Pages

Pages

Pages - Menu

Sunday, April 22, 2012

Pendidikan Tertiari



PENDIDIKAN tertiari dalam konteks sistem pendidikan Malaysia adalah pendidikan selepas pendidikan menengah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.
Pendidikan pada peringkat ini merangkumi program pendidikan di kolej komuniti, politeknik, institut latihan yang dikendalikan oleh agensi kerajaan dan swasta, universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, menjelang tahun 2010 negara memerlukan 1.2 juta tenaga profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang termasuklah bidang teknikal, perubatan, kesihatan dan perguruan untuk terus berdaya maju dan membina tapak ekonomi yang kukuh sebelum mencapai sepenuhnya taraf negara maju sedekad kemudian dalam tahun 2020.

Justeru itu dalam pembentangan pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 baru-baru ini, Kementerian Pendidikan telah merangka strategi dan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan segera dalam menghasilkan sumber manusia yang mampu menangani cabaran-cabaran globalisasi dan k-ekonomi ke arah mencapai tahap negara maju sepenuhnya.

Melalui pelan itu, tindakan segera yang digariskan oleh kementerian ialah penubuhan kolej komuniti di setiap kawasan Parlimen menjelang tahun 2010 setelah penubuhan 12 kolej sedemikian di kawasan Parlimen terpilih sebagai pelaksana rintis pada tahun ini.
Sebanyak 12 politeknik ditubuhkan menjelang tahun 2005 dan 12 buah lagi antara tahun 2006 sehingga 2010 serta meningkatkan kapasiti 5,000 pelajar bagi setiap satu politeknik sedia ada.

Sejajar dengan itu penubuhan lebih banyak universiti awam untuk menampung 1.05 juta pelajar pada tahun 2005 dan 1.6 juta pelajar pada tahun 2010 juga akan dilaksanakan segera.
Penaikan taraf kolej universiti dan meningkatkan kapasiti universiti awam yang sedia ada segera dilaksanakan selain menggalakkan penubuhan lebih banyak kolej universiti melalui peningkatan taraf IPTS bukan bertaraf universiti dan menambah bilangan kolej universiti serta universiti swasta baru.

Berdasarkan konsep pelajar adalah pelanggan, justeru itu pemantapan piagam pelanggan perlu dilaksanakan segera dengan memastikan tempoh memproses permohonan kursus baru di IPTS dalam masa tiga bulan, meningkatkan enrolmen ijazah tinggi di universiti awam dan IPTS dan mengenakan kadar yuran IPTS yang berpatutan supaya lebih banyak pelajar mampu belajar di IPTS.

Universiti teknikal juga akan ditubuhkan segera untuk meningkatkan bilangan profesional yang `hands-on' dengan mengambil pelajar jurusan teknikal, vokasional dan kemahiran.
Kemudahan untuk 50 peratus pelajar kejuruteraan di universiti awam dan universiti teknikal dilaksanakan segera agar matlamatnya tercapai sepenuhnya pada tahun 2005.
Kementerian Pendidikan juga akan menyegerakan pemastian bilangan tenaga pengajar yang mencukupi dan berkualiti dengan meningkatkan latihan dalam dan luar negara serta memperluaskan program latihan dengan pihak industri.

Skim latihan dalam perkhidmatan serta pembiayaan yang mencukupi di dalam dan luar negara juga diperkenalkan bagi tenaga pengajar memajukan diri dalam kerjaya.
Turut disenaraikan bagi tindakan segera ialah meningkatkan program latihan industri bagi tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti dan IPTS dengan melibatkan pihak industri.
IPTS akan menerima kemudahan dan insentif bagi rancangan pembangunan staf akademik.
Bagi tenaga pengajar pula, penambahan bilangannya yang berkelayakan dengan menetapkan 75 peratus tenaga pengajar universiti memiliki ijazah doktor falsafah (Phd) atau kepakaran profesional menjelang 2005.

Selain itu, menetapkan 50 peratus daripada tenaga pengajar di politeknik serta IPTS yang mengendalikan program diploma mempunyai kelulusan ijazah tinggi menjelang 2005.
Dalam pelan berkenaan, 10 peratus tempat untuk tenaga pengajar luar negara akan disediakan di universiti awam pada tahun tersebut.

Turut disenaraikan bagi tindakan segera ialah menyediakan insentif untuk menarik balik rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi tenaga pengajar bagi bidang kritikal.
Bagi kolej komuniti, kementerian akan memastikan ia mempunyai 83 peratus pengajar siswazah dan 17 peratus pengajar bukan siswazah untuk kursus jangka panjang serta 100 peratus pengajar siswazah untuk kursus jangka pendek bagi tempoh tersebut.

Dalam memantapkan pembangunan tertiari, kementerian melaksanakan tindakan segera menggalakkan pihak swasta mengadakan program latihan pembangunan staf dengan bantuan kementerian.
Selain itu, pengenal pastian kekuatan penyelidikan di IPT dan mewujudkan sekurang-kurangnya satu pusat kecemerlangan penyelidikan di IPT turut diberi perhatian.
Justeru itu pemimpin penyelidik yang dapat membimbing penyelidik-penyelidik muda sebagai kumpulan pelapis perlu diwujudkan segera.

Pembangunan ICT sekarang mendesak kementerian untuk melaksanakan segera dasar sebuah komputer untuk empat orang pelajar menjelang tahun tersebut.
Sehubungan dengan itu, insentif dalam bentuk pinjaman, potongan cukai atau penghapusan cukai bagi pembiayaan peralatan pendidikan atau pembangunan infrastruktur pendidikan kepada IPTS akan diberikan.

Perpustakaan maya untuk membolehkan perkongsian maklumat dan membangunkan pangkalan ilmu, menggunakan konsep e-universiti dalam membina kampus-kampus baru universiti akan dibangunkan segera.
Bagi pembiayaan pengajian pelajar pula, peluasan kemudahan bantuan kewangan untuk pelajar memasuki institusi pendidikan tertiari dengan memperbanyakkan sumber pembiayaan pendidikan, menambahkan dana kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menyediakan insentif kepada IPTS yang menyediakan dana bagi pembiayaan yuran pengajian.

Pembangunan kos pembangunan dan pengurusan pendidikan tertiari dengan peningkatan dan kepelbagaian sumber kewangan institusi itu khususnya universiti melalui penjanaan kewangan untuk membiayai kos pengurusan dengan sasaran sebanyak 20 peratus pada tahun 2005 dan 35 peratus pada tahun 2010.
Satu garis panduan untuk universiti awam menjana sumber kewangan, mempergiatkan aktiviti yang dapat menambahkan pendapatan dan meningkatkan perolehan kewangan dan perkongsian kos pendidikan melalui program usaha sama, dengan industri, pihak swasta dan komuniti setempat akan diwujudkan segera.

Menurut Musa, pengalaman lalu menunjukkan bahawa kegagalan dalam banyak pelan yang diperkenalkan termasuklah program dan projek kerajaan adalah kerana ketidakfahaman dan sikap tidak bersungguh-sungguh di kalangan sebahagian besar orang yang melaksanakannya.
Justeru itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya di kalangan pemimpin di setiap peringkat untuk menjelaskan matlamat, sasaran dan perincian program serta aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Pembangunan Pendidikan 10 tahun itu kepada orang bawahan masing-masing.

No comments:

Post a Comment