Pages

Pages

Pages - Menu

Tuesday, September 4, 2012

Pelan Perlindungan Takaful Anak-anak Yatim

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia (YHKM) akan melaksanakan pelan perlindungan takaful untuk membantu anak-anak yatim bagi mencipta harapan baru dan memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada mereka.
 
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, perlindungan takaful yang disediakan di bawah Projek Inspirasi Harapan itu akan membolehkan anak-anak yatim memiliki simpanan sendiri untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan dan kecemerlangan masa depan.
 
"Saya telah dimaklumkan bahawa dengan caruman minimum RM50 sebulan atau RM600 setahun, kita dapat menyediakan jaminan pendidikan, simpanan kewangan dan pampasan kemalangan kepada anak-anak yatim terlibat.
 
"Pada masa sama, ia membolehkan anak-anak yatim yang mencapai usia 21 tahun memiliki simpanan sendiri sekurang-kurangnya RM18,000 setelah mereka keluar dari rumah perlindungan masing-masing," katanya.
 
Beliau berucap demikian pada majlis Aidilfitri 1Malaysia yang dihadiri seramai 150 anak-anak yatim anjuran YHKM dan Hotel Intercontinental di sini, semalam.
 
Hadir sama, Ahli Lembaga Penasihat Media YHKM, Datuk Atikah Adom; Ketua Pegawai Eksekutif YHKM, Wan Mohd. Nazri Wan Hassan dan Pengurus Besar Hotel Intercontinental, Phil Riley.
 
Pada majlis itu, Rosmah turut menyerahkan duit raya dan penajaan perlindungan takaful sebanyak RM60,000 kepada empat buah pertubuhan iaitu Rumah Titian Kaseh; Rumah Vivekananda Rembau; Rumah Bakti Nur Syaheera dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Selayang.
 
Rosmah yang juga penaung YHKM berkata, bagi memulakan pelaksanaan projek itu, seramai 100 anak-anak yatim dari dua buah pertubuhan iaitu Rumah Titian Kaseh dan Rumah Anak Yatim Sabak Bernam menjadi kumpulan perintis yang akan menerima pelan perlindungan Takaful Inspirasi Harapan YHKM.
 
"Namun, dalam memastikan 100 anak-anak yatim ini memiliki perlindungan takaful tersebut, YHKM perlu mengumpulkan dana sebanyak RM60,000 bagi membiayai kos penyediaan pelan takaful untuk tahun pertama mereka.
 
"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh anggota masyarakat tampil memberikan sumbangan dalam memastikan dana RM60,000 tersebut dapat diperoleh dalam waktu sepatutnya," katanya.
 
Jelasnya, adalah menjadi harapan pelaksanaan pelan takaful kepada kumpulan perintis itu akan membuka jalan kepada lebih ramai anak-anak yatim di seluruh negara tanpa mengira bangsa dan agama menikmati perlindungan takaful yang disediakan YHKM. - UM

No comments:

Post a Comment