Social Icons

-

Saturday, September 11, 2010

Gubal pendidikan perpaduan



Malaysia, kata banyak sarjana pendidikan merupakan makmal yang paling sempurna untuk mengkaji tentang perpaduan. Pandangan ini ada benarnya kerana populasi dalam negara ini yang memberikan satu landskap demografi kaum yang sangat unik.

Orang Melayu sebagai kumpulan utama hanyalah sekitar 55 peratus sahaja jumlahnya, tidak termasuk kumpulan bumiputera yang lain manakala bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India mencapai sekitar 40 peratus. Dengan kata lain majoriti mutlak tidak pernah wujud di negara ini khasnya di kalangan orang Melayu.

Maka itu memiliki perpaduan bukanlah satu anugerah tetapi harus dicari, dibina, diurus dan dikawal dengan baik agar kestabilan dan keharmonian dapat dicapai. Bagi tujuan itu, peranan pendidikan merupakan satu-satu komponen yang sangat penting, berkesan dan ampuh untuk memulakan perpaduan di negara ini.

Sejak zaman berzaman asas utama kepada tujuan pendidikan adalah untuk membina sebuah masyarakat. Maka itu masyarakat bersetuju supaya setiap ahlinya disosialisasi dengan nilai, resam dan norma positif kehidupan bersesuaian dengan amalan masyarakat tersebut.

Hanya selepas revolusi perindustrian di Eropah pada abad yang ke-17, tujuan pendidikan dikembangkan untuk perkara yang lebih materialisme, individualisme dan berteraskan ekonomi. Maka pendidikan mulai berubah daripada asas-asas humanisme kepada kehendak pragmatisme.

Perubahan tujuan pendidikan ini kemudian mulai mengaburi tujuan asal pendidikan untuk pembinaan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Maka ini ramai pemikir pendidikan sejak lama dahulu menimbulkan kerisauan mereka jika sesebuah masyarakat gagal memahami dan mengimbangi antara humanisme dan pragmatisme maka tujuan pendidikan yang syumul akan lama-kelamaan akan lenyap dan cair.

Dipercayai juga bahawa sebagaimana hebat kualiti pendidikan untuk pembangunan material tetapi apabila kurang penekanan diberikan kepada pembangunan masyarakat, pada akhirnya masyarakat tersebut akan hilang upaya sosial dan akhirnya akan lemah dan lumpuh keseluruhannya.

Tanda-tanda kelumpuhan pendidikan untuk pembangunan masyarakat banyak sekali di sekeliling kita pada hari ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, kegagalan pendidikan Islam menerapkan ketakwaan yang tinggi kepada para pelajar menyebabkan bukan sedikit pelajar beragama Islam hilang moral Muslimnya.

Kisah pembuangan bayi menjadi semakin menyayat hati. Jika dahulu bayi ditinggalkan di surau dan masjid dengan selimut buat pemanas badan bayi, tetapi kini bayi dibuang di tepi jalan dan di dalam tong tong sampah, ada yang dibuang di longkang-longkang hingga menjadi makanan gagak liar. Malah ada yang dibuang di tengah jalan raya hingga menjadi mangsa tayar kereta yang tidak mengenal mangsa.

Seperkara yang paling utama dalam transformasi pendidikan untuk tujuan membina perpaduan negara, suka tidak suka, kita kena juga akui bahawa kita sedang menghadapi masalah perpaduan kaum dalam negara ini.

Masalah ini pula tidaklah begitu menonjol dalam bentuk konflik fizikal tetapi lebih kepada soal persepsi. Maka rasa prejudis dan saling mencurigai mula membina, desakan-desakan kumpulan etnik mula kedengaran.

Bagaimanapun di negara ini perpaduan masih terkawal dan belum menggugat kestabilan akar umbi masyarakat kerana pergolakan perpaduan kaum lebih terjurus kepada 'perangai' serampang dua mata ahli politik tertentu untuk meningkatkan populariti mereka dan juga cuba mengaut keuntungan melalui desakan supaya kaum yang diwakilinya mendapat lebih banyak habuan melebihi daripada apa yang telah dipersetujui oleh masyarakat umum negara ini.

Oleh itu, kedengaranlah desakan seperti penelitian semula pengagihan konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB), menghapuskan ketuanan Melayu dan menyamakan agama Islam selaku agama rasmi dengan agama lain sejak setahun yang lalu.

Terbaru, desakan supaya dimasukkan peranan dan sumbangan kumpulan minoriti di dalam mata pelajaran Sejarah negara dan 'membuang' sebahagian sejarah perjuangan orang Melayu sebagai tanda mengimbangi bahawa negara ini milik bersama.

Semua ini nampaknya menuntut satu penelitian semula secara menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang semakin hari sudah hilang upaya untuk membina jati diri.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam menguruskan perpaduan negara. Pertama, sindrom mencari populariti politik yang semakin ketara, kebebasan media, tekanan gerakan masyarakat sivil dan persaingan ekonomi akibat globalisasi.

