KUANTAN 14 Mei - Pelaksanaan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
secara dalam talian oleh Kumpulan Utusan merupakan wadah terbaik untuk memberi
peluang kepada pelajar, guru dan ibu bapa berinteraksi sesama mereka melalui
forum berdasarkan topik yang disediakan.
Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata,
ADaP juga boleh dianggap sebagai wahana terbaik untuk menyalurkan pelbagai
maklumat dan peristiwa yang berkaitan dengan isu pendidikan semasa.
Katanya, melalui ADaP.com.my, pengguna berdaftar berpeluang
menghantar karya, bahan pengajaran dan pembelajaran serta cetusan idea kreatif
ke ruangan forum untuk dikongsi bersama-sama dengan mereka yang mengakses laman
tersebut.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa ADaP mampu melahirkan pelajar yang
mempunyai ciri-ciri intelektual dan kepimpinan unggul, bertanggungjawab,
mengamalkan budaya bekerjasama dan berkongsi maklumat.
"Para pelajar khususnya, dapat mengasah bakat melalui aktiviti
yang dirancang secara komprehensif dan bermakna. Aktiviti ini juga mampu
melahirkan pelajar yang celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan dapat
mengaplikasikan pengetahuan mereka secara sihat.
"Secara tidak langsung, ADaP berkeupayaan memperkasakan bidang
kurikulum sebagaimana dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan ADaP.com.my/E-Lab Negeri
Pahang anjuran Kumpulan Utusan sempena perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan
2010 di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman
Mohamad dan Ketua Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.
Abdul Aziz berkata, ADaP.com.my/E-Lab menyediakan ruangan
interaktif yang memuatkan permainan menguji minda seperti teka silang kata,
menyusun perkataan, klik dan seret serta banyak lagi.
Jelasnya, ADaP sangat berkesan sebagai medium yang memberikan
informasi pendidikan kepada pelajar dalam usaha mereka berlumba-lumba untuk
menempa kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Laman web itu juga, katanya, amat sesuai sebagai instrumen untuk
aktiviti masa senggang pelajar seiring dengan kehidupan zaman siber dan
penggunaan jalur lebar yang menjadi pilihan generasi masa kini.
"Penglibatan melalui penggunaan medium atas talian ini mampu
mendidik mereka untuk mengungkapkan bahasa dengan baik dan mematangkan diri
dalam mendepani dunia tanpa sempadan,'' katanya.
Tambahnya, langkah Utusan Malaysia mewujudkan ADaP bukan sahaja
merintis pembaharuan dalam menyediakan input ilmu dan kemahiran berkarya, malah
dapat melahirkan generasi yang celik ICT dan mempunyai 'soft skill' yang
tinggi.
"Dalam konteks pendidikan, Utusan Melayu telah memainkan peranan sebagai badan swasta yang memenuhi tanggungjawab sosialnya sekali gus bersama-sama Kementerian Pelajaran meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam era globalisasi yang mencabar ini," katanya. - Utusan
"Dalam konteks pendidikan, Utusan Melayu telah memainkan peranan sebagai badan swasta yang memenuhi tanggungjawab sosialnya sekali gus bersama-sama Kementerian Pelajaran meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam era globalisasi yang mencabar ini," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment