia yang mempunyai hak mutlak sebagai penganjur Pertandingan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM 2012.”
“ Persatuan atau IFNA bermaksud International Female Netball Association”
“JK Pengelola” bermaksud Jawatankuasa Pengelola yang dilantik oleh KPM.
“ JK Teknikal “ bermaksud Jawatankuasa Teknikal yang bertanggungjawab ke atas semua hal-hal teknikal dalam Pertandingan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM yang dilantik oleh KPM
“Peraturan” bermakna Peraturan Pertandingan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM 2012.
“Liga Juara Remaja” bermaksud liga bola jaring yang dikelolakan oleh KPM .
“SSN” bermaksud Sekolah Sukan Negeri yang mengunakan dana KPM.
“Pasukan” bermaksud pasukan bola jaring yang disahkan penyertaannya di dalam Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM.
“Pegawai” bermaksud Pegawai Perlawanan dan Pegawai Pasukan.
“Pegawai Perlawanan” bermakna Pengarah Pertandingan, Pengurus Gelanggang, Ketua Pengadil, Pengadil, Pegawai Teknikal, Pegawai Keselamatan, Pegawai Kecemasan dan mana-mana individu yang diberi kuasa oleh menjalankan tugas bagi pihak KPM.
“Pegawai Pasukan” bermakna mana-mana pegawai mewakili pasukan yang telah disahkan pendaftaranya untuk menyertai Liga Juara Remaja 2012.
“Kumpulan Pengadil” bermakna Ketua Pengadil, Pengadil dan Pengadil ke 3 yang dilantik.
“Pengarah Pertandingan” bermaksud pegawai yang dilantik bagi mengurus dan mengelola perlawanan Liga Juara Remaja.
“ Pemain” bermakna mana-mana pemain bola jaring warganegara Malaysia yang disahkan pendaftaranya oleh KPM untuk menyertai Liga Juara Remaja.
“Lesen” bermaksud surat kebenaran atau kad pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JK Pengelola dengan tujuan membolehkan pemegang lessen menyertai aktiviti Liga Juara Remaja tertakluk kepada undang-undang dan Peraturan.
“Organisasi Teknikal Perlawanan” merujuk garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM dan perlu dipatuhi bagi mengelolakan semua perlawanan di dalam Liga Juara Remaja.
“Undang-undang” bermakna Undang-undang IFNA dan Peraturan Am MSSM semasa yang berkaitan dengan pengelolaan dan pengurusan Liga Juara Remaja.
“Pendaftaran Permulaan Perlawanan” bermakna sejumlah pemain yang layak bermain didaftarkan di dalam borang-borang tertentu yang dikeluarkan oleh JK Pengelola untuk bermain di dalam satu satu perlawanan Liga Juara Remaja.
“Pemain dan Pegawai yang tidak layak” bermakna mana-mana pemain dan pegawai yang tidak disahkan pendaftarannya oleh JK Pengelola atau masih menjalani hukuman kerana kesalahan melanggari Peraturan dan Undang-Undang.
“Aktiviti bola jaring” bermakna:
i. Penganjuran, Pengelolaan atau penyertaan dalam Pertandingan Bola Jaring, seminar, klinik, kursus untuk bola jaring dan lain-lain aktiviti yang bersampingan dan berkaitan dengan permainan bola jaring termasuklah aktiviti seperti yang diputuskan oleh JK Pengelola yang disertai oleh pegawai dan pemain.
          

PERKARA 2: PEMATUHAN PERATURAN AM, PIALA DAN PERATURAN AM.
2.1 PEMATUHAN PERATURAN
2.1.1 Kejujuran dan Keikhlasan mematuhi semua undang-undang dan Peraturan mengenai pengurusan dan pentadbiran dalam penyertaan Liga Juara Remaja Bola Jaring adalah menjadi tanggungjawab dan bertanggungjawab ke atas pasukan , pegawai dan pemain.
2.1.2 Mana-mana pasukan, pegawai atau pemain yang mengingkari mana-mana perkara di dalam peraturan dan perkara 2.1.1 boleh dikenakan tindakan atau tindakan-tindakan seperti berikut:
i. Pasukan dikira kalah dan kemenangan diberikan kepada pasukan yang satu lagi dengan 3 mata dan jaringan gol 10 - 0 Atau jaringan semasa perlawanan diberhentikan atau perlawanan tamat, jika ianya lebih.
ii. Memotong mata perlawanan pasukan.( 9 mata )
iii. Penggantungan pasukan. Pegawai atau pemain untuk beberapa perlawanan atau liga berikutnya;
iv. Pasukan dan Pemain mestilah memulangkan balik Piala, pingat atau hadiah wang tunai yang telah diterima, jika ada. Wang tunai hendaklah dipulangkan sepenuhnya mengikut jumlah yang diterima.
v. Pasukan terkeluar daripada Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM 2012 dan semua perlawanan terdahulu tidak dikira serta digantung automatik selama dua (2) tahun atau 2 musim atau lebih.
vii. Pendaftaran pemain dan pegawai terbatal serta merta dan dengan demikian semua perlawanan terdahulu disertai oleh pemain ini dikira kalah dengan jaringan 10 - 0 atau mengikut jaringan sebenar jika ianya lebih.
viii. Apa- apa tindakan atau tindakan-tindakan lain yang difikirkan perlu dan patut oleh JK Pengelola.

2.2 NAMA PERTANDINGAN DAN PIALA
2.2.1. Liga Juara Remaja Bola Jaring akan mengandungi Pertandingan seperti berikut:
i. Pertandingan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM

2.3 TEMPOH PENYIMPANAN PIALA
Pasukan Johan boleh menyimpan Piala selama Tiga (3) bulan dari tarikh ia menjadi Johan. Pasukan juga boleh menulis nama pasukannya sebagai Johan musim berkenaan pada Piala tersebut. Selepas tiga (3) bulan Piala mestilah dipulangkan kepada JK Pengelola dalam keadaan baik.Pasukan boleh menyimpan piala sekiranya memenangi kejohanan sebanyak 3 tahun berturut-turut.

2.4 TANGGUNGJAWAB PASUKAN TERHADAP PIALA
Pasukan mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan dan memastikan tiada sebarang kecacatan atau sebarang kerosakan terjadi kepada Piala. Piala hilang atau rosak, Pasukan bertanggungjawab membaiki kerosakan tersebut atau menggantikan semula dengan Piala yang baru yang mana kos terlibat ditanggung sepenuhnya oleh Pasukan. Jika digantikan dengan Piala yang baru, ia mesti mendapat kelulusan dari JK Pengelola terlebih dahulu.

2.5 PERATURAN AM
2.5.1 Selain daripada peraturan-peraturan yang terkandung, pertandingan ini akan dijalankan mengikut Peraturan IFNA dan PBJM
2.5.2 Kejadian luar jangka dan tidak dinyatakan di dalam peraturan berkenaan akan diputuskan seperti berikut :
i. Semua kejadian am iaitu perkara-perkara bukan teknikal akan diputuskan oleh JK Pengelola.
ii. Sebarang perselisihan teknikal akan diputuskan oleh JK teknikal berasaskan kepada peraturan IFNA / MSSM dan undang-undang yang mana keputusannya adalah muktamad. 2.5.3 MSSM / KPM bertanggungjawab di dalam pengelolaan teknikal pertandingan meliputi :
i. Memastikan keperluan-keperluan teknikal adalah mengikut prosedur dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh KPM , MSSM dan IFNA
ii. Bertanggungjawab ke atas organisasi teknikal perlawanan dan seluruh kawalan serta pengurusan teknikal pertandingan dengan bantuan JK Pengelola.
iii. Melantik Pengarah Pertandingan atau Penolong Pengarah Pertandingan yang mewakili JK Teknikal untuk menyelia dan memutuskan perkara-perkara yang memerlukan keputusan segera di venue kejohanan.
iv. Mengelola taklimat kepada pegawai pasukan sebelum pertandingan bermula untuk menerangkan perkara-perkara terknikal pertandingan.
V Memutuskan kes-kes tatatertib mengikut kod tatatertib MSSM dengan bantuan Jk Pengelola.
vi. Merujuk kepada JK tetap KPM yang berkaitan jika terdapat masalah serius yang memerlukan keputusan.
vii. Mengadakan kursus-kursus terutama dalam bidang teknikal jika diminta berbuat demikian oleh KPM atau JK Pengelola.

PERKARA 3 : PERATURAN TEKNIKAL
3.1 PENYERTAAN
3.1.1 KPM akan memaklumkan penyertaan Liga Juara Remaja Bola Jaring kepada pasukan yang layak dan hendaklah menetapkan tarikh tutup penyertaan tersebut.
3.1.2 Pasukan yang gagal mengesahkan penyertaan pada tarikh yang ditetapkan akan dikira terkeluar daripada Liga Juara Remaja Bola Jaring .

3.3 MASA PERLAWANAN
3.3.1 Apabila sesuatu pasukan itu bermain dua atau lebih permainan dalam satu hari atau jika masa terhad, tempoh permainan hendaklah dipersetujui oleh Pegawai Pasukan.
3.3.2 Jika persetujuan tidak tercapai, maka permainan itu hendaklah dimainkan dengan 2 bahagian, iaitu selama 20 minit setiap separuh masa. Masa rehat hendaklah selama 5 minit. Pasukan akan bertukar gol pada akhir separuh masa.
3.3.3 Masa rehat boleh dilanjutkan oleh Pengadil untuk menguruskan sesuatu keadaan luar jangkaan atau kecemasan.

3.4 FORMAT PERTANDINGAN
Format pertandingan ditetapkan oleh JK Pengelola dan hendaklah dimaklumkan kepada pasukan-pasukan sebelum pertandingan.

3.5 MATA PERLAWANAN
Pasukan yang menang akan mendapat 3 mata, 1 mata bagi seri dan tiada mata bagi pasukan yang kalah.

3.6 PENENTUAN PASUKAN TERATAS ATAU PEMENANG
3.6.1 Dalam pertandingan liga , penentuan pasukan teratas atau pemenang mengikut susunan hiraki seperti berikut:
i. Pasukan yang mendapat jumlah mata tertinggi, dikira sebagai pemenang.
ii. Pasukan yang mempunyai perbezaan gol terbanyak dalam semua perlawanan diperingkat liga diantara pasukan-pasukan terlibat
iii. Pasukan yang mempunyai purata gol yang tertinggi, dikira sebagai pemenang.
iv. Jika terdapat dua (2) atau lebih pasukan mendapat mata yang sama, maka hendaklah merujuk kepada keputusan perlawanan awal peringkat liga antara pasukan-pasukan yang terlibat untuk menentukan pasukan teratas atau pemenang mengikut susunan hiraki berikut:-
a) Pasukan yang mendapat jumlah mata yang terbanyak di antara pasukan-pasukan yang terlibat, jika sama ;
b) Pasukan yang mempunyai perbezaan gol terbanyak di antara pasukan-pasukan terlibat, jika sama;
c) Pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol yang terbanyak di antara pasukan-pasukan terlibat, jika sama;
d) Diputuskan oleh JK Pengelola dan keputusan ini adalah muktamad.
(lambung syiling atau main semula 7:1:7)
3.6.2 Dalam pertandingan kalah mati satu pusingan atau perlawanan akhir liga penentu pemenang adalah mengikut hiraki berikut:
i. Pasukan yang menang perlawanan sepenuh masa, jika seri
ii. Masa tambahan sebanyak 7 minit separuh masa pertama, 7 minit separuh masa kedua dengan rehat selama 3 minit, jika seri
iii. Jika seri selepas masa tambahan, permainan diteruskan sehingga salah satu pasukan mendahului dengan dua (2) gol.

3.7 PENGGANTIAN PEMAIN
3.7.1 Penggantian pemain ialah maksimum 3 orang termasuk dalam masa tambahan.
3.7.2 Penggantian berlaku apabila pemain keluar gelanggang dan diganti oleh pemain yang lain.
3.7.3 Pertukaran posisi dalam gelanggang berlaku apabila posisi pemain disusun semula dalam gelanggang.
3.7.4 Kedua – dua pasukan berhak membuat penggantian dan / atau pertukaran posisi samada:
i) semasa rehat
ii) apabila permainan diberhentikan kerana kecederaan atau sakit. Walau
bagaimanapun dalam kes ini, pemain yang cedera atau sakit yang
menyebabkan permainan diberhentikan mestilah terlibat dalam penggantian
dan/ atau pertukaran posisi.

3.8 PERLAWANAN YANG DITUNDA ATAU DIHENTIKAN
3.8.1 Sekiranya pengadil berpendapat bahawa perlawanan tidak boleh dimainkan atau dihentikan sebelum tamat tempoh bermain penuh masa permainan atau diberhentikan semasa dalam permainan dalam masa tambahan kerana sebab- sebab luar jangka atau bencana atau dihentikan oleh pengadil, maka perlawanan tersebut akan dimainkan semula mengikut keputusan pengadil dan Jawatankuasa Pengelola.
3.8.2 JK Pengelola hendaklah menyediakan venue bagi perlawanan-perlawanan yang diberhentikan atau ditunda.

3.9 UNDIAN DAN JADUAL PERTANDINGAN
3.9.1 Undian sesuatu pasukan adalah muktamad.
3.9.2 JK Pengelola hendaklah menyusun Jadual Pertandingan dan mengedarkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian sebelum bermulanya pertandingan.

3.10 WAKTU BERMULA SESUATU PERLAWANAN.
3.10.1 Waktu bermula sesuatu perlawanan adalah seperti tercatat dalam Jadual Pertandingan rasmi dan hanya boleh dipinda dengan kelulusan JK Pengelola sahaja.
3.10.2 Jika waktu bermula sesuatu perlawanan adalah hampir sama dengan waktu kedengaran azan, maka perlawanan hendaklah dimainkan selepas tamat azan tersebut. Jika permainan sedang dijalankan dan azan kedengaran, permainan hendaklah dihentikan dan disambung semula selepas azan tamat.
3.10.3 Waktu bermulanya bagi semua perlawanan terakhir peringkat liga hendaklah dimainkan pada masa dan tarikh yang sama kecuali ditetapkan berlainan oleh JK Pengelola.

3.11 BILANGAN PEMAIN YANG MENCUKUPI
3.11.1 Sekiranya kurang daripada 5 orang pemain dari salah satu pasukan berada dalam gelanggang apabila pengadil memerintahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang diiklankan, maka pasukan yang mempunyai 5 orang atau lebih permain hendaklah diberi kemenangan percuma dengan jumlah jaringan (10-0 )
3.11.2 Jika permainan dihentikan kerana salah satu pasukan mempunyai kurang dari 5 orang pemain, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan. (Rujuk peraturan 2.1.2)

3.12 VENUE
3.12.1 Hanya stadium dan venue yang diperiksa dan diluluskan oleh JK Pengelola dibenar untuk digunakan.
3.12.2 Venue untuk pertandingan akhir akan dijalankan di liga terakhir.
3.12.3 Semua venue perlawanan hendaklah bermain di gelanggang tertutup, separuh terbuka atau di dalam dewan sahaja.

3.13 BOLA PERTANDINGAN
3.13.1 Bola pertandingan yang digunakan hendaklah seperti yang disediakan oleh KPM atau diluluskan oleh JK Pengelola. Setiap perlawanan hendaklah disediakan sekurang-kurangnya 6 biji bola yang memenuhi syarat perlawanan.

3.14. AKREDITASI PEMAIN DAN PEGAWAI
3.14.1 Semua pemain dan pegawai mestilah mempunyai kad perakuan yang dikeluarkan dan disahkan oleh KPM, tertakluk kepada syarat yang telah ditentukan.
3.14.2 Kad akreditasi pemain dan pegawai ini sah laku hingga tamat musim berkenaan kecuali dibatalkan atau dilanjutkan oleh JK Pengelola.
3.14.3 Kad yang hilang atau rosak hendaklah dilaporkan kepada KPM dengan segera. Pengeluaran setiap kad baru akan dikenakan bayaran caj RM20.00.
3.14.4 Kad hendaklah ditunjukkan kepada pegawai perlawanan sebelum perlawanan bermula atau pada bila-bila masa yang diperlukan untuk tujuan pemeriksaan atau pengesahan.
3.14.5 Pegawai tanpa kad tidak dibenarkan berada digelanggang perlawanan, bangku simpanan, kawasan teknikal dan bilik persalinan.
3.14.6 Pemain atau pemain-pemain tanpa kad tidak layak bermain dalam semua perlawanan Liga Juara Remaja. JK Pengelola boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai atau pemain yang menurunkan pemain yang tidak layak. (Rujuk peraturan 2.1.2)