Jika dahulu soal perpaduan hanya berlegar sekitar soal agihan kuasa politik dan ekonomi, kini perpaduan membentuk spektrum baru dan memerlukan kemahiran baru di pihak kerajaan untuk menguruskannya.

Sebagai contoh, dulu jika sesuatu isu yang berkaitan orang Cina, orang Melayu dan India jarang sekali campur tangan dengan alasan biarlah kaum Cina sendiri menyelesaikan masalah mereka. Hal yang sama juga apabila jika kaum India berhadapan dengan keputusan kerajaan yang mereka tidak suka, orang Melayu dan Cina tidak begitu 'terangsang' untuk menyertainya.

Kini suasana sudah berubah, jika sesuatu isu melanda kaum India, maka sudah ramai orang Melayu dan Cina yang akan memberikan sokongan bukan atas sebab untuk perpaduan tetapi lebih mendapatkan sokongan politik semata-mata.

Oleh itu secara mudah dapat difahami bahawa isu kaum tidak lagi bersifat etnosentrik tetapi isu kaum sudah menjadi kompleks dan lebih sukar diuruskan berbanding dahulu.

Kedua, pengaruh perbandaran dan modenisasi akan menjadikan masyarakat Malaysia tidak lagi dominan dalam zon etnik mereka sahaja tetapi kini mula cair dan berbaur dengan etnik lain.

Sebagai contoh jika dahulu orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan orang India di ladang, kini dijangka pada tahun 2020 jumlah populasi yang akan tinggal di bandar akan mencecah 70 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Dengan erti kata lain perbauran antara kaum akan menjadi satu gambaran biasa dalam masyarakat Malaysia sangat berbeza berbanding 50 tahun lalu.

Oleh demikian, pendidikan untuk perpaduan perlu dikaji dan dirancang semula secara teliti khasnya untuk mendidik anak-anak Malaysia pasca merdeka memahami konsep dan peri penting perpaduan diamalkan dalam kehidupan mereka.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) nampaknya gagal mencapai matlamat secara menyeluruh perpaduan etnik di negara ini. Begitu juga dengan pengajaran mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Kewarganegaraan yang agak longgar membina hubungan etnik seperti yang diharapkan.

Aktiviti ko-kurikulum juga nampak tidak menonjolkan keupayaan perpaduan di kalangan pelajar. Beberapa kajian berkaitan hubungan etnik di institusi pengajian tinggi IPT menunjukkan bahawa pelajar lepasan sekolah jelas tidak mempunyai tahap perpaduan yang memuaskan apabila mereka meninggalkan bangku sekolah.

Dengan itu, satu kursus Modul Hubungan Etnik telah diperkenalkan di IPT supaya pelajar dapat meningkatkan keupayaan perpaduan apabila telah menjadi graduan. Tinggal lagi pelaksanaan kursus ini nampaknya tidak pula memanfaatkan sepenuhnya pendekatan yang dapat membina perpaduan di kalangan pelajar IPT.

Sepatutnya tiga perkara paling asas dalam pendidikan untuk perpaduan dilaksanakan. Pertama, pengetahuan fakta sejarah negara secara jelas dan mendalam, kedua kemahiran kewarganegaraan seperti memiliki kemahiran dan keupayaan tingkah laku menghormati dan bertolak ansur.

Ketiganya, mendidik nilai-nilai positif yang dapat menimbulkan rasa benci kepada perlakuan atau tindakan individu atau kumpulan yang menggunakan perkauman bagi tujuan meraih sokongan, populariti dan juga atas kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, penelitian terhadap kursus hubungan etnik di universiti nampaknya hanya cenderung untuk menambahkan pengetahuan sejarah semata-mata tetapi mengabaikan aspek kemahiran kewarganegaraan serta penerapan nilai positif terhadap perpaduan.

Sebenarnya semua pelajar yang memasuki IPT telah melalui pembelajaran sejarah negara sejak tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Mereka bukan sahaja diajar tetapi juga telah dinilai dalam peperiksaan.

Seharusnya modul hubungan etnik di IPT lebih menjurus kepada aspek pembinaan kewarganegaraan dan juga pengukuhan nilai positif perpaduan.

Misalnya separuh bahagian pelaksanaan kursus ini diberikan melalui pengajaran dalam kuliah manakala separuh lagi melalui pengalaman secara hands on kepada pelajar melalui projek khidmat masyarakat, penyelidikan tindakan, aktiviti pembelajaran penyelesaian masalah dan juga melalui penyertaan dalam program dan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.

Walaupun banyak faktor luar pendidikan yang sedikit sebanyak akan mengganggu pelaksanaan pendidikan untuk perpaduan seperti pengaruh politik kaum, sejarah etnik 'yang tidak selari dengan sejarah kebangsaan', fokus yang keterlaluan kepada peperiksaan, kaedah pengajaran yang tidak berkesan dan sebagainya, sekurang-kurangnya dengan melalui satu sistem pendidikan untuk perpaduan yang lebih teratur dan selaras, para pelajar akan mempunyai common memory berkaitan sejarah kenegaraan kita.

Apa yang lebih penting melalui pendidikan untuk perpaduan ini, kita bukan sahaja berharap wujudkan perpaduan yang sebenar tetapi lebih jauh dan penting ialah pada akhirnya gagasan 'Satu Malaysia' akan menjadi kenyataan.

Tentu memberikan pandangan dan cadangan lebih mudah daripada merealisasikannya. Oleh itu pihak Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mula menggerakkan perbincangan akademik, merangka kembali struktur kurikulum serta memastikan unsur penilaian dijalankan bagi memastikan wujud atau tidak penambahbaikan perpaduan kepada para pelajar.

Masanya sangat sesuai sekarang untuk pihak kementerian memulakan langkah membina pendidikan untuk perpaduan masyarakat.

Anuar Ahmad ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Senarai Sekolah 1 Malaysia

Isi menu tab 2
Isi menu tab 3
Isi menu tab 4
  1. SMK Derma
  2. SM Sains Syed Tuanku Putra
  3. SMK Jitra
  4. SMK Agama Baling
  5. SMK Sultan Badlishah
  6. SM Sultan Abdul Halim
  7. SM Sains Sultan Mohammad Jiwa
  8. SM Sains Pokok Sena
  9. SMK Abdullah Munsyi
  10. SMK Dato’ Onn
  11. SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin
  12. SMK King Edward VII
  13. SM Clifford
  14. SMK Seri Perak
  15. SMK Tengku Menteri
  16. SMK Raja Permaisuri Bainun
  17. SM Sains Raja Tun Azlan Shah
  18. Sekolah Tuanku Abdul Rahman
  19. Kolej Melayu Kuala Kangsar
  20. SM Sains Teluk Intan
  21. SMK Victoria
  22. SMK Taman Tun Dr. Ismail
  23. SMK Aminuddin Baki
  24. SM Sains Selangor
  25. SMK Seri Bintang Utara
  26. SMK Seri Bintang Selatan
  27. SK Seri Bintang Utara
  28. SK Seri Bintang Selatan
  29. SMK(P) Sri Aman
  30. SMK Sungai Besar
  31. SMK Bandar Baru Bangi
  32. SMK Kuala Kubu Bharu
  33. SMK Telok Datok
  34. Kolej Islam Sultan Alam Shah
  35. SM Agama Persekutuan Kajang
  36. SM Sains Kuala Selangor
  37. SMK Sungai Pusu
  38. SMK Putrajaya 1, Presint 8
  39. Sekolah Alam Shah, Putrajaya
  40. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya
  41. SK Putrajaya 1, Presint 8
  42. SK Putrajaya 2, Presint 9
  43. SMK Dato’Sedia Raja
  44. SMK Bandar Baru Serting (FELDA)
  45. SM Agama Persekutuan Labu
  46. Kolej Tunku Kurshiah
  47. Sekolah Dato Abdul Razak
  48. SM Sains Tuanku Jaafar
  49. SMK Abdul Rahman Talib
  50. SMK Seri Pekan
  51. SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan
  52. SM Sains Tengku Abdullah
  53. SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan
  54. Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan
  55. SMK Dato’Dol Said
  56. SMS Muzaffar Shah
  57. SMK Tun Habab
  58. SMK Dato’ Sri Amar Diraja
  59. SM Sains Muar
  60. SM Sains Johor, Kluang
  61. Sekolah Tun Fatimah
  62. SM Sains Kota Tinggi
  63. SMK Agama Segamat
  64. SMK Dato’ Penggawa Barat
  65. SMK (P) Temenggong Ibrahim
  66. SMK Matang
  67. SM Sains Sultan Mahmud
  68. SM Sains Dungun
  69. SMKA Sheikh Abdul Malek
  70. SMK Kamil
  71. SM Dato Ahmed Maher
  72. SM Sains Tengku Muhamad Faris Petra
  73. SM Sains Machang
  74. SMKA Naim Libanat
  75. SM Sains Pasir Puteh
  76. SMK Elopura
  77. SMK Pengiran Omar
  78. SMK Tenom
  79. SM Sains Sabah Kota Kinabalu
  80. SM Sains Lahad Datu
  81. SMK Labuan
  82. SM Sains Labuan
  83. Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah
  84. Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang
  85. SMK Bahasa Malaysia
  86. SMK Three Rivers
  87. SM Sains Kuching
  88. SM Sains Miri, Sarawak
 

Sample text

Sample Text

Sekiranya anda ingin berkongsi informasi yang sahih mengenai pendidikan di Malaysia, sila email ke alamat ensiklopediapendidikan@gmail.com Majulah Dunia Pendidikan Untuk Agama Bangsa & Negara