Pages

Pages

Pages - Menu

Saturday, April 21, 2012

Pindaan Auku: Pelajar berpolitik, pegang jawatan fenomena biasa

JOHOR BAHRU -- Fenomena pelajar universiti terbabit dalam politik serta memegang jawatan dalam persatuan dan pertubuhan di dalam dan di luar kampus akan menjadi perkara biasa berikutan kelulusan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 (AUKU).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembabitan pelajar adalah sebahagian daripada transformasi politik negara menuju ke arah kematangan rakyat.

"Oleh kerana akan menjadi kebiasaan, maka kita tidak perlu terlalu memberi fokus. Di Malaysia, kita telah terima hakikat bahawa kematangan rakyat sudah meningkat dan tahap penghayatan terhadap demokrasi juga sudah meluas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Wanita Dalam Keusahawanan Sosial' (WISE) dan seminar Keusahawanan Komuniti di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sebilangan pelajar menyertai perhimpunan menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sementara itu, mengenai program WISE berkenaan, Mohamed Khaled, yang juga Anggota Parlimen Pasir Gudang, berkata ia bertujuan memastikan pelajar dan tenaga pengajar dapat menyumbang idea dan tenaga bagi pembangunan masyarakat.
   
Beliau berkata pelajar yang terpilih untuk menyertai program berkenaan akan menggunakan sepenuhnya peluang mempelajari selok-belok perniagaan daripada keluarga angkat sekali gus mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

Katanya, program yang mendapat kerjasama daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu bakal menyaksikan 200 usahawan AIM menjadi keluarga angkat kepada 400 pelajar terpilih dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT)untuk menjalankan latihan bersama sepanjang satu bulan aktiviti itu dijalankan.

"Ia merupakan satu program keusahawanan sosial yang berkonsepkan program pemindahan ilmu mengenai kemahiran perniagaan daripada pelajar IPT kepada komuniti sahabat usahawan AIM," jelasnya. -- Bernama

No comments:

Post a Comment