Social Icons

-

Thursday, August 8, 2013

Sifir Garis Itamta (Sigai)

DIPAKSA menghafal sifir - bagi murid lemah dan membenci matematik - ialah mimpi ngeri, khususnya dalam kalangan murid-murid Melayu di sekolah kebangsaan (SK).

Bagi guru matematik pula, mereka sering sakit kepala kerana tiada kaedah atau alat menghafal yang mudah supaya murid berupaya mengingat dan berjinak-jinak dengan sifir kerana sifir ialah ibu segala matematik.

Pelbagai inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik pernah ditemui dan telah dikomersialkan, tetapi tidak sehingga diterima sebagai teks sekolah kerana beberapa kekurangan dalam kesesuaian dari segi teori, falsafah dan amalan.

Namun begitu, kaedah yang diberi nama Sifir Garis Itamta (Sigai) hasil inovasi Guru Besar SK Kati di Kuala Kangsar, Itamta Harun, memang wajar dipertimbangkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) sebagai teks di sekolah Malaysia.

Uniknya Sigai ialah murid tidak perlu lagi menghafal sifir.
Selain itu, kaedah itu dicipta untuk mengatasi masalah murid yang tidak menguasai fakta asas darab dan bahagi - khususnya murid pemulihan khas dan pendidikan khas yang menghadapi masalah pembelajaran Linus (Literasi dan Numerasi) Matematik

"Objektif Sigai ialah pelajar tidak perlu menghafal sifir,'' kata Itamta.
Potensi Sigai cukup besar ekoran testimoninya yang pernah memenangi anugerah di dalam dan luar negara, dan khabarnya sudah ada usaha untuk menyesuaikan dan mengeksploitasi penemuan itu dalam kalangan pengamal matematik di sekolah-sekolah di Kanada.

Itamta mengesyaki terdapat usaha untuk menciplak Sigai di Taiwan, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian - mujurlah belum ada usaha memplagiat Sigai setakat ini.

Penemuan itu belum dipatenkan kerana kos berbuat demikian agak mahal, kata Itamta.
Kini, kaedah itu boleh dicapai di laman Wikipedia, dengan menaip Sigai pada enjin pencarian.
Wartawan Utusan Malaysia ketika ditunjuk ajar tentang kaedah itu oleh Itamta sendiri, mendapati pendekatan Sigai amat mudah difahami, mempunyai elemen matematik minda, ciri-ciri sempoa, serta boleh dilakukan dengan sokongan alat bantu mengajar maujud yang berciri fizikal, boleh dipegang dan dimanupliasi.

Kata Itamta, konsep asas Sigai ialah penggunaan garis menegak dan melintang, iaitu nombor pertama diwakili garis menegak, nombor kedua oleh garis melintang dan jawapan diwakili titik pertemuan garis menegak dan melintang.

''Murid lemah dalam program Linus, murid Orang Asli, murid di pedalaman atau yang bermasalah pembelajaran perlu dicuba dengan Sigai,'' katanya.

Kaedah Sigai melibatkan pengiraan menggunakan garisan menegak dan melintang bagi mendapatkan jawapan dalam operasi darab atau bahagi tanpa perlu menghafal sifir 2 hingga 9.

Sigai untuk murid sekolah rendah dan perlu menguasai Sigai Fasa 1, Sigai Fasa 2 dan Sigai Fasa 3.
Fasa 1 melibatkan kiraan 1 digit darab atau bahagi dengan 1 digit, Fasa 2 melibatkan 2 digit dan Fasa 3 melibatkan 3 digit.

Kaedah Sigai ditemui semasa beliau menyampaikan ceramah Matematik di SK Jalong, Sg. Siput Utara dalam Program Gerak Gempur Matematik anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar, Perak.

"Seorang guru wanita di sekolah tersebut mencabar saya supaya memperkenalkan kaedah penguasaan sifir tanpa perlu menghafal atau mengingat sifir dua hingga sembilan,'' katanya.

Pada sebelah malamnya, Itamta melakar dan mencuba beberapa kali dengan melakar garisan menegak dan melintang Fasa 1, " maka terciptalah Sifir Garis Itamta atau singkatannya Sigai,'' katanya.

Semasa itu beliau bertugas sebagai Guru Besar SK Sg. Siput pada 1993 hingga 1997.
Fasa 2 dan pengenalan konsep Sigai kepada digit sifar ditemui semasa beliau menyampaikan ceramah di Pusat Kegiatan Guru Manong, apabila seorang guru lelaki meminta penjelasan bagaimana kaedah Sigai yang melibatkan digit sifar (kosong).

"Saya pun tidak terfikir isu yang dikemukakan oleh guru berkenaan,'' katanya.
Semasa itu beliau bertugas sebagai Guru Besar SK Manong (1998-2000) dan Pengerusi Panitia Matematik Daerah Kuala Kangsar.

Kata Itamta, pada 2001 terciptalah sepenuhnya kaedah Sigai yang melibatkan Fasa 3 dan operasi bahagi.

Pada tahun yang sama beliau menyertai Pertandingan Anugerah Gemilang Akademik anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan menerima Anugerah Penghargaan sempena Hari Guru Negeri Perak.

No comments:

Post a Comment

Senarai Sekolah 1 Malaysia

 

Sample text

Sample Text

Sekiranya anda ingin berkongsi informasi yang sahih mengenai pendidikan di Malaysia, sila email ke alamat ensiklopediapendidikan@gmail.com Majulah Dunia Pendidikan Untuk Agama Bangsa & Negara