MELAKA 1 April – Persidangan Hari Sastera Nasional ke-15 mengesyorkan
bidang kesusasteraan nasional dijadikan mata pelajaran wajib untuk
pelajar bermula prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Perkara itu merupakan antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 22 ahli gabungannya
yang bersidang selama tiga hari bermula Jumaat.
Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar
berkata, bidang kesusasteraan nasional penting dalam memantapkan jati
diri rakyat dan mewujudkan peradaban bangsa Malaysia yang bersatu dan
kukuh.
"Kalau kita tidak wajibkan kesusasteraan, kita bimbang generasi muda
hari ini tidak tahu pantun, sajak dan budaya sebaliknya hanya
mementingkan nilai materialistik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Hari
Sastera Nasional ke-15 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri
Melaka yang juga Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira
Othman Muhamad.
Beliau berkata, pada masa ini kesusasteraan hanya diajar di peringkat
sekolah menengah namun ia tidak diwajibkan kepada semua pelajar. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment