Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, August 17, 2012

Pusat Bimbingan Jalinan Qaseh


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menubuhkan Pusat Bimbingan Jalinan Qaseh bagi membantu kanak-kanak gelandangan atau terbiar di ibu negara yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan sempurna.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Faridah Abu Hassan berkata, KPM kini dalam proses menyediakan kertas kerja dan ia dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun ini sebelum dibawa ke Kabinet.


“Kami difahamkan kos untuk merealisasikan penubuhan pusat ini menelan belanja antara RM3 juta dan RM5 juta dan ia turut membabitkan cadangan pembinaan asrama.

“Ia dijangka dapat memuatkan 500 kanak-kanak dalam satu-satu masa, manakala beberapa lokasi di kawasan ini sedang dikenal pasti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Pendidikan Untuk Semua (EFA) 2012 di Lorong Haji Taib 3, Chow Kit, di sini, semalam.


Program sehari itu bertujuan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan dan kepentingan pendidikan untuk semua sejajar dengan hasrat dan mandat EFA.



Beberapa agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit menjayakan program itu, antaranya Yayasan Salam Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mengulas lanjut, Dr Faridah berkata, pusat bimbingan itu dapat memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak gelandangan supaya mereka dapat berdikari dan tidak menjadi liabiliti kepada masyarakat setempat serta negara pada masa depan.


“Malah, pada tahun ini, KPM memilih Chow Kit kerana mengikut satu kajian kolaboratif antara KPM dan Unicef mendapati masih ada kanak-kanak terbiar tidak dapat mengikut pendidikan kerana faktor kemiskinan, persekitaran dan kehidupan sosial tidak sihat.

“Justeru, saya harap melalui program yang kita anjurkan hari ini (semalam) mereka (kanak-kanak) dapat meningkatkan usaha untuk majukan diri sendiri, membina masa depan cemerlang dan bermakna,” katanya.


Sementara itu, seorang peserta, Awaludin Jalalus Shuti, 20, berkata melalui program sebegitu, ia dapat memberi pendedahan kepada remaja khususnya yang tinggal di Chow Kit.



Pelajar Politeknik Shah Alam Selangor itu berkata, sebagai anak jati dan membesar di situ dia melihat ramai rakan seusianya yang tidak mendapat pendidikan sempurna hanyut dan hidup merempat.

No comments:

Post a Comment