Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk
pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya
tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Perisytiharan
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh
masyarakatnya
Memelihara cara hidup demokratik
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan
dapat dinikmati secara adil dan saksama
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya
yang kaya dan berbagai corak
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan
teknologi moden:
Ikrar
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga
dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas
prinsip-prinsip yang berikut:
- Kepercayaan kepada Tuhan
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh
kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan
negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi
agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram
di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan
terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan
kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh
meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara.
Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap
ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama
dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua
Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut
Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua
Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan
Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan
kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah
menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat
setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa
mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan
Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi
perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka
sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati,
menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah
pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan
kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia
merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu
gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia
menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia
adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan,
perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap
rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin
bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada
Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa
undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh
itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan
berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan
satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan
menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur
tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat.
Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar
undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan
Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah
termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan
cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah
laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang
bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni
yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila
adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu
sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun
dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat
yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah
masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau
perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu
golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang
tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip
ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan
berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
Sumber : Wikipedia