CYBERJAYA: Kemahiran berfikir secara analitikal dan kritikal (ACT) perlu dikembangkan dalam sistem pendidikan negara ini untuk membentuk satu ekosistem yang kondusif bagi memacu pertumbuhan inovasi dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sistem pendidikan juga memerlukan kemahiran untuk berfikir secara kreatif, kerana ia adalah satu aktiviti yang sangat terancang dan sistematik.
“Kreativiti tidak seperti apa yang kita fikirkan dulu, ia adalah satu aktiviti yang sangat terancang dan sistematik. Michelangelo, seorang pelukis dan pengarca yang pintar pada kurun ke-16, amat bijak menggunakan kaedah dan struktur dalam proses kreatifnya hingga dairinya umpama membaca sebuah jurnal saintifik.
“Keupayaannya mencipta karya agung dilakukan dengan tepat dan sempurna, sama seperti dalam industri teknologi tinggi. Justeru, bagi memastikan ekosistem berinovasi dapat memanfaatkan negara, kita perlu menerapkan pemikiran kreatif dalam sistem pendidikan di negara kita,” katanya ketika melancarkan Malaysia Konvensyen Nasional Negara Inovasi di LimKokWing University Creative Technology di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden LimKokWing University Creative Technology, Tan Sri Dr Lim Kok Wing.
Najib berkata, kerajaan turut menjadi komponen penting untuk mengalakkan persekitaran ekosistem berinovasi.
“Ada cakap-cakap mengenai Napolean kecil. Kita tidak boleh mempunyai Napoleon kecil yang tidak faham mengenai inovasi. Napoleon cukup bijak sebagai pakar strategi nukleas, tetapi kita memerlukan mereka yang betul-betul memahami apa yang perlu dilakukan untuk menyokong inovasi.
“Justeru, peranan anggota perkhidmatan awam amat penting untuk menyokong eko sistem untuk memupuk inovasi,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan inovasi dapat berkembang dengan baik, persekitaran untuk membolehkan inovasi dilaksanakan perlu dioptimumkan dengan sewajarnya.
“Ini bermakna ekosistem harus menyokong dan bukannya menindas inovasi. Mereka yang terbabit secara langsung dalam ekosistem perlu mempunyai akses yang tepat untuk mendorong, merangsang dan mencabar mereka untuk berinovasi.
“Ini adalah satu keseimbangan yang sukar kerana terdapat faktor yang perlu diteliti dan ditangani,” katanya.
Tuesday, September 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment