MUAR 28 Mac - Usaha melahirkan kesedaran terhadap keperluan dan
kepentingan alam sekitar khususnya hutan perlu diperluaskan bukan sahaja
di sekolah tetapi di semua peringkat.
Peserta program Hari Perhutanan Sedunia Ke-41 Peringkat Daerah Johor Utara, Intan Najiha, 16, berkata, ini kerana negara ini mempunyai kawasan hutan yang luas dan masih ramai tidak sedar fungsinya.
"Hutan amat penting bagi ekosistem kita selain melindungi alam
sekitar dan membekalkan udara segar kepada kehidupan bukan sahaja untuk
manusia tetapi semua hidupan.
"Kita perlu tahu sekiranya hutan dimusnahkan sesuka hati akan berlaku
banjir besar dan bumi pula akan semakin panas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr. Ismail dekat sini semalam.
Sempena program itu, sebanyak 150 pokok daripada enam spesies ditanam
di belakang sekolah berkenaan yang disertai oleh 80 murid dan lebih 20
kakitangan Jabatan Hutan Daerah Johor Utara.
Seorang lagi pelajar, Farhana Ngarif, 16, pula menyifatkan
aktiviti itu penting dan relevan kerana masyarakat masih kurang peka
dengan isu perubahan iklim dan pemanasan global hari ini.
Ujarnya yang berasal dari Taman Bakri Jaya, kurang pengetahuan dan
sikap tidak ambil peduli menyebabkan isu penjagaan hutan dianggap tidak
penting.
Edriena Ali, 15, dari Parit Zain berkata, setiap individu harus
memainkan peranan masing-masing untuk menghijaukan bumi iaitu dengan
cara menanam pokok di rumah.
"Cara ini secara tidak langsung akan melahirkan rasa cinta terhadap
alam sekitar dan akan memberi manfaat terhadap persekitaran apatah lagi
di kawasan bandar," katanya.
Nur Shahira Shakila Mustaffa, 16, dari Parit Raja Sari berkata, hutan
tidak boleh dimusnahkan atas nama pembangunan kerana ia merupakan
anugerah Tuhan yang tidak ternilai.
Menurutnya, merosakkan hutan adalah sama dengan mengkhianati amanah
Tuhan dan sebarang pembangunan harus dilakukan secara berhemah.
No comments:
Post a Comment