3.15 PEGAWAI DAN PEMAIN DI BANGKU SIMPANAN
3.15.1 Maksimum tiga (3) orang pegawai pasukan dan tiga (3) orang pemain simpanan boleh dibenarkan duduk di bangku simpanan.
3.15.2 Pegawai dan pemain yang duduk di bangku simpanan hendaklah sentiasa memakai kad yang dikeluarkan oleh KPM.
3.15.3 Pegawai dan pemain hendaklah mematuhi peraturan mengenai tingkah laku di gelanggang perlawanan.
3.15.4 Kelakuan pegawai pasukan di bangku simpanan hendaklah sentiasa bersopan dan bertanggungjawab.
3.15.5 Pegawai pasukan dan pemain dibangku simpanan dilarang sama sekali melakukan perkara-perkara berikut: (Rujuk peraturan 2.1.2)
i. Memasuki kawasan permainan tanpa kebenaran JK Pengelola / JK Teknikal
ii. Provokasi samada dengan perkataan atau perbuatan, mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan atau isyarat lucah kepada mana-mana pegawai pasukan,pemain serta pegawai pertandingan.
iii. Membantah atau sentiasa membantah keputusan pengadil sama ada dengan perkataan, perbuatan niat atau apa-apa perlakuan yang boleh menimbulkan keresahan penonton.
iv. Merosakkan peralatan bangku simpanan atau melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan bangku simpanan dan kawasan teknikal serta sebarang peralatan pengelolaan perlawanan.

3.16 FORMAT PERTANDINGAN
3.16.1 Pertandingan Bawah 14 tahun.
3.16.2 Perlawanan secara liga satu kumpulan.

3.17. PERLAWANAN PERINGKAT AKHIR
3.17.1 Pasukan teratas liga akan bermain dengan pasukan kedua teratas bagi menentukan Juara dan Naib Juara.
3.17.2 Pasukan ketiga akan bermain dengan pasukan ke empat bagi menentukan pemenang Tempat ke 3 dan Ke empat.

PERKARA 4: PASUKAN, PEGAWAI DAN PEMAIN
4.1 KELAYAKAN DAN PENDAFTARAN PASUKAN
4.1.1 Setiap pasukan yang mengesahkan penyertaan Pertandingan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM hendaklah mematuhi perkara-perkara berikut:
i. Hanya pasukan SSM dan SSN sahaja yang boleh menyertai pertandingan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM.
ii. Mesti mengesahkan penyertaan pada tarikh yang ditetapkan.

4.2 KELAYAKAN PEGAWAI
4.2.1 Setiap pasukan yang menyertai Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM 2012 boleh mendaftarkan maksimum tiga (3) orang pegawai .
4.2.2 Pengurus pasukan atau Pegawai Pentadbir Pasukan mesti hadir taklimat mengenai Liga Juara Remaja pada masa dan tarikh yang ditetapkan oleh JK Pengelola.
4.2.3 Pengurus Pasukan mestilah mengurus taklimat atau penerangan mengenai Liga Juara Remaja kepada lain-lain pegawai pasukan dan juga pemain-pemain sebelum bermulanya Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM 2012.

4.3 PENDAFTARAN PEGAWAI
4.3.1 Pendaftaran pegawai pasukan bermula dari tarikh pengesahan pasukan hingga 30 hari sebelum perlawanan pertama pasukan dalam Liga Juara Remaja atau pada tarikh yang ditetapkan oleh JK Pengelola.
4.3.2 Mesti mendaftar minimum 2 orang pegawai pasukan dan seorang pengadil.
4.3.2 Pegawai yang masih dalam hukuman tindakan tatatertib tidak boleh didaftarkan.
4.3.3 Pendaftaran semula pegawai adalah dalam tempoh 14 hari sebelum perlawanan Liga ke 2 atau pada tarikh yang ditetapkan oleh JK Pengelola.

4.4 KELAYAKAN PEMAIN
4.4.1 Hanya warganegara Malaysia sahaja yang boleh didaftarkan sebagai pemain untuk Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM dan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JK Pengelola.
4.4.2 Pemain-pemain hanyalah daripada Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri yang telah disahkan oleh KPM.
4.4.3 Syarat-syarat kelayakan pemain untuk pendaftaran LIga Juara Remaja Bola Jaring KPM adalah seperti berikut :
i. Pendaftaran pemain hendaklah menggunakan borang-borang tertentu yang disediakan oleh JK Pengelola sahaja.
ii. Semua pemain mesti mempunyai insuran kemalangan diri, hospital dan surgery . Salinan insuran kelompok serahkan kepada JK Pengelola.
4.4.4 Seorang pemain hanya boleh didaftarkan untuk satu pasukan pada satu-satu masa.
4.4.5 Pendaftaran pemain bermula selepas pengesahan penyertaan pasukan hingga 30 hari sebelum perlawanan pertama pasukannya atau pada tarikh yang telah ditetapkan oleh JK Pengelola.
4.4.6 Pasukan mesti mendaftarkan minimum 10 orang pemain semasa membuat pendaftaran kali pertama. Setiap pemain mesti didaftarkan dalam sekurang-kurangnya dalam satu liga.
4.4.7 Pendaftaran kedua pemain adalah dalam tempoh 14 hari selepas Sirkit 2.
4.4.8 Pendaftaran Awal Pasukan
Pasukan mestilah mendaftar minimum 10 orang pemain atau sekurang-kurangnya 5 orang pemain dalam satu- satu perlawanan.

4.5 Jumlah Pendaftaran Pemain
4.5.1 Pasukan hendaklah mendaftarkan maksimum 15 orang pemain sebelum Sirkit 3 bermula.
4.5.2 Peraturan Khas untuk Sekolah Sukan Malaysia adalah dibenarkan untuk mendaftar maksimum dua(2) pemain di bawah 14 Tahun untuk tahun 2012.

4.6 PENGURUSAN DAN ORGANISASI
4.6.1 Hak pengurusan Teknikal Pertandingan Liga Juara Remaja adalah menjadi tanggungjawab JK Teknikal manakala perkara-perkara bukan teknikal adalah menjadi tanggungjawab JK Pengelola.

4.7 TANGGGUNG JAWAB PEGAWAI DAN PEMAIN
4.7.1 Pasukan yang telah mengesahkan penyertaan mestilah bertanggungjawab dan memastikan :-
i. Mematuhi semua peraturan, prosedur dan juga pekeliling yang dikeluarkan dari masa ke semasa.
ii. Bersetuju menerima semua keputusan mengenai pengurusan pentadbiran dan pengelolaan Liga Juara Remaja seperti yang telah ditetapkan oleh JK Pengelola serta lain-lain jawatankuasa yang berkaitan.
iii. Mematuhi semua keputusan pengadil dan lain-lain keputusan atau sebarang keputusan yang dibuat oleh lain-lain pegawai perlawanan serta menyelesaikan masalah atau rungutan mengenai pengelolaan Liga Juara Remaja.
iv. Melaksana dan menegaskan prinsip ‘ Fair Play’ sepanjang perlawanan di dalam Liga Juara Remaja.
v. Mengambil tindakan segera segala teguran, arahan atau pekeliling yang dikeluarkan oleh JK Pengelola.
vi. Pasukan mestikah bertanggungjawab ke atas kelakuan pegawai, pemain penyokong atau mana-mana orang yang diberikan kuasa atau tugas terhadap pasukan sepanjang masa penyertaan dalam liga juara remaja.
vii. Pasukan mestilah pada setiap perlawanan Liga Juara Remaja menurunkan pasukan semasa terkuatnya.

4.8 WARNA DAN BIB
4.8.1 Setiap pasukan mestilah mempunyai sekurang-kurangya 2 set bib atau ‘tag posisi’ yang berlainan warna dan hendaklah dibawa pada setiap perlawanan.
4.8.2 Setiap pasukan mestilah mengistiharkan warna pasukan kepada pasukan lawan.
4.8.3 Jika terdapat persamaan pada bib atau ‘tag posisi’ lambungan duit syiling akan dilakukan. Pasukan yang kalah akan menukar bib atau ‘tag posisi’
4.8.4 Huruf pada bib atau ‘tag posisi’ hendaklah mengikut syarat yang dibenarkan oleh IFNA.

4.9 TARIK DIRI, GAGAL BERMAIN, PENALTI KERANA GAGAL BERMAIN DAN PENGGANTIAN PASUKAN.
4.9.1 Jika mana-mana pasukan yang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut iaitu :
i. Menarik diri selepas pengesahan penyertaan , atau
ii. Gagal bermain di dalam mana-mana perlawanan Liga Juara Remaja, atau
iii. Gagal bermain setelah melayakkan diri pada mana-mana tahap pertandingan, atau
iv. Gagal melaporkan diri di tempat perlawanan atau gagal menurunkan pemain minimum, maka pasukan tersebut akan dikenakan tindakan berikut:
a) Pasukan tersebut dikira menarik diri dari pertandingan Liaga Juara Remaja.
b) Semua keputusan perlawanan terdahulu tidak dikira.
c) Pasukan digantung secara automatik untuk satu musim
d) Apa-apa tindakan yang difikirkan perlu oleh JK Pengelola.
     (Rujuk peraturan 2.1.2)
4.9.2 Mana-mana pegawai atau pemain yang telah terbukti membantu atau bersubahat melakukan apa-apa kesalahan adalah bersalah kerana khianat dan boleh dikenakan penggantungan atau denda atau kedua-duanya sekali.(Rujuk peraturan 2.1.2)
4.9.3 Mana-mana pasukan yang gagal menamatkan jadual perlawanan tanpa mendapat persetujuan JK Pengelola boleh dikenakan tindakan .

4.10 PENDAFTARAN PASUKAN, PEGAWAI DAN PEMAIN
4.10.1 Hanya JK Pengelola sahaja yang boleh mengesahkan pendaftaran pasukan, pegawai dan pemain. JK Pengelola mempunyai hak untuk tidak mendaftarkan mana-mana pasukan, pegawai dan pemain tanpa menberikan apa-apa sebab.
4.10.2 Keputusan pendaftaran mana-mana pasukan, pegawai dan pemain oleh JK Pengelola adalah muktamad.

PERKARA 5: PENTADBIRAN
5.1 KAWALAN KESELAMATAN, KELAKUAN PEGAWAI, PEMAIN DAN PENONTON
5.1.1 JK Pertandingan/ JK teknikal hendaklah memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
5.1.2 Mengambil langkah-langkah keselamatan dan mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan di gelanggang.
5.1.3 Mana-mana pegawai, pemain atau penonton sesuatu pasukan yang dilaporkan oleh pegawai perlawanan kerana kelakuan tidak sopan, tidak bertertib atau kelakuan ganas sama ada di venue, gelanggang , di bilik persalinan dan di luar gelanggang, boleh diambil tindakan tatatertib, dilarang masuk gelanggang.

5.2 TINDAKAN TATATERTIB.
5.2.1 Melanggar undang-undang permainan – Amaran lisan
5.2.2 Melakukan tindakan yang bertentangan dengan semangat dan etika permainan bola jaring yang tidak termaktub dalam undang-undang permainan – Amaran Keras

5.3 BANTAHAN
5.3.1 Bantahan terhadap kelayakan pemain atau lain-lain bantahan hendaklah dihantar secara bertulis dan diterima oleh Pengerusi JK Pengelola dalam tempoh 72 jam selepas tamatnya perlawanan atau satu tempoh yang diterima oleh JK Pengelola dan disertai dengan wang tunai , wang pos atau bank draf berjumlah RM200.00 (Ringgit Malaysia : Dua Ratus Sahaja) atas nama Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana akan dikembalikan jika bantahan berjaya.
5.3.2 Bantahan tidak boleh dibuat terhadap keputusan mengenai perkara-perkara fakta yang telah diputuskan oleh pengadil di gelanggang.
ii. Pemain dan Pegawai yang dihantar mengikuti program pembangunan iaitu, pengurusan, kejurulatihan dan kepengadilan dalam sukan bola jaring atau berkaitan denganya termasuklah program pembangunan belia ke luar negara atau menghantar pasukan, pegawai atau pemain sebagai mewakili Persatuan atau Pasukan untuk sebarang aktiviti bola jaring atau ke pertandingan yang dikelolakan oleh PBJM sama ada dalam atau luar negara.


No comments:

Post a Comment