KEPALA BATAS 3 Mei - Tun Abdullah Ahmad Badawi mahukan program
integrasi di sekolah diteruskan bagi membolehkan perpaduan dan kerjasama
antara pelajar pelbagai kaum ditingkatkan.
Bekas Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana melalui
program tersebut akan membawa kebaikan kerana wujudnya perasaan saling
hormat menghormati antara kaum dapat dipereratkan.
Katanya, ini secara tidak langsung akan mewujudkan integrasi dan ia sekali gus membawa kebaikan kepada perpaduan dan 1Malaysia.
"Kita nak kebaikan supaya setiap kemajuan negara dapat dinikmati oleh
semua kaum dan ia setiap kaum sama-sama menyumbang kepada negara dan
menguntungkan semua pihak.
"Kalau kita tidak berusaha untuk memberi kesempatan kepada pelajar
untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum seperti sukan, debat,
kegiatan alam sekitar dan landskap, hubungan antara mereka akan terpisah
dan bersendirian menjadikan integrasi sukar untuk dilaksanakan,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis
Perjumpaan dengan Pemimpin Persatuan guru dan sekolah (PIBG) Parlimen
Kepala Batas di Penang Golf Resort di sini.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, idea untuk
mewujudkan program tersebut telah dipersetujui oleh Kementerian
Pelajaran dan Persatuan Sekolah-Sekolah Cina tetapi ia tidak
dilaksanakan.
Beliau yakin melalui program tersebut juga dapat menjalinkan hubungan baik dan satu persahabatan sesama sendiri.
- Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment