JOHOR BAHRU -- Fenomena pelajar universiti terbabit dalam politik serta
memegang jawatan dalam persatuan dan pertubuhan di dalam dan di luar
kampus akan menjadi perkara biasa berikutan kelulusan Rang
Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 (AUKU).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
berkata pembabitan pelajar adalah sebahagian daripada transformasi
politik negara menuju ke arah kematangan rakyat.
"Oleh kerana akan menjadi kebiasaan, maka kita tidak perlu terlalu
memberi fokus. Di Malaysia, kita telah terima hakikat bahawa kematangan
rakyat sudah meningkat dan tahap penghayatan terhadap demokrasi juga
sudah meluas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program
'Wanita Dalam Keusahawanan Sosial' (WISE) dan seminar Keusahawanan
Komuniti di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sebilangan
pelajar menyertai perhimpunan menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sementara itu, mengenai program WISE berkenaan, Mohamed Khaled, yang
juga Anggota Parlimen Pasir Gudang, berkata ia bertujuan memastikan
pelajar dan tenaga pengajar dapat menyumbang idea dan tenaga bagi
pembangunan masyarakat.
Beliau berkata pelajar yang terpilih untuk menyertai program berkenaan
akan menggunakan sepenuhnya peluang mempelajari selok-belok
perniagaan daripada keluarga angkat sekali gus mengaplikasikan apa yang
telah dipelajari.
Katanya, program yang mendapat kerjasama daripada Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM) itu bakal menyaksikan 200 usahawan AIM menjadi keluarga
angkat kepada 400 pelajar terpilih dari seluruh Institusi Pengajian
Tinggi (IPT)untuk menjalankan latihan bersama sepanjang satu bulan
aktiviti itu dijalankan.
"Ia merupakan satu program keusahawanan sosial yang berkonsepkan
program pemindahan ilmu mengenai kemahiran perniagaan daripada pelajar
IPT kepada komuniti sahabat usahawan AIM," jelasnya. -- Bernama
No comments:
Post a Comment