Profil
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956 dengan nama asalnya 'Balai Pustaka'. Hasil daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III di Singapura dan Johor Bahru pada 16 - 21 September 1956, kerajaan bersetuju dengan satu daripada cadangan Kongres, menukar nama 'Balai Pustaka' kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.
DBP pada awalnya berpejabat di bangunan kerajaan Bukit Timbalan, Johor Bahru. Pada tahun 1957, pejabat DBP berpindah ke bekas wad sebuah hospital di Jalan Young, Kuala Lumpur hingga tahun 1961. Mulai 31 Januari 1962 DBP berpejabat di premis sekarang. Kompleks pejabat baru DBP disiapkan pada tahun 2002.
Pada tahun 1959, melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP bertukar taraf menjadi sebuah badan berkanun. DBP dikelola dan dikawal oleh Lembaga Pengelola DBP, berfungsi untuk membentuk dan melaksanakan dasar-dasar bagi mencapai matlamat penubuhan DBP.
Sesuai dengan keperluan serta perkembangan masa, DBP mengembangkan sayap ke Sabah dan Sarawak pada tahun 1977, dengan menubuhkan DBP Cawangan Sabah (di Kota Kinabalu) dan DBP Cawangan Sarawak (di Kuching).
DBP turut mendirikan pejabat-pejabat Wilayah di Semenanjung, iaitu pejabat DBP Wilayah Utara (di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, 1999); pejabat DBP Wilayah Timur (di Kota Bharu, Kelantan, 1999); dan pejabat DBP Wilayah Selatan (di Johor Bahru, Johor, 2000).
Semua pejabat cawangan dan Wilayah DBP turut berperanan mencapai matlamat DBP sebagaimana yang dinyatakan dalam Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya bagi sekitar Wilayah dan Cawangan yang dinyatakan, dan amnya bagi wilayah-wilayah negara jiran yang berhampiran.
Objektif
- Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
- Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.
- Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain.
- Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
- Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.
- Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya dapat digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Misi
"Meningkatkan Penggunaan Bahasa Melayu"
Fungsi
- Melaksanakan Perancangan bahasa, yang terangkum di dalamnya pembinaan dan pengembangkan bahasa.
- Melaksanakan Pelaksanaan sastera, yang terangkum di dalamnya pembinaan dan pengembangan sastera.
- Melaksanakan program penerbitan, terutama dalam bahasa Melayu, sebagai wahana penting bagi perkembangan ilmu dan tamadun.
Piagam Pelanggan
Kami beriltizam untuk menghasilkan keluaran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini yang baku, bermutu dan berwibawa melalui perkhidmatan yang cekap, cepat dan cemerlang. Dengan mengutamakan keperluan pengguna, kami menjanjikan keluaran dan perkhidmatan yang mendukung peluasan fungsi teras kami, iaitu BAHASA, SASTERA dan PENERBITAN, seperti yang berikut:
- Pertanyaan/aduan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan kepustakaan Melayu melalui telefon, faksimile dan e-mel dilayan dalam tempoh 24 jam.
- Pertanyaan/aduan bertulis tentang bahasa, sastera, penerbitan dan kepustakaan Melayu dijawab melalui surat dalam tempoh tujuh(7) hari bekerja dari tarikh penerimaannya.
- Penerimaan manuskrip dimaklumkan kepada penulis dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja dari tarikh manuskrip diterima, dan keputusan tentang penerbitannya dimaklumkan dalam tempoh dua (2) bulan selepas manuskrip diterima.
- Manuskrip diterbitkan dalam tempoh kurang sembilan (9) bulan selepas manuskrip lengkap diterima.
- Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berada di pasaran tidak lewat daripada 20 hari bulan sebelum bulan terbitannya.
No comments:
Post a Comment