Pages

Pages

Pages - Menu

Friday, April 13, 2012

Universiti Umno

SABAK BERNAM: Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno akan meneliti kewajaran dan kemampuan parti itu untuk menubuhkan universiti Umno terlebih dulu sebelum membuat keputusan akhir mengenainya.

Timbalan Presiden Umno berkata, Umno akan menentukan keperluan mewujudkan sebuah lagi universiti di negara ini berikutan ketika ini sudah ada 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan banyak lagi universiti swasta.

"Kita juga akan mengkaji kemungkinan mengambil universiti sedia ada dan mengiktirafnya sebagai universiti Umno dalam usaha memperkasakan pencapaian dan kejayaan anak Melayu.

"Ini semua perlu dipertimbangkan dengan lebih mendalam sebelum kita membuat sebarang keputusan," katanya mengulas laporan mengenai rancangan Umno untuk menubuhkan sebuah universiti bagi memenuhi tuntutan dan hasrat anggota parti.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh dilaporkan sebagai berkata bahawa satu memorandum mengenai penubuhan universiti itu akan diserahkan kepada Najib, yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno tidak lama lagi.

Beliau berkata, penubuhan universiti itu penting sebagai lambang perjuangan ahli Umno khususnya orang Melayu di negara ini.

Katanya, kerajaan menerima banyak tuntutan berhubung penubuhan universiti Umno itu berikutan parti komponen seperti MCA mempunyai Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), MIC – universiti perubatan dan Gerakan dengan Universiti Wawasan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan Dr Shafie, yang juga Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Umno itu perlu dibincangkan di peringkat biro itu dan beliau perlu menjelaskan tujuan serta maksud penubuhan universiti berkenaan.

"Kalau kita buat sesuatu atas nama Umno, kita kena pastikan inisiatif kita berjaya," katanya.

Sementara itu, Dr Shafie berkata, cadangan untuk mewujudkan universiti itu adalah hasrat ahli Umno di peringkat bawahan yang mahu melihat anak masing-masing mendapat pendidikan yang lebih baik.

"Ia bukan cadangan saya, bahagian Umno yang bermesyuarat yang mencadangkan penubuhan universiti itu. Ia menunjukkan orang Melayu dalam Umno sudah ada keinsafan untuk menubuhkan universiti sendiri," katanya kepada pemberita di Banting, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Operasi Khidmat Masyarakat 2005 (OPKIM '05) anjuran bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa, Kelab Penyayang Kolej Kediaman Ketujuh dan Persatuan Mahasiswa Selangor (Permas), Universiti Malaya..

Dr Shafie berkata, perkara itu perlu dibawa hingga ke Perhimpunan Agung Umno akan datang dan bukan ‘dibunuh’ pada peringkat awal.

"Walaupun idea itu datang daripada orang kampung, kita jangan bunuh idea itu tetapi sebaliknya kita patut kembangkan lagi. Kalau kita bunuh idea itu pada peringkat awal, lain kali mereka tidak mahu mengemukakan idea," katanya.
 
 
 
Umno tak perlu universiti sendiri’

KEPALA BATAS: Umno tidak perlu menubuhkan universiti sendiri tetapi akan terus memperjuangkan supaya lebih banyak peluang melanjutkan pelajaran disediakan untuk Bumiputera.

Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar), berkata pada masa ini sudah banyak peluang disediakan kepada Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di negara ini.

“Penubuhan universiti bukan soal (keutamaan) parti kerana yang lebih penting adalah peluang untuk belajar bagi Bumiputera.

“Tak payah. Saya ingat (Umno) tak perlu tubuh universiti sendiri. Ini bukan soal parti, soal peluang untuk belajar.

“Pada hari ini dalam sistem pendidikan yang ada di negara kita ini, peluang yang ada memang banyak untuk Bumiputera melanjutkan pelajaran mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohd Shafie Salleh baru-baru ini bahawa Umno bercadang menubuhkan sebuah universiti bagi memenuhi hasrat ahlinya yang mahu parti itu mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) sendiri.

Mohd Shafie berkata, satu memorandum mengenai cadangan itu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno tidak lama lagi.

Beliau berkata, ahli Umno sering bertanya bila Umno akan menubuhkan universiti memandangkan MCA mempunyai Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), manakala MIC ada universiti perubatan dan Gerakan juga ada Universiti Wawasan mereka.

Mengenai cadangan Pergerakan Pemuda Umno supaya pelaksanaan sistem meritokrasi untuk kemasukan ke universiti awam dikaji semula, Abdullah berkata, sebarang cadangan berhubung perkara itu perlu dikemukakan dalam bentuk memorandum.

Katanya, memandangkan pelaksanaan sistem berkenaan dibuat kerajaan, sebarang perubahan berhubung perkara itu perlu dipertimbangkan kerajaan.

“Kalau mereka (Pemuda Umno) ada cadangan apa-apa, baiklah dikemukakan dalam bentuk memorandum yang terperinci kerana cadangan meritokrasi ini dibuat oleh kerajaan.

“Jadi, kerajaan sendirilah nanti yang akan timbangkan mengenai perkara ini,” katanya.

Kelmarin, Umno Bahagian Jerai meluluskan usul meminta Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji semula pelaksanaan sistem meritokrasi dalam pengambilan pelajar untuk kursus kritikal di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Usul itu dibentangkan Pengerusi Biro Pendidikan Umno bahagian berkenaan, Ahmad Ikmal Ismail, pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, kelmarin.

Usul itu juga meminta kementerian berkenaan memperbetulkan nisbah pelajar Melayu di IPTA supaya lebih ramai daripada mereka diterima mengikuti kursus kritikal seperti perubatan, bioteknologi dan undang-undang.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sememangnya bersetuju supaya apa juga undang-undang dan peraturan yang ada unsur diskriminasi terhadap wanita perlu dipinda.

Katanya, perkara itu sudah diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk diambil tindakan serta mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

“Sebarang pindaan bergantung kepada berapa cepat kementerian berkenaan mengemukakan perkara itu (kepada Kabinet),” katanya

No comments:

Post a Comment