RM2j disediakan untuk yuran pengajian, elaun sara hidup
GAMUDA Berhad meneruskan usaha murni dalam menjana modal insan berpendidikan tinggi menerusi pemberian biasiswa kepada 32 pelajar untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
Pengarah Eksekutif Gamuda Berhad, Datuk Ir Ha Tiing Tai, berkata tahun ini pihaknya memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi menampung yuran pengajian penuh, sara hidup dan elaun. Beliau berkata, walaupun berhadapan situasi ekonomi tidak menentu, pihaknya meneruskan usaha murni itu kerana generasi terpelajar adalah aset dalam membangunkan negara. Katanya, sejak biasiswa berkenaan dilancarkan pada 1996, seramai 232 graduan menerima biasiswa Gamuda dengan nilai pembiayaan berjumlah RM19 juta.
“Tajaan itu membabitkan pembiayaan pelajar yang mengikuti pengajian di universiti luar negara,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis penyerahan biasiswa itu disempurnakan Pengarah Gamuda Berhad, Raja Datuk Seri Eleena Azlan Shah.
Ha berkata, pihaknya menerima hampir 300 permohonan daripada pelajar seluruh negara. Bagaimanapun semua permohonan dipilih secara terperinci bagi memenuhi kriteria ditetapkan.
Beliau berkata, penerima dipilih berdasarkan keputusan akademik cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.
“Ciri lain turut diambil kira ialah kemahiran analisis, daya kepemimpinan dan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Ha menambah, sempena ulang tahun ke-15 Gamuda, pihaknya mencatatkan jumlah pemberian tertinggi kerana bilangan universiti yang mengiktiraf biasiswa itu meningkat.
IPT berkenaan ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Kuala Lumpur, Kolej Universiti HELP dan Universiti Curtin (UC) cawangan Sarawak.
Penerima biasiswa, Lee Si Kee, 22, berkata dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke UC kampus Sarawak dalam bidang Kejuruteraan Sivil.
Pemberian itu kata beliau, dapat mengurangkan beban keluarganya untuk menampung kos pengajian yang tinggi.
”Saya mencuba nasib memohon biasiswa dan tidak menyangka berjaya kerana mengetahui perlu bersaing dengan pelajar lain.
”Pembabitan aktif dalam kokurikulum selain kecemerlangan akademik menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya yang berazam meneruskan pengajian dan berjaya dengan cemerlang.
Wednesday, September 22, 2010
Biasiswa Gamuda
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment