Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, April 13, 2012

IPTS Bumiputera Tenat

BANGI 30 Mei - Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bumiputera yang tenat atau hampir gulung tikar kerana masalah kekurangan pelajar diminta bergabung sesama mereka dengan membentuk sebuah konsortium.


Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Hassan Said berkata, langkah itu diyakini mampu mengatasi masalah kritikal sekali gus menyelamatkan masa depan mereka daripada mengikut jejak 123 institusi terdahulu yang telah gulung tikar.

``Penggabungan memang kita galakkan terutama bagi IPTS yang tidak mampu. Saya ingat perkara ini boleh dilakukan jika masalah itu tidak dapat diatasi,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Dwitahunan Persatuan Pendidikan Perbandingan Asia (CESA) 2005 di Pusat Kembangan Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselornya, Prof. Datuk Mohd. Salleh Mohd. Yasin.

Hassan berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Datuk Dr. Ismail Md. Salleh bahawa sebanyak 123 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bumiputera `gulung tikar', manakala 30 lagi `tenat' disebabkan masalah kekurangan pelajar yang begitu kritikal dihadapi mereka.

Ia ekoran badan-badan yang biasanya menaja pelajar ke IPTS bumiputera sudah tidak lagi `berkeupayaan' untuk berbuat demikian.

IPTS bumiputera merujuk kepada pemilikan 30 peratus ekuiti sesebuah institusi itu oleh kaum tersebut, menyumbangkan 50 peratus dari segi tenaga pengurusan dan pengajarnya selain lebih 50 peratus pelajarnya yang terdiri daripada golongan yang sama.

Kata Hassan, beliau menyedari kewujudan risiko tenat yang melanda IPTS bumiputera itu, tetapi masih perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada pengusahanya dan pegawai jabatan tentang sejauh mana masalah tersebut menular sehingga dikatakan begitu kritikal.

Mengenai masalah kekurangan penajaan bagi IPTS antaranya daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), kata beliau, kedua-dua pihak itu juga akan dipanggil untuk sama-sama mencari jalan membantu mengatasinya.


``Bagaimanapun kedua-duanya diakui mempunyai dasar tertentu seperti perlu meneliti latar belakang calon dan kursus yang diambil dalam memberi pinjaman atau pembiayaan kerana terlalu ramai pelajar yang memohonnya. Mustahil kita dapat beri kepada semua sekali,'' tegasnya.

Mengulas pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke UKM pula, kata Hassan, perkembangan itu kini di peringkat terakhir dan keputusannya dijamin tidak akan menjejaskan masa depan para pelajar malah memberi kebaikan kepada kesemua pihak serta negara.



KUALA LUMPUR 30 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanya mengapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diuruskan bukan bumiputera masih wujud dan boleh beroperasi sehingga ke hari ini, sedangkan milik bumiputera terpaksa gulung tikar.

Katanya, ia mungkin kerana perancangan yang diuruskan oleh pengusaha bumiputera itu tidak betul.

Sambil melahirkan rasa dukacitanya terhadap senario itu, Perdana Menteri menegaskan, para pengusaha itu beranggapan mereka tidak akan mempunyai masalah untuk mendapatkan pelajar kerana jumlah pelajar bumiputera adalah ramai.

``Mereka tak fikir awal-awal, dan ia tentu sekali ada hubung kait dengan perancangan kurang rapi,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat pada perhimpunan Hari Pekerja 2005 bagi sektor awam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai 123 IPTS bumiputera `gulung tikar', manakala 30 lagi `tenat' disebabkan masalah kekurangan pelajar yang begitu kritikal dihadapi mereka.

Masalah tersebut didedahkan oleh Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Datuk Dr. Ismail Md. Salleh berikutan badan-badan yang biasanya menaja pelajar ke IPTS bumiputera sudah tidak lagi `berkeupayaan' untuk berbuat demikian.

Ini sekali gus menyebabkan kebanyakan pelajar bumiputera terutamanya tidak dapat melanjutkan pengajian mereka kerana tidak mampu membiayai yuran pengajian swasta yang tinggi itu.

IPTS bumiputera merujuk kepada institusi pengajian tinggi yang mana 30 peratus ekuiti adalah milik bumiputera, 50 peratus tenaga pengurusan dan pengajar adalah bumiputera dan lebih 50 peratus pelajarnya bumiputera.

Perdana Menteri memberitahu, perkara itu juga berlaku disebabkan kemungkinan pengusaha IPTS tersebut membuat andaian akan ada pelajar bumiputera yang datang belajar disebabkan IPTS itu milik bumiputera.

``Perkara itu bukannya penyelesaian yang akan memastikan kolej itu terus beroperasi dengan jayanya,'' katanya.

Utuasn
31 Mei 2005

No comments:

Post a Comment