Agenda pendidikan negara terutama di peringkat
sekolah sememangnya memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan
anjakan ke arah pendidikan bertaraf dunia terus berjalan dengan
sempurna.
Dalam memenuhi tuntutan transformasi ini, perhatian kepada pelajar
daripada kelompok yang agak lemah juga tidak boleh diabaikan dan harus
diberi tumpuan khusus bagi memastikan mereka tidak ketinggalan
berbanding rakan lain.
Sejak Julai tahun lalu, seramai 30 murid tahun tiga dari Sekolah
Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu, Kelantan dipilih menyertai kelas
bahasa yang dikendalikan tenaga pengajar dari Pusat Pengajian Bahasa,
Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Kampus Kesihatan, Universiti Sains
Malaysia (USM).
Kelas mingguan Bahasa Melayu dan Inggeris itu khusus buat murid
kelas pemulihan iaitu yang mengalami masalah menguasai kemahiran
membaca, menulis dan mengira atau 3M dan ia merupakan program khidmat
masyarakat USM di sekolah itu yang akan berakhir hujung tahun ini.
Menurut Guru Besar SK Tiong, Ismail Mat Akib, beliau amat menghargai
bantuan pihak USM dan mencadangkan agar tempoh program dipanjang dan
diperluaskan ke sekolah-sekolah lain.
"Sekolah pinggir bandar seperti SK Tiong memerlukan sokongan dan kepakaran universiti dalam meningkatkan keupayaan 3M pelajar.
"Apabila ada pihak yang dapat menumpukan perhatian kepada mereka
tanpa terlalu terikat dengan sukatan pelajaran, ia sudah tentu memberi
manfaat yang lebih besar," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Sementara itu, guru penyelaras program peringkat sekolah, Noor
Hayati Abdul Ghazi pula berkata, pihaknya mendapati ada sedikit
peningkatan yang ditunjukkan para pelajar selepas mereka mengikuti
kelas berkenaan.
Beliau yang bertanggungjawab memilih kumpulan murid terlibat
berkata, 15 orang murid menyertai kelas Bahasa Melayu manakala
selebihnya kelas Bahasa Inggeris yang dijalankan setiap Khamis dari
pukul 1.30 petang hingga 3 petang.
"Mungkin konsep santai yang lebih banyak menggunakan permainan
bahasa dan minda serta nyanyian telah membuat pelajar lebih berminat
belajar bahasa, pihak sekolah berharap agar objektif meningkatkan
kemahiran 3M murid-murid kami tercapai," katanya.
Ketua Projek Khidmat Masyarakat PPBLT, Helmey Zaneee Mohd. Zain, 27,
pula memberitahu, tenaga pengajar seramai 14 orang dari Kampus
Kesihatan USM bergilir-gilir datang ke sekolah itu setiap minggu untuk
mengajar secara sukarela.
Katanya, selain bahan mengajar dan buku latihan, pelajar juga
dibekalkan pihak USM dengan sedikit makanan sebagai alas perut
memandangkan kelas diadakan sebaik sahaja tamat waktu persekolahan.
Salah seorang murid yang ditemui, Nur Zulfiqha Aina Zuki, 10,
berkata, dia kini lebih yakin untuk menyebut perkataan dalam Bahasa
Inggeris dan tidak berasa malu jika melakukan kesalahan kerana ia
sebahagian daripada kaedah belajar.
Seorang lagi murid, Nor Irwan Shah, 10, pula berkata, dia tidak
kisah terpaksa berada lebih lama di sekolah kerana berasa seronok
belajar Bahasa Melayu dengan guru dari 'universiti.'
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kubang
Kerian, Datuk Fauzi Ismail dalam satu majlis ringkas di sekolah itu
pada September tahun lalu.
No comments:
Post a Comment