PENDIDIKAN tertiari dalam
konteks sistem pendidikan Malaysia adalah pendidikan selepas pendidikan
menengah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.
Pendidikan
pada peringkat ini merangkumi program pendidikan di kolej komuniti, politeknik,
institut latihan yang dikendalikan oleh agensi kerajaan dan swasta, universiti
awam dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Menurut
Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, menjelang tahun 2010 negara
memerlukan 1.2 juta tenaga profesional dan separa profesional dalam pelbagai
bidang termasuklah bidang teknikal, perubatan, kesihatan dan perguruan untuk
terus berdaya maju dan membina tapak ekonomi yang kukuh sebelum mencapai
sepenuhnya taraf negara maju sedekad kemudian dalam tahun 2020.
Justeru
itu dalam pembentangan pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 baru-baru ini,
Kementerian Pendidikan telah merangka strategi dan pelan tindakan yang perlu
dilaksanakan segera dalam menghasilkan sumber manusia yang mampu menangani
cabaran-cabaran globalisasi dan k-ekonomi ke arah mencapai tahap negara maju
sepenuhnya.
Melalui
pelan itu, tindakan segera yang digariskan oleh kementerian ialah penubuhan
kolej komuniti di setiap kawasan Parlimen menjelang tahun 2010 setelah
penubuhan 12 kolej sedemikian di kawasan Parlimen terpilih sebagai pelaksana
rintis pada tahun ini.
Sebanyak
12 politeknik ditubuhkan menjelang tahun 2005 dan 12 buah lagi antara tahun
2006 sehingga 2010 serta meningkatkan kapasiti 5,000 pelajar bagi setiap satu
politeknik sedia ada.
Sejajar
dengan itu penubuhan lebih banyak universiti awam untuk menampung 1.05 juta
pelajar pada tahun 2005 dan 1.6 juta pelajar pada tahun 2010 juga akan
dilaksanakan segera.
Penaikan
taraf kolej universiti dan meningkatkan kapasiti universiti awam yang sedia ada
segera dilaksanakan selain menggalakkan penubuhan lebih banyak kolej universiti
melalui peningkatan taraf IPTS bukan bertaraf universiti dan menambah bilangan
kolej universiti serta universiti swasta baru.
Berdasarkan
konsep pelajar adalah pelanggan, justeru itu pemantapan piagam pelanggan perlu
dilaksanakan segera dengan memastikan tempoh memproses permohonan kursus baru
di IPTS dalam masa tiga bulan, meningkatkan enrolmen ijazah tinggi di
universiti awam dan IPTS dan mengenakan kadar yuran IPTS yang berpatutan supaya
lebih banyak pelajar mampu belajar di IPTS.
Universiti
teknikal juga akan ditubuhkan segera untuk meningkatkan bilangan profesional
yang `hands-on' dengan mengambil pelajar jurusan teknikal, vokasional dan
kemahiran.
Kemudahan
untuk 50 peratus pelajar kejuruteraan di universiti awam dan universiti
teknikal dilaksanakan segera agar matlamatnya tercapai sepenuhnya pada tahun
2005.
Kementerian
Pendidikan juga akan menyegerakan pemastian bilangan tenaga pengajar yang
mencukupi dan berkualiti dengan meningkatkan latihan dalam dan luar negara
serta memperluaskan program latihan dengan pihak industri.
Skim
latihan dalam perkhidmatan serta pembiayaan yang mencukupi di dalam dan luar
negara juga diperkenalkan bagi tenaga pengajar memajukan diri dalam kerjaya.
Turut
disenaraikan bagi tindakan segera ialah meningkatkan program latihan industri
bagi tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti dan IPTS dengan melibatkan
pihak industri.
IPTS
akan menerima kemudahan dan insentif bagi rancangan pembangunan staf akademik.
Bagi
tenaga pengajar pula, penambahan bilangannya yang berkelayakan dengan
menetapkan 75 peratus tenaga pengajar universiti memiliki ijazah doktor
falsafah (Phd) atau kepakaran profesional menjelang 2005.
Selain
itu, menetapkan 50 peratus daripada tenaga pengajar di politeknik serta IPTS
yang mengendalikan program diploma mempunyai kelulusan ijazah tinggi menjelang
2005.
Dalam
pelan berkenaan, 10 peratus tempat untuk tenaga pengajar luar negara akan disediakan
di universiti awam pada tahun tersebut.
Turut
disenaraikan bagi tindakan segera ialah menyediakan insentif untuk menarik
balik rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi tenaga pengajar bagi
bidang kritikal.
Bagi
kolej komuniti, kementerian akan memastikan ia mempunyai 83 peratus pengajar
siswazah dan 17 peratus pengajar bukan siswazah untuk kursus jangka panjang
serta 100 peratus pengajar siswazah untuk kursus jangka pendek bagi tempoh
tersebut.
Dalam
memantapkan pembangunan tertiari, kementerian melaksanakan tindakan segera
menggalakkan pihak swasta mengadakan program latihan pembangunan staf dengan
bantuan kementerian.
Selain
itu, pengenal pastian kekuatan penyelidikan di IPT dan mewujudkan
sekurang-kurangnya satu pusat kecemerlangan penyelidikan di IPT turut diberi
perhatian.
Justeru
itu pemimpin penyelidik yang dapat membimbing penyelidik-penyelidik muda
sebagai kumpulan pelapis perlu diwujudkan segera.
Pembangunan
ICT sekarang mendesak kementerian untuk melaksanakan segera dasar sebuah
komputer untuk empat orang pelajar menjelang tahun tersebut.
Sehubungan
dengan itu, insentif dalam bentuk pinjaman, potongan cukai atau penghapusan
cukai bagi pembiayaan peralatan pendidikan atau pembangunan infrastruktur
pendidikan kepada IPTS akan diberikan.
Perpustakaan
maya untuk membolehkan perkongsian maklumat dan membangunkan pangkalan ilmu,
menggunakan konsep e-universiti dalam membina kampus-kampus baru universiti
akan dibangunkan segera.
Bagi
pembiayaan pengajian pelajar pula, peluasan kemudahan bantuan kewangan untuk
pelajar memasuki institusi pendidikan tertiari dengan memperbanyakkan sumber
pembiayaan pendidikan, menambahkan dana kepada Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN), menyediakan insentif kepada IPTS yang menyediakan dana
bagi pembiayaan yuran pengajian.
Pembangunan
kos pembangunan dan pengurusan pendidikan tertiari dengan peningkatan dan
kepelbagaian sumber kewangan institusi itu khususnya universiti melalui
penjanaan kewangan untuk membiayai kos pengurusan dengan sasaran sebanyak 20
peratus pada tahun 2005 dan 35 peratus pada tahun 2010.
Satu
garis panduan untuk universiti awam menjana sumber kewangan, mempergiatkan
aktiviti yang dapat menambahkan pendapatan dan meningkatkan perolehan kewangan
dan perkongsian kos pendidikan melalui program usaha sama, dengan industri,
pihak swasta dan komuniti setempat akan diwujudkan segera.
Menurut
Musa, pengalaman lalu menunjukkan bahawa kegagalan dalam banyak pelan yang
diperkenalkan termasuklah program dan projek kerajaan adalah kerana
ketidakfahaman dan sikap tidak bersungguh-sungguh di kalangan sebahagian besar
orang yang melaksanakannya.
Justeru
itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya di kalangan
pemimpin di setiap peringkat untuk menjelaskan matlamat, sasaran dan perincian
program serta aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Pembangunan
Pendidikan 10 tahun itu kepada orang bawahan masing-masing.
No comments:
Post a Comment