KUALA LIPIS - Budaya
berjimat-cermat wajar diterapkan ke dalam jiwa kanak-kanak sejak dari bangku
sekolah lagi. Mereka perlu dididik dan
diberikan kefahaman tentang faedah berjimat-cermat. Bak kata pepatah Melayu, berjimat sebelum
habis, beringat sebelum kena.
Sehubungan itu, SK Tanjung Besar telah melancarkan satu program
bagi menyemai sikap budaya menabung melibatkan seluruh warga sekolah
tersebut. Program yang dikenali 1Murid
1Tabungbertujuan untuk memberi kesedaran dan melatih murid-murid untuk sentiasa
berjimat cermat dalam berbelanja.
Program tersebut dilancarkan oleh Abd Manaf bin Mat, Guru Besar SK
Tanjung Besar, baru-baru ini.
Murid-murid perlu dididik sejak kecil lagi tentang kepentingan
mengamalkan budaya menabung. Pada hari
ini terdapat pelbagai kaedah untuk menggalakkan murid-murid menabung dan
seharusnya murid-murid mengambil peluang yang disediakan untuk mereka. Bank-bank
perdagangan juga menawarkan pelbagai bentuk tabung dan inisiatif bagi menarik
minat untuk menabung. Berbeza dengan
zaman dahulu, tabung diperbuat dari buluh aur atau buluh lemang yang ditebuk
lubang bagi memasukkan duit.
Kesedaran tentang faedah menabung perlu dititikberatkan. Kita tidak mahu murid-murid hari ini
mendapatkan wang belanja persekolahan dengan mudah dan menghabiskan dengan
perkara-perkara yang membazir. Kita mahu
murid-murid dilatih dan diberikan kesedaran betapa susahnya ibubapa mereka
membanting tulang untuk mendapatkan wang tersebut. Justeru, mereka perlu dilatih agar berjimat
dan berhemah dalam berbelanja, katanya.
Menurut Mohd Fauzi Omar, GPK Hal Ehwal Murid, setiap murid
diberikan satu tabung . Tabung ini akan
dibawa balik dan disimpan di rumah masing-masing. Murid-murid diminta mengisi tabung tersebut
dengan wang baki perbelanjaan sekolah setiap hari. Ibubapa berperanan untuk memantau dan
memastikan anak-anak mereka menyimpan baki wang saku setiap hari.
Ibubapa perlu membantu menjayakan program ini dengan memastikan
anak-anak mereka sentiasa menyimpan lebihan duit belanja persekolahan. Kita mahu murid-murid menjadikan sikap suka
menabung sebagai satu budaya sehingga mereka dewasa kelak. Kita mahu murid-murid bukan sekadar mendengar
nasihat supaya menabung tetapi melaksanakannya dengan sebaik mungkin, katanya.
Dalam majlis tersebut, Abd Manaf mengedarkan satu tabung kepada
setiap murid, guru, dan kakitangan sekolah.
No comments:
Post a Comment